ARC anjuran PENGASIH bertaraf dunia
Program yang dianjurkan sepenuhnya PENGASIH itu merangkumi pembangunan modul, pengendalian latihan dan pengurusan peserta


Program yang dianjurkan sepenuhnya PENGASIH itu merangkumi pembangunan modul, pengendalian latihan dan pengurusan peserta
Dunia pemulihan ketagihan bukan lagi sekadar berkisar mengenai rawatan, tetapi turut berkembang sebagai bidang profesional yang memerlukan ilmu, kemahiran dan pendekatan berasaskan bukti.
Perkembangan itu dizahirkan menerusi kejayaan Persatuan Pengasih Malaysia (PENGASIH) melabuhkan tirai Program Pensijilan Profesional Addiction Recovery Coach (ARC) yang berlangsung pada 30 September lalu.
Program yang dianjurkan sepenuhnya PENGASIH itu merangkumi pembangunan modul, pengendalian latihan dan pengurusan peserta, sekali gus memperlihatkan usaha organisasi berkenaan memperkukuh profesionalisme dalam bidang rawatan serta pemulihan ketagihan.

Lebih membanggakan, kumpulan pertama program berkenaan membabitkan 23 peserta, termasuk penyertaan dari luar negara buat julung kalinya.
Majlis penutup program turut dihadiri Penaung Persatuan PENGASIH Malaysia, Prof. Datuk Dr. Abd Halim Mohd Hussin, Presiden PENGASIH Malaysia, Hafizi Harun, serta Dekan Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof. Madya Dr. Mohd Rushdan Mohd Jailani.

Turut hadir ialah Prof. Madya Dr. Amin Al Haadi Shafie, Profesor Madya USIM, Kaunselor Berdaftar (KBPA) dalam bidang bimbingan, kaunseling dan penyalahgunaan dadah, selain Penyelaras SPADA USIM (Specialty Program for Alcohol and Drug Abuse).
Beliau juga merupakan mantan Penyelaras Asian Centre for Research on Drug Abuse (ACREDA), USIM dan kini Penasihat Malaysian Drug Abuse Counselors (MADAC).
Kehadiran wakil NGO, akademia dan pengamal pemulihan itu mencerminkan kerjasama pelbagai pihak dalam memperkukuh ekosistem rawatan dan pemulihan ketagihan di Malaysia.

Penyertaan pegawai Brunei bukti program mula tarik perhatian serantau
Program ARC turut mencatat sejarah apabila menerima penyertaan dari Brunei Darussalam menerusi Tuan Haji Mohammad Faiz Bin Haji Johan, Pegawai Biro Kawalan Narkotik, Jabatan Perdana Menteri Brunei Darussalam.
Menurut beliau, pengalaman mengikuti kursus berkenaan amat bermakna kerana kandungannya tersusun, praktikal dan relevan dengan keperluan tugasnya.
“Saya amat terharu dan sangat berpuas hati sepanjang mengikuti kursus ARC anjuran PENGASIH Malaysia ini. Modulnya sangat tersusun, praktikal dan tidak terlalu teori.
“Ia sangat relevan untuk saya bawa pulang dan praktikkan di negara saya dalam membantu kerajaan Brunei menangani isu penagihan dadah.”
Penyertaan dari Brunei itu sekali gus membuka ruang kepada perkongsian kepakaran dalam bidang pemulihan ketagihan di peringkat serantau.

Modul berteraskan ilmu dan pengalaman lapangan
Program ARC merupakan inisiatif pensijilan profesional yang memberi latihan kepada peserta untuk memainkan peranan sebagai Addiction Recovery Coach dalam menyokong proses rawatan dan pemulihan individu yang berdepan masalah ketagihan.
Modul program dibangunkan oleh PENGASIH Malaysia dengan penglibatan serta kerjasama akademik Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Asian Centre for Research on Drug Abuse (ACREDA).

Peserta didedahkan kepada pelbagai aspek, termasuk konsep asas ketagihan dan fasa pemulihan, peranan serta etika seorang Recovery Coach, kemahiran komunikasi, sokongan emosi, strategi motivasi perubahan, pencegahan relapse, pengurusan kes dan perancangan pemulihan individu.
Program itu juga memberi penekanan kepada dua objektif utama, iaitu membekalkan pengetahuan serta kemahiran teras kepada peserta dan melahirkan jurulatih kepulihan yang kompeten, beretika serta profesional.
Menariknya, latihan dikendalikan jurulatih yang mempunyai pengalaman luas dalam bidang berkenaan.

Antaranya Hafizi Harun dan Noor Azlan Iskandar yang merupakan Kaunselor Berdaftar dan berpengalaman dalam terapi ketagihan, selain Mohd Razman Rahmat dan Sattish Ram Subramaniam yang mempunyai pengalaman dalam bidang pemulihan.
Pendekatan itu membolehkan peserta bukan sahaja memahami aspek teori, malah mendapat pendedahan berdasarkan pengalaman sebenar dalam dunia pemulihan.
PENGASIH Malaysia dan USIM meterai MoU
Majlis penutup turut menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara PENGASIH Malaysia dan USIM, yang menjadi satu lagi langkah memperkukuh kerjasama dalam bidang berkaitan.
Kerjasama itu memberi tumpuan kepada empat perkara utama, iaitu memperkukuh usaha pencegahan, rawatan dan pemulihan ketagihan dadah; menyediakan latihan serta pendidikan berterusan kepada komuniti PENGASIH; menjalankan penyelidikan bersama; dan meningkatkan mutu perkhidmatan serta keberkesanan program pemulihan melalui sokongan kepakaran akademik.
Kerjasama antara NGO dan institusi akademik itu dilihat mampu memperluas pendekatan pemulihan berasaskan bukti, selain memberi ruang kepada pembangunan latihan yang lebih tersusun dan profesional.

Terbuka kepada pelbagai latar belakang
Program ARC tidak hanya menyasarkan golongan profesional dalam bidang kesihatan atau kaunseling, sebaliknya terbuka kepada individu daripada pelbagai latar belakang yang berminat mendalami ilmu pemulihan ketagihan.
Antaranya kaunselor, doktor, pegawai psikologi, guru, pensyarah, ibu bapa, ahli keluarga individu yang berdepan ketagihan, bekas pengguna yang telah pulih serta orang awam yang mempunyai minat dalam bidang berkenaan.

Dengan tamatnya siri pertama program itu, PENGASIH Malaysia dijangka meneruskan pengambilan bagi siri seterusnya sebagai sebahagian daripada usaha melahirkan lebih ramai jurulatih kepulihan yang mempunyai pengetahuan, kemahiran dan etika profesional.
Maklumat mengenai pengambilan siri kursus atau bengkel ARC seterusnya boleh diperoleh menerusi Facebook rasmi Persatuan PENGASIH Malaysia atau dengan menghubungi urus setia di talian 011-1584 9877 (Sattish) / 011-1070 0187 (Kas) atau e-mel info@pengasih.asia.

Penulis ini mempunyai pengalaman lebih 15 tahun dalam industri media, khususnya dalam bidang kewartawanan, penulisan dan penghasilan kandungan. Selain pengalaman media, beliau turut berpengalaman dalam merancang dan menganjurkan pelbagai acara serta membina personal branding untuk individu dan organisasi. Gabungan pengalaman ini membolehkan beliau menghasilkan kandungan yang kreatif, berkesan dan mempunyai nilai kepada audiens.
Berita berkaitan

467 ditahan libatkan kesalahan penyeludupan, ketirisan barangan kawalan
Oleh The Step27 Oktober 2026 pada 10:57 PG
TH ambil langkah kesan aliran wang, pindahan bank Al-Rawda
Oleh The Step27 Oktober 2026 pada 09:33 PG
Tipu urusan pembelian dusun durian RM1.65 juta, CEO ditahan SPRM


