EcoTwin Step Training & Consultancy - Menyembuh Jiwa, Mengubah Kehidupan. Dr. Hisham Dzakiria. Hubungi 03-33591329 / 010-8418989, ecotwinstep@gmail.com
Nasional

Datuk Seri Abdul Aziz Abdul Majid dilantik Timbalan Ketua Polis Negara

Beliau mula dilantik dalam pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada 1 Julai 1995.

Metra Syahril Mohamed14 September 2026 pada 01:37 PTGDikemas kini 14 September 2026 pada 02:47 PTG
Saifuddin Nasution Ismali menyerahkan watikah pelantikan Timbalan Ketua Polis Negara kepada Abdul Aziz Abdul Majid. - Gambar KDN

PENGARAH Pengurusan Bukit Aman, Datuk Seri Abdul Aziz Abdul Majid dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Negara berkuat kuasa 9 September lalu.

Pelantikan seperti yang termaktub di bawah Fasal 4 dan 5 Perkara 140 Perlembagaan Persekutuan itu mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, bagi menggantikan Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay yang bersara wajib pada Julai lalu.

Abdul Aziz dilahirkan pada 19 Februari 1967 di Penaga, Pulau Pinang dan berkelulusan ljazah Sarjana Sains Sosial (Pengajian Kepolisan) dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Beliau mula dilantik dalam pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada 1 Julai 1995.

Sepanjang tempoh perkhidmatan, beliau telah ditempatkan di pelbagai jabatan dalam PDRM.

Antaranya adalah Jabatan Pengurusan, Jabatan Cawangan Khas, Jabatan Siasatan Jenayah, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, Jabatan Logistik dan Teknologi serta Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, selaras dengan pengalaman dan kepakaran yang dimiliki, Abdul Aziz telah berkhidmat di pelbagai jawatan strategik dalam PDRM.

Antaranya jelas beliau, Pengarah Pengurusan, Timbalan Pengarah Cawangan Khas, Timbalan Pengarah Narkotik, Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Ketua Penolong Pengarah Pengurusan Dasar/Sumber dan Ketua Penolong Pengarah Pasukan Khas Siasatan Bersepadu.

"Bagi memperkukuh profesionalisme, beliau juga telah menghadiri pelbagai kursus dan seminar, termasuk The 8th International Symposium of Best Police Practice (Dubai, Emiriah Arab Bersatu) dan Intelligence Management Development Programme (Australia)," jelasnya dalam kenyataan.

Katanya, berdasarkan kepakaran dan pengalaman dalam bidang kepolisan, Abdul Aziz mempunyai kompetensi dan daya kepimpinan yang tinggi sebagai Timbalan Ketua Polis Negara.

"Kerajaan mengucapkan syabas dan tahniah atas pelantikan ini," katanya.

Tentang Penulis

Foto profil Metra Syahril Mohamed
Metra Syahril Mohamed

Penulis

Penulis merupakan Ketua Pengarang The Step. Berpengalaman dalam penulisan berita lebih 20 tahun khususnya berkaitan misi kemanusiaan, rencana dan hal ehwal semasa. Penulis juga merupakan calon angkasawan ketika proses pemilihan angkasawan negara. Pernah menyertai misi kemanusiaan di Somalia dan Syria, mendekati cerita-cerita mangsa perang dan konflik kemanusiaan. Penulis juga pernah menyertai misi kemanusiaan di Lubnan bersama pasukan MALBATT.

Berita berkaitan