‘Saya terima apa sahaja pandangan dengan hati terbuka’ – Aisha Retno
"Saya berdepan pelbagai komen dan kritikan. Jadi, saya mengambil masa untuk memahami semua yang berlaku" - Aisha Retno


"Saya berdepan pelbagai komen dan kritikan. Jadi, saya mengambil masa untuk memahami semua yang berlaku" - Aisha Retno
Penyanyi Aisha Retno memilih untuk terus melangkah dalam perjalanan seninya biarpun kemenangan Album Terbaik menerusi album mini (EP), [RE.HAB], pada Anugerah Industri Muzik (AIM) Ke-25 mencetuskan perbincangan dalam kalangan peminat muzik.
Pengiktirafan itu dipersoalkan sesetengah pihak kerana [RE.HAB] hanya mengandungi lima lagu, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai kelayakannya bersaing dalam kategori berkenaan dengan karya yang menampilkan jumlah lagu lebih banyak.
Bagaimanapun, Aisha, 26, tidak melihat perbezaan pandangan itu sebagai sesuatu yang perlu dipanjangkan, sebaliknya menghormati keputusan yang dibuat barisan juri berdasarkan syarat serta kriteria pertandingan.
Menurutnya, dia sendiri bukan individu yang sesuai untuk menghuraikan bagaimana sesuatu karya dinilai kerana proses tersebut berada di bawah bidang kuasa pihak juri.
"Saya terima apa sahaja pandangan dengan hati terbuka. Tahun ini banyak perkara berlaku dalam hidup saya kerana saya bukan hanya berada dalam muzik, malah turut terbabit sebagai juri dan pelakon teater.
"Dalam masa yang sama, saya berdepan pelbagai komen dan kritikan. Jadi, saya mengambil masa untuk memahami semua yang berlaku," katanya.
Aisha ditemui pada Majlis Khatam al-Quran, Bacaan Yasin dan Tahlil untuk Allahyarham Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali di Musollah Aisya, Titiwangsa, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Bercerita mengenai [RE.HAB], Aisha menjelaskan karya berkenaan mempunyai nilai peribadi yang besar kerana pembikinannya berkait rapat dengan pengalaman hidup yang pernah dilaluinya beberapa tahun lalu.
Katanya, proses menghasilkan EP berkenaan bukan sesuatu yang dilakukan dalam tempoh singkat kerana dia mahu menuangkan pengalaman serta perjalanan emosinya ke dalam karya yang dianggap sebagai titik permulaan baharu dalam hidupnya.
"[RE.HAB] sangat dekat dengan kisah sebenar saya. Saya mengambil masa yang lama untuk menghasilkan album ini kerana ia berkait dengan apa yang saya lalui dua atau tiga tahun lalu.
"Saya anggap ia sebagai satu proses untuk memulihkan diri dan akhirnya lahir semula melalui muzik," katanya.
Pada AIM25, [RE.HAB] muncul sebagai pilihan juri bagi kategori Album Terbaik selepas bersaing dengan empat karya lain, iaitu Sa25 oleh Shila Amzah, Album: Lelaki Gila oleh Naim Daniel dan Adnin Roslan, Gema Bumantara oleh Siti Nurhaliza serta Jati Diri oleh Faizal Tahir dan Let Zapin.
Kemenangan itu sekali gus menambah satu lagi pencapaian penting dalam perjalanan muzik Aisha, yang menganggap [RE.HAB] bukan sekadar sebuah koleksi lagu, tetapi turut menjadi gambaran kepada fasa baharu dalam kehidupannya.

Penulis ini mempunyai pengalaman lebih 15 tahun dalam industri media, khususnya dalam bidang kewartawanan, penulisan dan penghasilan kandungan. Selain pengalaman media, beliau turut berpengalaman dalam merancang dan menganjurkan pelbagai acara serta membina personal branding untuk individu dan organisasi. Gabungan pengalaman ini membolehkan beliau menghasilkan kandungan yang kreatif, berkesan dan mempunyai nilai kepada audiens.
Berita berkaitan

467 ditahan libatkan kesalahan penyeludupan, ketirisan barangan kawalan
Oleh The Step27 Oktober 2026 pada 10:57 PG
TH ambil langkah kesan aliran wang, pindahan bank Al-Rawda
Oleh The Step27 Oktober 2026 pada 09:33 PG
Tipu urusan pembelian dusun durian RM1.65 juta, CEO ditahan SPRM


