Gaji minimum naik RM2,000 mulai Jun 2027, graduan dan pekerja separa mahir ditawar RM2,500
Langkah ini bertujuan merapatkan jurang antara produktiviti dan upah pekerja yang ketika ini masih belum setimpal dengan peningkatan kos sara hidup.


Kadar gaji minimum baharu ini dijangka melibatkan lebih empat juta pekerja yang tertakluk kepada ketetapan berkenaan.
KERAJAAN bersetuju menaikkan kadar gaji minimum daripada RM1,700 kepada RM2,000 sebulan mulai Jun 2027, selain memperkenalkan gaji minimum RM2,500 bagi pekerjaan separa mahir dan graduan sebagai langkah meningkatkan pendapatan pekerja.
Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu bertujuan merapatkan jurang antara produktiviti dan upah pekerja yang ketika ini masih belum setimpal dengan peningkatan kos sara hidup.
Menurutnya, pampasan pekerja kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) Malaysia masih rendah pada kadar 33.9 peratus.
Kadar gaji minimum baharu itu dijangka melibatkan lebih empat juta pekerja yang tertakluk kepada ketetapan berkenaan.
Bagaimanapun, perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dengan hasil jualan di bawah RM50 juta dikecualikan bagi memberi ruang kepada mereka menyesuaikan model perniagaan masing-masing.
Pengumuman itu dibuat ketika membentangkan Belanjawan MADANI Kelima Tahun 2027 di Dewan Rakyat, Jumaat.
Gaji graduan dan pekerja separa mahir RM2,500
Anwar berkata, kenaikan gaji minimum hanya menetapkan paras pendapatan paling rendah untuk pekerja, sedangkan gaji pekerja mahir juga perlu mencerminkan tahap kelayakan dan kemahiran mereka.
Sehubungan itu, kerajaan akan melaksanakan pembaharuan kerangka pendapatan pekerja dengan memperkenalkan gaji minimum RM2,500 sebulan bagi pekerjaan separa mahir dan graduan sebagai permulaan.
Langkah itu bertujuan memastikan pekerja bukan sahaja memperoleh pendapatan minimum yang lebih baik, malah menerima upah lebih wajar berdasarkan kemahiran serta kelayakan masing-masing.
Gaji sara hidup GLC dan GLIC naik RM3,400
Kerajaan turut menyambut baik komitmen syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang meningkatkan penanda aras gaji sara hidup kepada RM3,400 sebulan berbanding RM3,100 sebelum ini.
Langkah itu dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 230,000 pekerja.
Menurut Anwar, kerajaan telah mengambil langkah meningkatkan gaji minimum, memperkenalkan gaji minimum bagi pekerjaan separa mahir dan graduan serta menaikkan gaji penjawat awam.
GLIC dan GLC juga menunjukkan teladan dalam usaha meningkatkan pendapatan pekerja.
Malah, beberapa majikan dalam sektor utama seperti perbankan serta minyak dan gas turut menetapkan kadar gaji yang lebih wajar.
Sehubungan itu, beliau menyeru semua majikan swasta supaya mengikuti langkah berkenaan.
Bayaran gaji melalui bank untuk tuntutan potongan cukai
Dalam usaha mengekang pengambilan pekerja asing tanpa izin, kerajaan menetapkan syarikat selain PMKS hanya boleh menuntut potongan cukai bagi perbelanjaan gaji sekiranya pembayaran dibuat melalui akaun bank mengikut saluran yang dibenarkan di bawah Akta Kerja 1955.
Syarat berkenaan bertujuan menutup ruang kepada majikan menggaji pekerja asing tanpa izin.
Bagaimanapun, syarat itu hanya terpakai kepada tuntutan potongan cukai bagi perbelanjaan gaji dan tidak melibatkan potongan cukai untuk perbelanjaan lain.
Lebih RM80 bilion untuk subsidi, bantuan dan INSENTIF.
Dalam Belanjawan MADANI 2027, kerajaan memperuntukkan lebih RM80 bilion bagi subsidi, bantuan dan insentif untuk membantu rakyat menghadapi kos sara hidup.
Daripada jumlah itu, subsidi bahan api dijangka kekal tinggi pada RM40 bilion, manakala hampir RM3.3 bilion diperuntukkan bagi bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Kerajaan turut meningkatkan peruntukan STR dan SARA kepada RM16 bilion berbanding RM15 bilion sebelum ini.
Semua penerima STR akan menerima SARA sehingga RM150 sebulan atau maksimum RM1,800 setahun, yang dijangka memberi manfaat kepada sehingga sembilan juta penerima.
Sementara itu, rakyat berusia 18 tahun ke atas yang bukan penerima STR akan menerima SARA MADANI sebanyak RM100 sebanyak dua kali, iaitu sebelum Aidilfitri dan menjelang sambutan ambang 70 tahun kemerdekaan negara.
Bantuan itu dijangka memanfaatkan sehingga 13 juta rakyat Malaysia, termasuk golongan M40.
Kerajaan turut menaikkan had pelepasan cukai individu daripada RM9,000 kepada RM12,000 dan mengurangkan kadar cukai pendapatan individu bagi banjaran tertentu.
Keseluruhan langkah itu mencerminkan usaha kerajaan meningkatkan pendapatan rakyat, mengurangkan beban perbelanjaan isi rumah dan memastikan pertumbuhan ekonomi turut memberi manfaat kepada pekerja.

Penulis ini mempunyai pengalaman lebih 15 tahun dalam industri media, khususnya dalam bidang kewartawanan, penulisan dan penghasilan kandungan. Selain pengalaman media, beliau turut berpengalaman dalam merancang dan menganjurkan pelbagai acara serta membina personal branding untuk individu dan organisasi. Gabungan pengalaman ini membolehkan beliau menghasilkan kandungan yang kreatif, berkesan dan mempunyai nilai kepada audiens.
Berita berkaitan

467 ditahan libatkan kesalahan penyeludupan, ketirisan barangan kawalan
Oleh The Step27 Oktober 2026 pada 10:57 PG
TH ambil langkah kesan aliran wang, pindahan bank Al-Rawda
Oleh The Step27 Oktober 2026 pada 09:33 PG
Tipu urusan pembelian dusun durian RM1.65 juta, CEO ditahan SPRM


