Belanjawan 2027: RM100 juta tangani banjir Lembah Klang, Johor Bahru bakal guna e-ART
Kerajaan akan mengambil langkah khusus mengikut keperluan setiap negeri bagi memastikan masalah yang sekian lama membelenggu penduduk dapat ditangani dengan lebih berkesan.


Sebanyak RM100 juta diperuntukkan untuk membangunkan kolam takungan serta menyelenggara sungai bagi mengurangkan risiko banjir.
MASALAH banjir kilat di Lembah Klang, gangguan bekalan air bersih di Kelantan dan kesesakan lalu lintas di Johor Bahru antara isu rakyat yang diberi perhatian dalam Belanjawan MADANI 2027 menerusi pelaksanaan langkah penyelesaian jangka pendek dan panjang.
Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan akan mengambil langkah khusus mengikut keperluan setiap negeri bagi memastikan masalah yang sekian lama membelenggu penduduk dapat ditangani dengan lebih berkesan.
Bagi menangani banjir kilat di Lembah Klang, kerajaan Persekutuan dan kerajaan Selangor bersetuju melaksanakan lima langkah utama, termasuk menilai keupayaan Empangan Batu dan Empangan Klang Gates untuk menghadapi keperluan bagi tempoh 30 tahun akan datang.
Sebagai langkah segera, sebanyak RM100 juta diperuntukkan untuk membangunkan kolam takungan serta menyelenggara sungai bagi mengurangkan risiko banjir.
Langkah itu penting bagi mengurangkan kesan banjir terhadap penduduk, termasuk kerosakan harta benda, gangguan perjalanan dan aktiviti ekonomi apabila hujan lebat melanda kawasan berisiko.
Kelantan: Empangan Lebir jadi penyelesaian jangka panjang
Di Kelantan, kerajaan akan memulakan perancangan Projek Empangan Lebir sebagai penyelesaian jangka panjang bagi menangani masalah banjir dan bekalan air bersih.
Pada masa sama, pembinaan Loji Rawatan Air Machang serta kerja-kerja penggantian paip uzur yang sedang dilaksanakan akan diteruskan.
Usaha itu bertujuan memperkukuh sistem bekalan air supaya penduduk dapat menikmati perkhidmatan yang lebih baik, di samping menangani masalah infrastruktur air yang memerlukan penyelesaian menyeluruh.
Johor Bahru: e-ART untuk kurangkan kesesakan
Sementara itu, kesesakan lalu lintas di Johor Bahru akan ditangani menerusi pelaksanaan Sistem Transit Aliran Autonomi Bertingkat (e-ART) yang dipersetujui kerajaan sebagai penyelesaian utama.
Menjelang pembukaan perkhidmatan Sistem Transit Rapid (RTS) Link, kerajaan turut merancang menambah laluan dan kekerapan bas henti-henti, meningkatkan kekerapan KTM Komuter serta menyediakan perkhidmatan Grab Shuttle di kawasan tumpuan.
Langkah itu bertujuan menambah pilihan pengangkutan awam kepada penduduk dan pengguna jalan raya, khususnya ketika permintaan perjalanan meningkat susulan pembukaan RTS Link.
Pulau Pinang diperkukuh sebagai hab semikonduktor
Selain menangani masalah asas rakyat, Belanjawan MADANI 2027 turut memberi tumpuan kepada pembangunan ekonomi negeri dan peluang pertumbuhan industri berteknologi tinggi.
Pulau Pinang dikenal pasti sebagai pusat kewangan teknologi negara, dengan Khazanah Nasional dan InvestPenang akan mewujudkan Dana Pelaburan Strategik bernilai RM100 juta.
Dana itu bertujuan membantu syarikat semikonduktor dan industri pembuatan termaju pada peringkat awal pertumbuhan.
Usaha berkenaan dijangka menyokong perkembangan industri berteknologi tinggi serta memperkukuh kedudukan Pulau Pinang sebagai antara pusat penting sektor pembuatan negara.
Pembangunan negeri perlu mengikut keperluan rakyat
Anwar berkata, pembangunan negara perlu dilaksanakan secara adil dengan mengambil kira perbezaan tahap kemajuan dan keperluan setiap negeri.
Menurutnya, prinsip keserataan bukan bermaksud semua negeri menerima jumlah atau bentuk bantuan yang sama, sebaliknya setiap negeri perlu mendapat peruntukan yang munasabah berdasarkan keperluan masing-masing.
Negeri yang telah maju perlu terus meningkatkan pertumbuhan ekonomi, manakala negeri yang sedang berkembang harus diberikan ruang untuk mempercepat pembangunan.
Pada masa sama, negeri dan wilayah yang masih ketinggalan perlu dibantu bagi merapatkan jurang pembangunan serta memastikan rakyat turut menikmati kemajuan negara.
Beliau menjelaskan bahawa pendekatan itu selari dengan tema Belanjawan MADANI Kelima 2027, Menggapai di Langit, Mengakar di Bumi, yang menekankan usaha memperkukuh ekonomi negeri sambil menyelesaikan masalah rakyat yang berlarutan.
Belanjawan berkenaan dibentangkan Anwar di Dewan Rakyat pada Jumaat.

Penulis ini mempunyai pengalaman lebih 15 tahun dalam industri media, khususnya dalam bidang kewartawanan, penulisan dan penghasilan kandungan. Selain pengalaman media, beliau turut berpengalaman dalam merancang dan menganjurkan pelbagai acara serta membina personal branding untuk individu dan organisasi. Gabungan pengalaman ini membolehkan beliau menghasilkan kandungan yang kreatif, berkesan dan mempunyai nilai kepada audiens.
Berita berkaitan

467 ditahan libatkan kesalahan penyeludupan, ketirisan barangan kawalan
Oleh The Step27 Oktober 2026 pada 10:57 PG
TH ambil langkah kesan aliran wang, pindahan bank Al-Rawda
Oleh The Step27 Oktober 2026 pada 09:33 PG
Tipu urusan pembelian dusun durian RM1.65 juta, CEO ditahan SPRM


