The Step - Every Story Moves You

'Jana' pendapatan RM5.4 juta setahun hasil pelacuran, polis berjaya lumpuhkan Geng Yunaa

PDRM juga telah mengenal pasti seorang lagi ahli kumpulan yang masih bebas dan usaha untuk mengesan suspek ini masih giat dijalankan.

Metra Syahril Mohamed
Oleh Metra Syahril MohamedKetua Pengarang The Step22 Oktober 2026 pada 06:29 PTG3 min bacaanDikemas kini 23 Oktober 2026 pada 07:10 PG
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M. Kumar.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M. Kumar.

POLIS berjaya menyelesaikan 17 kes serta melumpuhkan satu kumpulan jenayah terancang dikenali Geng Yunaa yang menjalankan kegiatan eksploitasi seksual melalui aktiviti pelacuran dengan merekrut remaja tempatan, warga negara asing serta kanak-kanak bawah umur.

Mereka ini dieksploitasi dan dijadikan mangsa pelacuran di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M. Kumar berkata, kumpulan tersebut menggunakan aplikasi Telegram menerusi saluran 'KLSELANGORFL' untuk mempromosikan perkhidmatan pelacuran dengan anggaran seramai 20 hingga 30 orang pelacur setiap hari.

Jelas beliau, pelanggan dikenakan bayaran antara RM200 hingga RM350, bergantung kepada pakej dan lokasi perkhidmatan yang ditawarkan.

"Kumpulan ini dipercayai memperoleh kira-kira 100 pelanggan sehari dengan kutipan sebanyak RM150 bagi setiap pelanggan, manakala selebihnya merupakan bayaran kepada pelacur.

"Berdasarkan anggaran tersebut, kumpulan ini mampu menjana pendapatan sebanyak RM15,000 sehari atau RM450,000 sebulan, bersamaan RM5.4 juta setahun sekiranya kegiatan berterusan pada kadar yang sama," jelasnya.

Beliau memberitahu, lebih membimbangkan, eksploitasi seksual terhadap kanak-kanak bawah umur berpotensi meninggalkan kesan trauma psikologi berpanjangan, merosakkan perkembangan emosi, akhlak dan sosial serta menjejaskan masa depan mangsa.

Kegiatan Geng Yunaa katanya, bukan sekadar jenayah pelacuran, malah merupakan bentuk eksploitasi seksual yang serius terhadap golongan rentan, khususnya kanak-kanak, demi mengaut keuntungan kewangan yang lumayan.

"Sekiranya tidak dibendung, kegiatan ini berpotensi mengancam keselamatan, kesihatan awam, kesejahteraan sosial serta masa depan generasi muda negara," tegas beliau.

Katanya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui JSJ Bukit Aman dengan kolaborasi bersama JSJ Kontinjen Selangor telah melancarkan satu operasi khas dinamakan Op Angel, membabitkan kumpulan jenayah terancang yang bergiat aktif melakukan kesalahan-kesalahan serius bagi mendapatkan faedah material, kuasa atau pengaruh.

Op Angel jelasnya, dilancarkan bermula 24 hingga 26 September lalu di sekitar kawasan Lembah Klang dengan menyasarkan Geng Yunaa yang mempunyai keahlian seramai 10 orang, berusia dalam lingkungan 18 hingga 44 tahun dan diketuai oleh seorang lelaki warga tempatan berusia 30 tahun.

Kumpulan jenayah terancang ini katanya, aktif sejak awal 2024 sehingga kini.

"Pihak polis telah berjaya menangkap seramai tujuh orang suspek berusia antara 18 hingga 44 tahun. Kesemua tangkapan kini ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) sehingga 23 Oktober, manakala dua orang lagi ahli kumpulan sedang ditahan di Penjara Kajang dan Sekolah Henry Gurney, Melaka, atas kesalahan pemerdagangan kanak-kanak dan kes pelacuran.

"Dalam operasi ini, polis turut merampas barangan yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kegiatan pelacuran, iaitu 14 buah telefon bimbit, 33 kotak kondom pelbagai jenama, enam kotak ubat pencegah kehamilan, tuala dan gel pelincir.

"Hasil semakan mendapati beberapa tangkapan mempunyai pelbagai rekod kesalahan lampau seperti jenayah pelacuran, pemerdagangan orang, pengedaran dadah dan penipuan.

"PDRM juga telah mengenal pasti seorang lagi ahli kumpulan yang masih bebas dan usaha untuk mengesan suspek ini masih giat dijalankan," katanya.

Beliau menambah, dengan penangkapan Geng Yunaa melalui operasi ini, polis berjaya menyelesaikan 17 kes serta melumpuhkan satu kumpulan jenayah terancang di Kontinjen Selangor.

Katanya, kertas siasatan telah ditaklimatkan kepada Pejabat Unit Jenayah Berat, Jabatan Peguam Negara dan dipersetujui untuk pertuduhan terhadap ahli-ahli kumpulan jenayah terancang ini di bawah Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan, iaitu kesalahan menjadi ahli suatu kumpulan jenayah terancang yang memperuntukkan hukuman pemenjaraan selama tempoh tidak kurang daripada lima tahun dan tidak melebihi 20 tahun.

Pertuduhan terhadap sembilan ahli Geng Yunaa akan dibuat esok di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya, Selangor.

Kongsi berita ini dengan keluarga dan rakanKongsi ke WhatsApp
Tentang Penulis
Metra Syahril MohamedKetua Pengarang The Step, The Step | 102 siaran

Penulis merupakan Ketua Pengarang The Step. Berpengalaman dalam penulisan berita lebih 20 tahun khususnya berkaitan misi kemanusiaan, rencana dan hal ehwal semasa. Penulis juga merupakan calon angkasawan ketika proses pemilihan angkasawan negara. Pernah menyertai misi kemanusiaan di Somalia dan Syria, mendekati cerita-cerita mangsa perang dan konflik kemanusiaan. Penulis juga pernah menyertai misi kemanusiaan di Lubnan bersama pasukan MALBATT.

Lihat semua tulisan

Berita berkaitan

EcoTwin Step Training & Consultancy - Menyembuh Jiwa, Mengubah Kehidupan. Dr. Hisham Dzakiria. Hubungi 03-33591329 / 010-8418989, ecotwinstep@gmail.com