AmBank Kajang satukan masyarakat pelbagai kaum, hulur bantuan menerusi CSR 10.10
Berteraskan tagline Kita Bantu, Kita Peduli, Kita Berkongsi, program berkenaan turut menampilkan pelbagai aktiviti kebajikan, kesihatan dan gotong-royong bagi memberikan manfaat kepada penduduk setempat.


Warga kerja AmBank Kajang menyantuni komuniti berbilang kaum yang hadir ke program CSR 10.10
SEMANGAT perpaduan dan keprihatinan terhadap masyarakat menjadi tunjang penganjuran program tanggungjawab sosial korporat (CSR) 10.10 AmBank Kajang yang berlangsung di Masjid Jamek Kajang, Selangor, pada 10 Oktober baru-baru ini.
Menghimpunkan lebih 100 peserta, program itu bukan sahaja bertujuan membantu golongan yang memerlukan, malah memperkukuh hubungan dalam komuniti serta menyemai nilai murni dan tanggungjawab sosial dalam kalangan masyarakat berbilang kaum.




Berteraskan tagline Kita Bantu, Kita Peduli, Kita Berkongsi, program berkenaan turut menampilkan pelbagai aktiviti kebajikan, kesihatan dan gotong-royong bagi memberikan manfaat kepada penduduk setempat.
Pengurus Cawangan Kajang, AmBank (M) Berhad, Haneff Omar berkata, program berkenaan menjadi platform untuk mengeratkan hubungan masyarakat setempat tanpa mengira latar belakang kaum dan agama.
Menurutnya, penglibatan masyarakat berbilang kaum termasuk Melayu, Cina dan India mencerminkan semangat perpaduan yang perlu terus dipupuk menerusi aktiviti kemasyarakatan.
“Bagi saya, membantu golongan memerlukan bukan sahaja menjadi tanggungjawab sesebuah organisasi, malah memerlukan sokongan dan kerjasama pelbagai pihak bagi memastikan lebih ramai anggota masyarakat mendapat manfaat,” katanya.



Antara pengisian utama program ialah pemberian suntikan vaksin Influenza A secara percuma kepada penduduk setempat berusia 60 tahun ke atas dan pemeriksaan kesihatan percuma.
“Menerusi program ini, kami juga mengagihkan barangan keperluan harian kepada 10 penerima dalam kalangan asnaf bagi membantu meringankan beban mereka.
“Bukan itu sahaja, Kami turut menyumbangkan sebanyak 100 bungkusan makanan kepada kariah masjid hasil sumbangan daripada Ayza Restoran.
“Selain itu, jualan murah sayur-sayuran turut diadakan bagi membantu memenuhi keperluan masyarakat setempat,” katanya. Menariknya, semangat kebersamaan dalam program itu turut dizahirkan menerusi sumbangan daripada 10 pelanggan berbangsa Cina dan India kepada pihak masjid.
Sumbangan berkenaan memperlihatkan keprihatinan masyarakat berbilang kaum dalam menyokong institusi keagamaan serta mengukuhkan hubungan antara komuniti setempat.
Tidak terhad kepada aktiviti kebajikan dan kesihatan, program CSR itu turut memberi tumpuan kepada kebersihan dan kelestarian persekitaran masjid.
“Warga kerja AmBank Kajang bersama komuniti berbilang kaum yang hadir turut bergotong-royong membersihkan serta melakukan kerja vakum di dewan solat, selain membersihkan tandas bagi memastikan persekitaran masjid sentiasa bersih dan selesa untuk kegunaan jemaah.
“Bukan itu sahaja, inisiatif menghijaukan kawasan masjid turut dilaksanakan menerusi penanaman tiga batang pokok sumbangan Majlis Perbandaran Kajang (MPKj),” katanya.


Pelaksanaan program berkenaan melibatkan kerjasama pelbagai pihak termasuk MPKj, Hospital Kajang, Balai Polis Kajang, McDonald's, Ayza's dan Jero Global Sdn. Bhd.
Haneff berharap inisiatif seumpama itu dapat menjadi inspirasi kepada lebih banyak organisasi untuk menghulurkan bantuan kepada golongan yang memerlukan, di samping menggalakkan penyertaan masyarakat dalam aktiviti kemasyarakatan.
"Saya berharap apa yang kami lakukan ini turut mendorong pihak lain untuk membantu lebih ramai orang yang memerlukan," katanya.

Penulis ini mempunyai pengalaman lebih 15 tahun dalam industri media, khususnya dalam bidang kewartawanan, penulisan dan penghasilan kandungan. Selain pengalaman media, beliau turut berpengalaman dalam merancang dan menganjurkan pelbagai acara serta membina personal branding untuk individu dan organisasi. Gabungan pengalaman ini membolehkan beliau menghasilkan kandungan yang kreatif, berkesan dan mempunyai nilai kepada audiens.
Berita berkaitan

467 ditahan libatkan kesalahan penyeludupan, ketirisan barangan kawalan
Oleh The Step27 Oktober 2026 pada 10:57 PG
TH ambil langkah kesan aliran wang, pindahan bank Al-Rawda
Oleh The Step27 Oktober 2026 pada 09:33 PG
Tipu urusan pembelian dusun durian RM1.65 juta, CEO ditahan SPRM


