Belanjawan 2027: 2,500 Rumah MADANI bakal dibina di Belfield, 70 peratus untuk Bumiputera
Kerajaan turut mengumumkan pembangunan tanah strategik seluas 50 ekar di sekitar Kuala Lumpur yang dianggarkan bernilai RM1 bilion


Rumah MADANI bakal dibangunkan di atas tanah kerajaan seluas hampir 11 ekar di Belfield, Kuala Lumpur, menerusi inisiatif Belanjawan MADANI 2027.
SEKURANG-KURANGNYA 2,500 unit Rumah MADANI bakal dibangunkan di atas tanah kerajaan seluas hampir 11 ekar di Belfield, Kuala Lumpur, menerusi inisiatif Belanjawan MADANI 2027.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, 70 peratus daripada unit kediaman yang dibangunkan itu akan dikhususkan kepada golongan Bumiputera.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan MADANI 2027 di Dewan Rakyat, hari ini.
Dalam usaha memperluas peluang pemilikan rumah, kerajaan turut mengumumkan pembangunan tanah strategik seluas 50 ekar di sekitar Kuala Lumpur yang dianggarkan bernilai RM1 bilion sebagai endowmen baharu kepada Yayasan Pelaburan Bumiputra.
Menurut Anwar, pembangunan tanah berkenaan oleh Permodalan Nasional Berhad (PNB) akan mengambil kira keperluan rumah mampu milik serta kepentingan Bumiputera.
Selain itu, PETRONAS telah memulakan pembangunan di atas 10 ekar tanah yang diwartakan sebagai Tanah Rizab Melayu di Kuala Lumpur bagi menyediakan kediaman mampu milik.
Dalam perkembangan berkaitan, kerajaan turut meningkatkan nilai perolehan yang dikhususkan kepada kontraktor Bumiputera kelas G1 hingga G4 kepada RM7.5 bilion berbanding RM4 bilion tahun ini.
Langkah itu bertujuan memperluas peluang kontraktor kecil mendapatkan projek kerajaan, sekali gus membantu mengukuhkan kelangsungan perniagaan mereka.
Bagi kerja penyelenggaraan, pembaikan dan penambahbaikan fasiliti kerajaan, had perolehan secara lantikan terus dibenarkan sehingga RM200,000, manakala perolehan melalui sebut harga boleh mencapai RM3 juta.
Kerajaan juga akan menyediakan pembiayaan sehingga RM1 bilion menerusi TERAJU bagi menyokong perkembangan perusahaan Bumiputera.
Pengumuman itu antara langkah yang digariskan kerajaan menerusi Belanjawan MADANI 2027 bagi memperkukuh ekonomi Bumiputera, memperluas peluang perniagaan dan meningkatkan akses kepada perumahan mampu milik.

Penulis ini mempunyai pengalaman lebih 15 tahun dalam industri media, khususnya dalam bidang kewartawanan, penulisan dan penghasilan kandungan. Selain pengalaman media, beliau turut berpengalaman dalam merancang dan menganjurkan pelbagai acara serta membina personal branding untuk individu dan organisasi. Gabungan pengalaman ini membolehkan beliau menghasilkan kandungan yang kreatif, berkesan dan mempunyai nilai kepada audiens.
Berita berkaitan

467 ditahan libatkan kesalahan penyeludupan, ketirisan barangan kawalan
Oleh The Step27 Oktober 2026 pada 10:57 PG
TH ambil langkah kesan aliran wang, pindahan bank Al-Rawda
Oleh The Step27 Oktober 2026 pada 09:33 PG
Tipu urusan pembelian dusun durian RM1.65 juta, CEO ditahan SPRM


