72 rakyat Malaysia ditahan di luar negara disyaki terlibat dadah
Kes-kes berkenaan memperlihatkan risiko penglibatan rakyat Malaysia dalam kegiatan penyeludupan dadah antarabangsa.


Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Datuk Hussein Omar Khan.
SERAMAI 72 warga Malaysia dilaporkan ditahan di luar negara kerana disyaki terlibat dalam kesalahan berkaitan dadah, melibatkan rampasan keseluruhan kira-kira 1,704 kilogram dadah bernilai RM81.76 juta.
Ia berdasarkan rekod bagi tempoh Januari sehingga 15 Oktober tahun ini.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Datuk Hussein Omar Khan berkata, antara negara dan wilayah yang merekodkan tangkapan ialah Thailand (19 orang), Indonesia (16), Taiwan (8), Singapura (8), Jepun (5), Filipina (4), India (3), Hong Kong (3), Macau (2) manakala Korea Selatan, Nigeria, Maldives dan Sri Lanka masing-masing seorang.
"Antara kes yang mendapat perhatian ialah penahanan lima warganegara Malaysia di Lapangan Terbang Haneda, Tokyo, baru-baru ini kerana disyaki cuba menyeludup kira-kira lima kilogram kokain bernilai RM3.1 juta.
"Selain itu, seorang lelaki Malaysia turut dilaporkan ditahan di Macau melibatkan hampir tiga kilogram Heroin manakala seorang lagi lelaki Malaysia ditahan di Pusat Pemeriksaan Tuas, Singapura selepas pemeriksaan menemukan heroin, methamphetamine dan ganja.
"Kes-kes berkenaan memperlihatkan risiko penglibatan rakyat Malaysia dalam kegiatan penyeludupan dadah antarabangsa," jelasnya.
Hussein memberitahu, pihaknya memandang serius kemungkinan sindiket dadah antarabangsa mempergunakan warganegara Malaysia sebagai pembawa atau penghantar dadah (drug courier) melalui pelbagai kaedah termasuk tawaran pekerjaan, imbuhan lumayan, pembiayaan perjalanan serta penghantaran barangan bagi pihak ketiga.
Taktik sedemikian jelasnya, berpotensi memperdaya individu yang kurang menyedari risiko dan implikasi perundangan sekali gus mendedahkan mereka kepada tindakan undang-undang yang berat di negara berkenaan.
Katanya, pihak polis ingin menegaskan bahawa setiap warganegara Malaysia yang berada di luar negara adalah tertakluk kepada undang-undang negara tersebut.
"Beberapa negara seperti Singapura, Indonesia dan Thailand memperuntukkan hukuman berat termasuk hukuman mati bagi kesalahan dadah tertentu tertakluk kepada jenis kesalahan, kuantiti dadah serta peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
"Negara-negara lain turut mengenakan hukuman penjara jangka panjang atau penjara seumur hidup bagi kesalahan pengedaran dan penyeludupan dadah yang serius.
"Justeru, setiap individu perlu memahami bahawa penglibatan dalam jenayah dadah boleh membawa akibat yang amat berat terhadap masa depan diri dan keluarga," katanya.

Penulis merupakan Ketua Pengarang The Step. Berpengalaman dalam penulisan berita lebih 20 tahun khususnya berkaitan misi kemanusiaan, rencana dan hal ehwal semasa. Penulis juga merupakan calon angkasawan ketika proses pemilihan angkasawan negara. Pernah menyertai misi kemanusiaan di Somalia dan Syria, mendekati cerita-cerita mangsa perang dan konflik kemanusiaan. Penulis juga pernah menyertai misi kemanusiaan di Lubnan bersama pasukan MALBATT.
Berita berkaitan

Curi kabel di siang hari di Jalan Tun Razak, polis giat buru kumpulan suspek
Oleh The Step21 November 2026 pada 04:14 PTG

Khoo Poay Tiong akui silap, mohon maaf isu premis tutup Jumaat di Kuala Terengganu


