Belanjawan 2027: Lebih 9,000 doktor kontrak bakal diserap tetap, KKM terima RM47.7 bilion
Lebih 15,000 doktor kontrak telah dilantik ke jawatan tetap setakat ini, termasuk kira-kira 4,000 orang pada tahun ini.


lebih 15,000 doktor kontrak telah dilantik ke jawatan tetap setakat ini, termasuk kira-kira 4,000 orang pada tahun ini.
LEBIH 9,000 doktor kontrak bakal menikmati lantikan tetap dalam sektor kesihatan awam pada 2027, sekali gus meneruskan usaha kerajaan menangani isu status perjawatan doktor yang berlarutan sejak sekian lama.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu merupakan kesinambungan penyelesaian secara berperingkat yang dilaksanakan kerajaan sejak 2023.
Menurutnya, lebih 15,000 doktor kontrak telah dilantik ke jawatan tetap setakat ini, termasuk kira-kira 4,000 orang pada tahun ini.
Malah, kerajaan menetapkan bahawa doktor yang berjaya menamatkan latihan siswazah selepas ini akan ditawarkan jawatan tetap sebagai pegawai perubatan.
Pengumuman itu dibuat ketika beliau membentangkan Belanjawan MADANI 2027 di Dewan Rakyat, Jumaat.
Dalam perkembangan sama, peruntukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ditingkatkan kepada RM47.7 bilion berbanding RM46.5 bilion sebelum ini bagi memperkukuh mutu serta kapasiti perkhidmatan kesihatan negara.
Bagi menghargai pengorbanan petugas kesihatan yang menjalankan tugas di lapangan, kerajaan turut menaikkan Bayaran Insentif Pos Basik daripada RM100 kepada RM200 sebulan.
Kenaikan itu dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 47,000 anggota paramedik dan jururawat.
Kerajaan juga meningkatkan Bayaran Insentif Perkhidmatan Kesihatan Udara daripada RM30 kepada RM100 susulan tragedi nahas helikopter Perkhidmatan Doktor Udara di Long Lellang yang mengorbankan petugas barisan hadapan.
Sementara itu, usaha mengurangkan tempoh menunggu pesakit mendapatkan rawatan akan diperkukuh menerusi peningkatan peruntukan program penyumberan luar pesakit kepada RM200 juta.
Anwar berkata, kerjasama berkenaan akan diperluas dengan melibatkan fasiliti kesihatan swasta, termasuk penggunaan dewan bedah, bagi membantu meningkatkan kapasiti rawatan sektor awam.
Kerajaan turut menyediakan aturan kerja secara sesi yang lebih fleksibel kepada pakar kerajaan yang bersara dan pakar swasta, termasuk melanjutkan tempoh maksimum perkhidmatan berkenaan.
Skop program berkenaan juga akan diperluas kepada beberapa perkhidmatan khusus, termasuk saringan bayi baru lahir yang diperluas (Expanded Newborn Screening), ujian genetik pranatal (Prenatal Genetic Testing) dan perkhidmatan rehabilitasi.
Dalam usaha mempercepat pendigitalan sektor kesihatan pula, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) akan meneruskan pelaksanaan projek Sistem Rekod Perubatan Elektronik di fasiliti kesihatan seluruh negara menerusi pelaburan berjumlah RM1 bilion.
Pelaksanaan inisiatif berkenaan dijangka membantu memperkukuh pengurusan rekod pesakit serta meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan kesihatan.

Penulis ini mempunyai pengalaman lebih 15 tahun dalam industri media, khususnya dalam bidang kewartawanan, penulisan dan penghasilan kandungan. Selain pengalaman media, beliau turut berpengalaman dalam merancang dan menganjurkan pelbagai acara serta membina personal branding untuk individu dan organisasi. Gabungan pengalaman ini membolehkan beliau menghasilkan kandungan yang kreatif, berkesan dan mempunyai nilai kepada audiens.
Berita berkaitan

467 ditahan libatkan kesalahan penyeludupan, ketirisan barangan kawalan
Oleh The Step27 Oktober 2026 pada 10:57 PG
TH ambil langkah kesan aliran wang, pindahan bank Al-Rawda
Oleh The Step27 Oktober 2026 pada 09:33 PG
Tipu urusan pembelian dusun durian RM1.65 juta, CEO ditahan SPRM


