EcoTwin Step Training & Consultancy - Menyembuh Jiwa, Mengubah Kehidupan. Dr. Hisham Dzakiria. Hubungi 03-33591329 / 010-8418989, ecotwinstep@gmail.com
Nasional

Jabatan Imigresen gempur tapak projek hangar pesawat, 173 warga asing ditahan

Modus operandi mereka dikesan apabila majikan menggajikan warga asing di pusat pembinaan tersebut dengan menggunakan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) syarikat lain serta menyalahgunakan Pas Lawatan Sosial sebagai tindakan mengaburi mata pihak berkuasa.

Metra Syahril Mohamed16 September 2026 pada 09:14 PGDikemas kini 16 September 2026 pada 09:17 PG
Sebahagian daripada warga asing yang ditahan menerusi operasi penguatkuasaan di sebuah tapak pembinaan hangar, bay gudang serta fasiliti pengujian enjin kapal terbang yang terletak berhampiran sebuah pusat sukan permotoran bertaraf antarabangsa di Sepang, semalam.

menerusi operasi penguatkuasaan di sebuah tapak pembinaan hangar, bay gudang serta fasiliti pengujian enjin kapal terbang yang terletak berhampiran sebuah pusat sukan permotoran bertaraf antarabangsa di Sepang, semalam.Jabatan Imigresen

JABATAN Imigresen (Imigresen) menahan 173 warga asing berusia 23 hingga 40 tahun menerusi operasi penguatkuasaan di sebuah tapak pembinaan hangar, bay gudang serta fasiliti pengujian enjin kapal terbang yang terletak berhampiran sebuah pusat sukan permotoran bertaraf antarabangsa di Sepang, semalam.

Menurut jabatan itu, serbuan dibuat berdasarkan aduan awam dan risikan selama satu minggu.

"Berdasarkan maklumat yang diperoleh, pasukan operasi dengan kekuatan seramai 88 pegawai pelbagai pangkat telah diatur gerak ke kawasan tersebut dan telah membuat pemeriksaan ke atas 261 individu terdiri daripada 217 warganegara asing dan 44 warganegara tempatan.

"Pemeriksaan turut melibatkan pekerja yang diambil bekerja oleh syarikat-syarikat subkontraktor yang terlibat dalam projek tersebut," jelasnya dalam kenyataan.

Imigresen menambah, modus operandi mereka dikesan apabila majikan menggajikan warga asing di pusat pembinaan tersebut dengan menggunakan Pas Lawatan Kerja Sementara  (PLKS) syarikat lain serta menyalahgunakan Pas Lawatan Sosial sebagai tindakan mengaburi mata pihak berkuasa.

Hasil pemeriksaan ke atas kawasan tersebut katanya, pihak Imigresen menahan seramai 173 warga asing yang terdiri daripada 147 lelaki warganegara Bangladesh, 17 lelaki warganegara Indonesia serta sembilan lelaki warganegara Pakistan.

Katanya, kesemua warga asing tersebut ditahan kerana dipercayai telah melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) dan Per. 39 (b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

"Semasa operasi dijalankan, sebanyak lima Borang 29 (Saman kepada Saksi) telah dikeluarkan kepada warganegara Malaysia bagi membantu siasatan.

"Kesemua warga asing tersebut telah dibawa ke Depot Tahanan Imigresen KLIA untuk siasatan dan tindakan lanjut," katanya.

Pihaknya menegaskan bahawa pemantauan dan penguatkuasaan Imigresen dilaksanakan merentasi semua sektor, termasuk industri pembinaan, logistik serta fasiliti sokongan industri penerbangan.

Tentang Penulis

Foto profil Metra Syahril Mohamed
Metra Syahril Mohamed

Penulis

Penulis merupakan Ketua Pengarang The Step. Berpengalaman dalam penulisan berita lebih 20 tahun khususnya berkaitan misi kemanusiaan, rencana dan hal ehwal semasa. Penulis juga merupakan calon angkasawan ketika proses pemilihan angkasawan negara. Pernah menyertai misi kemanusiaan di Somalia dan Syria, mendekati cerita-cerita mangsa perang dan konflik kemanusiaan. Penulis juga pernah menyertai misi kemanusiaan di Lubnan bersama pasukan MALBATT.

Berita berkaitan