Khadam dinobat Filem Terbaik FFM35, bawa pulang dana RM1 juta
Kejayaan Khadam turut diserlahkan apabila pengarahnya, Shamyl Othman, memenangi Anugerah Pengarah Terbaik menerusi filem sama.

FILEM Khadam mencipta kejayaan besar apabila dinobatkan sebagai Filem Terbaik pada Festival Filem Malaysia Ke-35 (FFM35) yang berlangsung di Panggung Sari, Istana Budaya, pada Sabtu. .
FILEM Khadam mencipta kejayaan besar apabila dinobatkan sebagai Filem Terbaik pada Festival Filem Malaysia Ke-35 (FFM35) yang berlangsung di Panggung Sari, Istana Budaya, malam ini.
Kemenangan itu membolehkan penerbitnya, Komet Productions Sdn. Bhd. dan Red Communications Sdn. Bhd. membawa pulang Dana Kandungan Kreatif (DKK) bernilai RM1 juta, selain wang tunai RM5,000 serta trofi yang disampaikan Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil.
Pemberian dana berkenaan merupakan inisiatif Kementerian Komunikasi menerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) bagi memastikan kesinambungan penghasilan karya kreatif tempatan, selain memperkukuh keupayaan penerbitan filem berkualiti dan berdaya saing di peringkat antarabangsa.
Kejayaan Khadam turut diserlahkan apabila pengarahnya, Shamyl Othman, memenangi Anugerah Pengarah Terbaik menerusi filem sama.
Sementara itu, kategori lakonan utama menyaksikan Shaheizy Sam dinobatkan sebagai Pelakon Lelaki Terbaik menerusi filem Badak, manakala Aida Amron membawa pulang trofi Pelakon Wanita Terbaik menerusi filem sama.
Dalam perkembangan lain, FFM35 buat julung kalinya memperkenalkan Anugerah Khas Sepanjang Zaman yang diberikan kepada dua tokoh seni tersohor, Ahmad Yatim dan Fauziah Ahmad Daud atau lebih dikenali sebagai Ogy.
Pengiktirafan itu diberikan sebagai menghargai sumbangan serta legasi kedua-dua figura berkenaan dalam industri seni dan perfileman tanah air.
Turut menerima pengiktirafan ialah Panchacharam P. Nalliah atau Pansha yang dianugerahkan Anugerah Khas Karyawan atas sumbangannya kepada industri perfileman tempatan.
Mengangkat tema 'Spektrum Sinema', FFM35 meraikan kepelbagaian genre, budaya, bahasa, perspektif, teknologi dan generasi pembikin filem yang membentuk landskap sinema Malaysia.
Malam kemuncak festival berprestij itu turut mencatat sejarah apabila Istana Budaya dipilih buat pertama kali sebagai lokasi penganjuran Festival Filem Malaysia, sekali gus mengiktiraf peranan institusi seni berkenaan dalam mengangkat industri kreatif negara.
Majlis anugerah itu disiarkan secara langsung menerusi TV2, Radio Televisyen Malaysia (RTM) selaku rakan penyiar rasmi.
FFM35 turut menghimpunkan penggiat industri perfileman daripada pelbagai generasi termasuk penerbit, pengarah, pelakon, tokoh seni veteran serta tenaga kreatif di belakang tabir.
Penganjuran kali ini turut mendapat sokongan rakan strategik industri termasuk HONOR Magic9 Pro Max, CAT, ZEEKR serta beberapa syarikat produksi tempatan.
Hadir sama, Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching; Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Abdul Halim Hamzah; Pengerusi FINAS, Hans Isaac dan Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Azmir Saifuddin Mutalib.
Berita berkaitan

Marissa Dania hadiahkan diri BMW, Norman Hakim bangga dengan usaha anak

Hello Universe realisasikan impian peminat, 130,000 saksi kehebatan My Chemical Romance

PU Riz seru umat Islam bersatu pelihara kesucian agama


