Anwar puji Gema Bumantara, angkat warisan seni Nusantara
"Walaupun hujan, semua yang hadir tetap setia hingga ke penghujung persembahan. Hebat Siti, hebat juga semangat peminatnya," - Anwar


"Walaupun hujan, semua yang hadir tetap setia hingga ke penghujung persembahan. Hebat Siti, hebat juga semangat peminatnya," - Anwar Foto: Instagram Anwar Ibrahim
KEINDAHAN seni tradisional Nusantara yang dipersembahkan Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza menerusi Konsert Tradisional Gema Bumantara mendapat pujian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Anwar menyifatkan konsert yang berlangsung di TM Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi, sebagai persembahan istimewa dan penuh penghayatan dalam mengangkat kekayaan warisan seni Nusantara.
Menerusi perkongsian di Instagram (IG), beliau turut meluahkan rasa gembira dapat menyaksikan persembahan penyanyi tersohor itu, selain kagum dengan semangat peminat yang tetap berada di lokasi sehingga konsert berakhir meskipun berdepan hujan.
"Seronok malam tadi dapat menikmati persembahan Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza pada Konsert Tradisional Gema Bumantara yang begitu indah mengangkat kekayaan warisan seni Nusantara.
"Walaupun hujan, semua yang hadir tetap setia hingga ke penghujung persembahan. Hebat Siti, hebat juga semangat peminatnya," katanya.
Beliau turut merakamkan ucapan tahniah kepada Siti dan seluruh pasukan produksi yang berjaya menjayakan konsert berkenaan.
"Tahniah kepada Siti dan seluruh pasukan produksi atas persembahan yang cukup istimewa dan penuh jiwa," katanya.


Dalam pada itu, Anwar menekankan kepentingan memelihara seni dan budaya tempatan agar terus menjadi sebahagian daripada kehidupan masyarakat, termasuk dalam kalangan generasi muda.
Menurutnya, pembangunan negara perlu bergerak seiring dengan usaha mempertahankan akar budaya dan jati diri bangsa.
"Saya sentiasa percaya seni dan budaya dekat di hati rakyat, justeru warisan ini mesti terus dihidupkan agar turut dinikmati dan dicintai generasi muda.
"Negara terus kita pacu maju, akar budaya dan jati diri bangsa tetap kita pelihara," katanya.
Konsert Tradisional Gema Bumantara yang berlangsung di TM Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi, berjaya menarik kehadiran lebih 73,000 peminat.
Turut hadir memberikan sokongan ialah Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh.

Penulis ini mempunyai pengalaman lebih 15 tahun dalam industri media, khususnya dalam bidang kewartawanan, penulisan dan penghasilan kandungan. Selain pengalaman media, beliau turut berpengalaman dalam merancang dan menganjurkan pelbagai acara serta membina personal branding untuk individu dan organisasi. Gabungan pengalaman ini membolehkan beliau menghasilkan kandungan yang kreatif, berkesan dan mempunyai nilai kepada audiens.
Berita berkaitan

467 ditahan libatkan kesalahan penyeludupan, ketirisan barangan kawalan
Oleh The Step27 Oktober 2026 pada 10:57 PG
TH ambil langkah kesan aliran wang, pindahan bank Al-Rawda
Oleh The Step27 Oktober 2026 pada 09:33 PG
Tipu urusan pembelian dusun durian RM1.65 juta, CEO ditahan SPRM


