EcoTwin Step Training & Consultancy - Menyembuh Jiwa, Mengubah Kehidupan. Dr. Hisham Dzakiria. Hubungi 03-33591329 / 010-8418989, ecotwinstep@gmail.com
Nasional

'Dalam penjara ada dadah, ada hierarki, ada kasta': Yasin tarik balik segala dakwaan

"Pada waktu tersebut, sebelum mendapatkan rawatan di Hospital Bahagia, saya sedang mengalami episod bipolar mania".

Metra Syahril Mohamed21 September 2026 pada 10:30 PTGDikemas kini 21 September 2026 pada 10:31 PTG
Yasin Sulaiman

Yasin SulaimanIG Yasin Sulaiman

PENYANYI dan komposer, Yasin Sulaiman secara terbuka memohon maaf kepada Jabatan Penjara Malaysia serta menarik semula dakwaan mengatakan 'dalam penjara ada dadah, ada hierarki, ada kasta' menerusi temu bual dan podcast baru-baru ini.

Dalam pernyataan maafnya menerusi hantaran di media sosial, beliau mengambil maklum penjelasan yang telah dibuat oleh Jabatan Penjara Malaysia berhubung beberapa perkara yang pernah dikongsikannya mengenai pengalaman ketika berada di dalam penjara.

"Saya ingin menjelaskan bahawa perkongsian tersebut dibuat berdasarkan apa yang saya alami dan fahami ketika melalui tempoh berkenaan.

"Pada waktu tersebut, sebelum mendapatkan rawatan di Hospital Bahagia, saya sedang mengalami episod bipolar mania.

"Keadaan saya ketika itu mungkin telah mempengaruhi cara saya melihat, mendengar, memahami dan mentafsir perkara-perkara yang berlaku di sekeliling saya," katanya.

Untuk itu katanya, selepas mengambil maklum penjelasan Jabatan Penjara Malaysia dan melihat kembali keadaan yang dilalui ketika itu, beliau dengan ini menarik balik kenyataan-kenyataan berkenaan.

"Saya kesal sekiranya perkongsian tersebut telah menimbulkan kekeliruan atau salah faham dalam kalangan masyarakat.

"Sehubungan itu, saya ingin memohon maaf kepada Jabatan Penjara Malaysia serta para pegawai dan anggotanya atas kekeliruan yang timbul.

"Saya ingin menjelaskan bahawa perkongsian tersebut tidak pernah dibuat dengan niat untuk mencemarkan nama baik Jabatan Penjara Malaysia ataupun memperkecilkan tugas para pegawai dan anggota yang berkhidmat di institusi berkenaan," katanya.

Beliau turut menghargai tugas dan khidmat para pegawai serta anggota Jabatan Penjara Malaysia yang menjalankan amanah dalam menjaga keselamatan, kebajikan dan proses pemulihan penghuni.

"Dengan penjelasan ini, saya berharap segala kekeliruan yang timbul daripada perkongsian saya sebelum ini dapat diperbetulkan dan perkara ini dapat diselesaikan dengan baik," katanya.

Terdahulu Jabatan Penjara menafikan Yasin bahawa kehidupan dalam penjara sangat bergantung kepada wang dan pengaruh.

Yasin dalam sebuah podcast baru-baru ini mendakwa kewujudan sistem kasta atau hierarki dalam kalangan banduan berdasarkan faktor kewangan.

Pengarah Kanan Dasar Kepenjaraan, Jabatan Penjara, Mohamad Rosidek Musa berkata, sesetengah perkara negatif mungkin berlaku, namun pihaknya mempunyai prosedur operasi standard (SOP) untuk mengekang aktiviti itu.

Tentang Penulis

Foto profil Metra Syahril Mohamed
Metra Syahril Mohamed

Penulis

Penulis merupakan Ketua Pengarang The Step. Berpengalaman dalam penulisan berita lebih 20 tahun khususnya berkaitan misi kemanusiaan, rencana dan hal ehwal semasa. Penulis juga merupakan calon angkasawan ketika proses pemilihan angkasawan negara. Pernah menyertai misi kemanusiaan di Somalia dan Syria, mendekati cerita-cerita mangsa perang dan konflik kemanusiaan. Penulis juga pernah menyertai misi kemanusiaan di Lubnan bersama pasukan MALBATT.

Berita berkaitan