The Step - Every Story Moves You

‘Ada sebab lagu Pencuri sembilan tahun tersimpan’ - Haiza

Lagu ciptaan penyanyi dan komposer, Aepul Roza itu sebenarnya sudah dirakam sejak 2017, selepas Haiza menamatkan penyertaannya dalam program Duo Star terbitan Astro.

Deel Anjer
Oleh Deel AnjerWartawan20 November 2026 pada 06:34 PTG2 min bacaanDikemas kini 20 November 2026 pada 06:36 PTG
lagu ciptaan penyanyi dan komposer, Aepul Roza itu sebenarnya sudah dirakam sejak 2017, selepas Haiza menamatkan penyertaannya dalam program Duo Star terbitan Astro.

Haiza kini muncul dengan lagu Pencuri

SELEPAS hampir sembilan tahun tersimpan dalam simpanan, penyanyi Haiza akhirnya memperkenalkan single terbaharunya berjudul Pencuri yang dilancarkan secara rasmi hari ini.

Menariknya, lagu ciptaan penyanyi dan komposer, Aepul Roza itu sebenarnya sudah dirakam sejak 2017, selepas Haiza menamatkan penyertaannya dalam program Duo Star terbitan Astro.

Haiza berkata, idea menghasilkan lagu berkenaan tercetus apabila dia meminta Aepul mencipta sebuah karya baharu ketika mereka bekerjasama dalam program terbabit.

Bagaimanapun, pelbagai komitmen kerja menyebabkan pelancaran lagu itu tertangguh sebelum pandemik Covid-19 turut mengubah perancangan asal.

Selepas menyusun semula perancangan pada 2023, Haiza akhirnya memilih 2026 sebagai waktu paling sesuai untuk memperkenalkan Pencuri kepada pendengar.

Menurutnya, lagu itu juga menampilkan sisi berbeza dirinya menerusi susunan muzik lebih ringan dan santai berbanding karya terdahulu.

“Pada asalnya lagu ini tidak mempunyai tajuk. Selepas mendengarnya berkali-kali, saya merasakan Pencuri paling sesuai.

“Saya mahu tampil dengan naskhah lebih santai, tidak tergesa-gesa dan tidak membuatkan pendengar penat ketika menghayatinya,” katanya yang turut tercalon dalam kategori Penyampai Radio Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian ke-38.

Mengimbas proses rakaman, Haiza berkata, lagu berkenaan berjaya disiapkan dalam tempoh kurang tiga jam.

Bagaimanapun, dia mengakui perlu memberikan perhatian lebih kepada sebutan lirik kerana sudah terbiasa menyampaikan lagu berentak rancak.

Katanya, Aepul cukup teliti memastikan setiap perkataan disebut dengan tepat supaya maksud lirik dapat disampaikan dengan jelas.

Dari sudut muzik, Pencuri menggabungkan elemen pop-elektronik bersama sentuhan dangdut moden atau hipdut, sekali gus menghasilkan bunyi yang lebih segar dan mudah melekat di ingatan.

Aepul berkata, proses penulisan lagu mengambil masa tujuh hari dengan tiga draf melodi berbeza dihasilkan sebelum melalui praproduksi selama tiga hari.

Menurutnya, cabaran utama adalah mengimbangi elemen muzik moden dengan melodi yang dekat dengan selera pendengar muzik Melayu.

Malah, lagu itu dianggap mendahului trend ketika mula dirakamkan pada 2017 kerana genre berkenaan belum begitu mendapat perhatian ketika itu.

Dari segi penceritaan, Pencuri mengisahkan seorang wanita yang jatuh cinta pandang pertama sehingga hatinya dicuri dan perasaannya menjadi tidak keruan.

Lebih menarik, muzik video lagu itu turut menampilkan pelakon Ropie sebagai hero, selain menjadi kesinambungan kepada jalan cerita muzik video Young & Gentleman.

Haiza berkata, konsep muzik video berkenaan diberi judul 'Siapa Dia Sebelum Dia' yang membawa penonton kembali kepada kisah awal perkenalan watak berkenaan.

“Pencuri menjadi episod pertama yang menceritakan bagaimana semuanya bermula,” katanya.

Single Pencuri kini boleh distrim menerusi platform digital, manakala muzik videonya dilancarkan pada 20 November, jam 3 petang menerusi YouTube Indigital Music.

Kongsi berita ini dengan keluarga dan rakanKongsi ke WhatsApp
Tentang Penulis
Deel AnjerWartawan, The Step | 199 siaran

Penulis ini mempunyai pengalaman lebih 15 tahun dalam industri media, khususnya dalam bidang kewartawanan, penulisan dan penghasilan kandungan. Selain pengalaman media, beliau turut berpengalaman dalam merancang dan menganjurkan pelbagai acara serta membina personal branding untuk individu dan organisasi. Gabungan pengalaman ini membolehkan beliau menghasilkan kandungan yang kreatif, berkesan dan mempunyai nilai kepada audiens.

Lihat semua tulisan

Berita berkaitan

EcoTwin Step Training & Consultancy - Menyembuh Jiwa, Mengubah Kehidupan. Dr. Hisham Dzakiria. Hubungi 03-33591329 / 010-8418989, ecotwinstep@gmail.com