EcoTwin Step Training & Consultancy - Menyembuh Jiwa, Mengubah Kehidupan. Dr. Hisham Dzakiria. Hubungi 03-33591329 / 010-8418989, ecotwinstep@gmail.com
Nasional

AGC fail rayuan pembebasan remaja bunuh pelajar perempuan

Pada 14 September lalu, Hakim Mahkamah Tinggi, Adlin Abdul Majid melepas dan membebaskan remaja berusia 15 tahun itu daripada pertuduhan membunuh mangsa berusia 16 tahun selepas mendapati tertuduh tidak siuman ketika kejadian.

Metra Syahril Mohamed24 September 2026 pada 11:31 PGDikemas kini 24 September 2026 pada 11:34 PG
Jabatan Peguam Negara.

JABATAN Peguam Negara (AGC) telah memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam yang melepas dan membebaskan remaja lelaki yang didakwa membunuh pelajar perempuan di sebuah sekolah menengah di Bandar Utama, Petaling Jaya, tahun lalu.

Menurut AGC, notis rayuan difailkan di Mahkamah Rayuan pada Selasa lalu.

"Jabatan Peguam Negara merujuk kepada keputusan Yang Arif Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 14 September yang telah melepaskan dan membebaskan seorang remaja lelaki berusia 15 tahun daripada pertuduhan membunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan [Akta 574] di akhir kes pembelaan.

"Ini setelah mahkamah mendapati bahawa remaja tersebut berada dalam keadaan tidak waras pada masa kesalahan itu dilakukan.

"Setelah mempertimbangkan keputusan Yang Arif Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam tersebut, jabatan ini telah memfailkan notis rayuan di Mahkamah Rayuan bagi merayu terhadap keputusan pelepasan dan pembebasan tersebut," jelasnya dalam kenyataan.

Pada 14 September lalu, Hakim Mahkamah Tinggi, Adlin Abdul Majid melepas dan membebaskan remaja berusia 15 tahun itu daripada pertuduhan membunuh mangsa berusia 16 tahun selepas mendapati tertuduh tidak siuman ketika kejadian.

Beliau memerintahkan remaja itu ditempatkan serta menjalani rawatan di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak atas perkenan oleh Sultan Selangor.

Dia didakwa membunuh rakan sekolahnya di tandas pelajar perempuan di sebuah sekolah menengah kebangsaan di Bandar Utama antara 9.20 pagi hingga 9.35 pagi pada 14 Oktober 2025.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun serta sebatan tidak melebihi 12 kali, jika tidak dijatuhi hukuman mati.

Walau bagaimanapun, Seksyen 97(1) Akta Kanak-Kanak 2001 menetapkan hukuman mati tidak boleh dikenakan terhadap individu yang berumur di bawah 18 tahun.

Tentang Penulis

Foto profil Metra Syahril Mohamed
Metra Syahril Mohamed

Penulis

Penulis merupakan Ketua Pengarang The Step. Berpengalaman dalam penulisan berita lebih 20 tahun khususnya berkaitan misi kemanusiaan, rencana dan hal ehwal semasa. Penulis juga merupakan calon angkasawan ketika proses pemilihan angkasawan negara. Pernah menyertai misi kemanusiaan di Somalia dan Syria, mendekati cerita-cerita mangsa perang dan konflik kemanusiaan. Penulis juga pernah menyertai misi kemanusiaan di Lubnan bersama pasukan MALBATT.

Berita berkaitan