Jarak bukan penghalang 9 Briged bawa rawatan kesihatan, harapan ke pedalaman Kapit
Dalam masa yang sama, pasukan 624 PGAT turut berganding bahu bersama Sekolah Kebangsaan (SK) Long Busang, Belaga menganjurkan demonstrasi penjagaan gigi bagi memupuk kesedaran kebersihan diri dalam kalangan murid sejak di bangku sekolah.


Panglima 9 Briged, Brigedier Jeneral Datuk Jafri Sulaiman turun padang menyantuni warga sekolah serta meninjau keadaan infrastruktur SK Long Busang.
MENJANGKAUI jarak kira-kira 400 kilometer dari bandar Sibu, Briged Kesembilan Infantri Malaysia (9 Briged) membuktikan komitmen Tentera Darat Malaysia (TDM) terhadap kebajikan rakyat menerusi penganjuran Program Jiwa Murni (PJM) di Kampung Long Busang, Kapit.
Menurut 9 Briged, ia bermula 19 November lalu dengan program julung kali di bawah Pelan Strategik Pertahanan Negara (PSPN) Kementerian Pertahanan (MINDEF) itu mendapat sambutan luar biasa daripada penduduk setempat.
"Ini terutamanya menerusi perkhidmatan Pemeriksaan Kesihatan (MEDCAP) serta Pemeriksaan dan Rawatan Pergigian (DENCAP) yang dijalankan semasa program.
"Dalam masa yang sama, pasukan 624 PGAT turut berganding bahu bersama Sekolah Kebangsaan (SK) Long Busang, Belaga menganjurkan demonstrasi penjagaan gigi bagi memupuk kesedaran kebersihan diri dalam kalangan murid sejak di bangku sekolah," jelasnya.
9 Briged memberitahu, kemuncak program menyaksikan kehadiran Panglima 9 Briged, Brigedier Jeneral Datuk Jafri Sulaiman yang turun padang menyantuni warga sekolah serta meninjau keadaan infrastruktur SK Long Busang sebagai persiapan bagi pelaksanaan Projek Jiwa Murni pada masa hadapan.
Terdahulu, beliau bersama delegasi turut memeriahkan majlis khatam al-Quran dan penutup KAFA Tahun 2026M/1448H peringkat SK Long Busang di Masjid Darul Rahmah.
Pada majlis tersebut, beliau menyempurnakan penyampaian hadiah kepada murid-murid Tahun 6 sebagai suntikan semangat dan penghargaan atas kecemerlangan mereka sebelum melangkah ke alam sekolah menengah.
Sementara itu Ketua Kampung Hulu Long Busang, Yusof Zawai menzahirkan rasa syukur dan penghargaan mendalam kepada pihak 9 Briged atas kesudian membawa pelbagai kemudahan dan perkhidmatan terus ke kawasan pedalaman tersebut.
Penganjuran PJM ini bukan sahaja memperkukuh hubungan silaturahim dan kerjasama strategik antara TDM dengan masyarakat setempat, malah menjadi platform terbaik untuk warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM)menabur bakti serta menyemai nilai kesedaran sivik demi keharmonian negara.

Penulis merupakan Ketua Pengarang The Step. Berpengalaman dalam penulisan berita lebih 20 tahun khususnya berkaitan misi kemanusiaan, rencana dan hal ehwal semasa. Penulis juga merupakan calon angkasawan ketika proses pemilihan angkasawan negara. Pernah menyertai misi kemanusiaan di Somalia dan Syria, mendekati cerita-cerita mangsa perang dan konflik kemanusiaan. Penulis juga pernah menyertai misi kemanusiaan di Lubnan bersama pasukan MALBATT.
Berita berkaitan

Curi kabel di siang hari di Jalan Tun Razak, polis giat buru kumpulan suspek
Oleh The Step21 November 2026 pada 04:14 PTG

Khoo Poay Tiong akui silap, mohon maaf isu premis tutup Jumaat di Kuala Terengganu


