REKA RONA buka peluang ekonomi, tonjol bakat muda… ‘Artis ada peranannya dalam industri fesyen’ – Bkay Nair
'Kreativiti memang penting, tetapi kita juga perlu melihat bagaimana kreativiti itu boleh menghasilkan nilai ekonomi' - Bkay Nair


'Saya sentiasa memperjuangkan fesyen Malaysia dan warisan tempatan kerana saya adalah rakyat Malaysia.' - Bkay Nair
Persatuan Pembangunan Perniagaan Fesyen Malaysia (PEFEM) melihat penganjuran acara fesyen REKA RONA 2026 bukan sekadar sebagai acara fesyen, sebaliknya platform untuk membuka lebih banyak peluang dalam ekosistem industri berkenaan.
Menurut Presiden PEFEM, Bkay Nair, industri fesyen mempunyai ekosistem yang luas dan tidak hanya tertumpu kepada pereka fesyen atau acara peragaan.


Sebaliknya turut merangkumi tekstil, kraftangan, produksi, peragaan, fotografi, videografi, penggayaan, solekan, penjenamaan, pemasaran, peruncitan, e-dagang, media dan pengurusan acara.
“Kita mahu peluang itu bergerak merentasi keseluruhan ekosistem. Fesyen juga perlu dilihat sebagai a money-making business.
“Kreativiti memang penting, tetapi kita juga perlu melihat bagaimana kreativiti itu boleh menghasilkan nilai ekonomi, pendapatan dan banyak peluang bisnes,” katanya.

Peluang ekonomi anak muda
Bkay juga memberi jaminan bahawa REKA RONA juga turut memberi ruang kepada institusi pendidikan, pereka, pelajar, model, artisan, pasukan produksi, media serta pemain industri untuk mendapatkan pendedahan dan pengalaman dunia sebenar.
Bagi Bkay , pihaknya juga tidak mahu meletakkan sasaran angka tertentu berkaitan peluang pekerjaan kerana matlamat utama REKA RONA adalah mewujudkan laluan dan peluang baharu dalam industri.
“Saya mahu generasi muda bukan sahaja bertanya, ‘What job can I get in the fashion industry?’ tetapi juga ‘What opportunity can I create in the fashion industry?’” katanya.
Sebagai pelakon dan model yang turut berada dalam ekosistem fesyen, Bkay melihat golongan artis juga mempunyai tanggungjawab untuk membantu membuka ruang dan peluang ekonomi kepada pemain industri lain.



Peranan selebriti
Katanya, peranan artis bukan sekadar menjadi wajah kepada sesuatu produk atau koleksi, sebaliknya boleh membantu memberikan visibility, membina demand serta memperkenalkan bakat dan karya tempatan kepada khalayak yang lebih luas.
“Saya percaya sebagai seorang artis dan model, kita juga ada tanggungjawab. Kita berada dalam satu ekosistem yang saling berkait dan kalau kita mempunyai platform, kita perlu gunakan platform itu untuk membuka peluang kepada orang lain.
“Bukan hanya untuk diri kita, tetapi bagaimana kita boleh membantu designer, grafik, model, stylist, photographer dan pemain industri lain mendapat peluang.
“Bagi saya, itu juga sebahagian daripada tanggungjawab selebriti dalam membantu membangunkan ekonomi kreatif,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata REKA RONA 2026 belum dibangunkan sebagai platform pasaran komersial, sebaliknya memberi penekanan kepada pembangunan perniagaan menerusi pendedahan, pengalaman industri, pengiktirafan dan keterlihatan, khususnya kepada pereka baharu dan bakat muda.


Idea kreatif boleh jadi bisnes
Bagaimanapun, katanya, PEFEM mahu melihat acara ini berkembang kepada akses pasaran, peruncitan, e-dagang, kerjasama dan peluang komersial pada masa akan datang.
“Bakat boleh dibangunkan menjadi jenama, kreativiti mampu mencipta nilai, manakala idea boleh dikembangkan menjadi sebuah perniagaan,” katanya.
Menyentuh kesinambungan selepas acara, Bkay Nair berkata lima karya terpilih akan dipamerkan di Muzium Tekstil Negara sehingga akhir tahun, sekali gus memberikan satu lagi ruang pendedahan kepada peserta.
Katanya, PEFEM juga mahu terus berperanan sebagai penghubung antara bakat, institusi pendidikan dan pemain industri menerusi peluang jaringan, kerjasama serta pendedahan kepada industri.


Pejuang fesyen warisan Malaysia
Dalam masa sama, Bkay melihat acara anjurannya itu bertepatan dengan usahanya untuk sentiasa memperjuangkan fesyen Malaysia dan warisan tekstil tempatan.
“Saya sentiasa memperjuangkan fesyen Malaysia dan warisan tempatan kerana saya adalah rakyat Malaysia. Apa sahaja berkaitan Malaysia akan sentiasa menjadi keutamaan saya,” katanya.
Menurutnya, warisan tekstil Malaysia bukan hanya terhad kepada batik dan songket, malah merangkumi pelbagai tradisi seperti Limar, Songket, Pua Kumbu, Tenun Pahang, Keringkam, Linangkit dan Telepuk.Kerjasama dengan Muzium Tekstil Negara
Beliau berkata kerjasama dengan Muzium Tekstil Negara penting bagi memberikan peluang kepada generasi muda dan pereka baharu memahami kekayaan warisan tekstil tempatan, selain meneroka cara menggabungkan warisan dengan reka bentuk serta inovasi.
“Pemeliharaan warisan semata-mata tidak mencukupi. Kita juga perlu melihat bagaimana warisan, kemahiran pertukangan dan kreativiti ini dapat mewujudkan permintaan, menjana pendapatan serta membuka peluang ekonomi.”
“Kalau generasi muda memahami warisan kita, melakukan inovasi terhadapnya secara bertanggungjawab, kemudian mencipta permintaan dan nilai komersial, kita bukan sahaja memelihara warisan, tetapi turut membantu memastikan para penggiat seni, kemahiran pertukangan dan ilmu pengetahuan itu terus berkembang,” katanya.
Untuk info, REKA RONA 2026 yang berlangsung pada 2 Oktober di Kraftangan Malaysia, Kuala Lumpur ini turut melibatkan pelbagai pihak termasuk institusi pengajian tinggi.
Pada acara tersebut, Anugerah Bakat Muda dimenangi oleh GiatMara HQ dan Anugerah Kreativiti Dan Inovasi pula disandang oleh Universiti Teknologi MARA.
Manakala Anugerah Warisan Terbaik dinobatkan kepada Kolej Vokasional Sultan Abdul Samad, Anugerah Rekaan Kontemporari Terbaik menjadi milk Kolej Vokasional ERT Setapak dan Anugerah Rekaan Keseluruhan Terbaik dimenangi oleh GiatMara MARA HQ.

Penulis ini mempunyai pengalaman lebih 15 tahun dalam industri media, khususnya dalam bidang kewartawanan, penulisan dan penghasilan kandungan. Selain pengalaman media, beliau turut berpengalaman dalam merancang dan menganjurkan pelbagai acara serta membina personal branding untuk individu dan organisasi. Gabungan pengalaman ini membolehkan beliau menghasilkan kandungan yang kreatif, berkesan dan mempunyai nilai kepada audiens.
Berita berkaitan

467 ditahan libatkan kesalahan penyeludupan, ketirisan barangan kawalan
Oleh The Step27 Oktober 2026 pada 10:57 PG
TH ambil langkah kesan aliran wang, pindahan bank Al-Rawda
Oleh The Step27 Oktober 2026 pada 09:33 PG
Tipu urusan pembelian dusun durian RM1.65 juta, CEO ditahan SPRM


