Bawa nostalgia emo kembali! MCR buat 62,000 penonton ‘histeria’
Dianjurkan Hello Universe, konsert My Chemical Romance Live in Kuala Lumpur itu menampilkan barisan asal kumpulan berkenaan iaitu Gerard Way, Ray Toro, Mikey Way dan Frank Iero.


Selepas 19 tahun tidak beraksi di Malaysia, kumpulan rock alternatif My Chemical Romance dari membuktikan pengaruh mereka masih utuh
BUKAN sekadar sebuah konsert, sebaliknya pertemuan semula ribuan peminat dengan muzik yang pernah mewarnai zaman remaja mereka apabila My Chemical Romance (MCR) menggegarkan Stadium Nasional Bukit Jalil dengan kehadiran 62,000 penonton pada malam pertama, pada Khamis.
Selepas 19 tahun tidak beraksi di Malaysia, kumpulan rock alternatif dari New Jersey, Amerika Syarikat itu membuktikan pengaruh mereka masih utuh apabila setiap lagu yang dipersembahkan disambut nyanyian dan sorakan luar biasa peminat.


Dianjurkan Hello Universe, konsert My Chemical Romance Live in Kuala Lumpur itu menampilkan barisan asal kumpulan berkenaan iaitu Gerard Way, Ray Toro, Mikey Way dan Frank Iero.
Tanpa membuang masa, MCR membuka persembahan menerusi sketsa bertemakan phantom sebelum mengalunkan The End, Dead! dan This Is How I Disappear, diikuti The Sharpest Lives dalam segmen Medication Time / Anthem.
Keunikan persembahan turut terserlah menerusi pendekatan teatrikal Gerard yang bukan sekadar berdiri di hadapan mikrofon, sebaliknya menghidupkan karakter gelap menerusi aksi pentas dan penampilan mulut dipenuhi dakwat hitam seolah-olah dirasuk.

Elemen berkenaan memberikan dimensi tersendiri kepada persembahan, sekali gus mengembalikan identiti emo yang cukup sinonim dengan MCR.
Namun, kemuncak emosi penonton mula terasa apabila lagu ikonik Welcome to the Black Parade berkumandang. Lebih 62,000 suara bergabung menyanyikan lagu berkenaan, menjadikan seluruh stadium seakan-akan satu korus besar yang mengimbau kegemilangan muzik kumpulan itu.
MCR kemudian meneruskan persembahan dengan I Don’t Love You dan House of Wolves yang membawa rentak lebih agresif.

Memasuki segmen A Gift, penonton dihidangkan dengan rangkaian lagu Cancer, Mama, Sleep, Teenagers, Disenchanted dan Famous Last Words, sebelum The End (Reprise) serta Blood menutup bahagian pertama persembahan.
Dalam kesempatan itu, Gerard turut berseloroh mengenai keadaan cuaca lembap di Malaysia yang sedikit sebanyak menguji ketahanan mereka ketika beraksi.
“Macam mana nak main dalam keadaan (cuaca) begini.
“Saya tahu persembahan ini dijadualkan semula tapi terima kasih kerana hadir malam ini. Terima kasih kerana menunggu lama untuk kami,” katanya.

Selepas berehat seketika, MCR kembali mengambil alih pentas menerusi Give ‘Em Hell, Kid, Na Na Na (Na Na Na Na Na Na Na Na Na) dan Our Lady of Sorrows.
Bahagian kedua persembahan diteruskan dengan SING, AMBULANCE dan Cemetery Drive sebelum penonton kembali dibuai nostalgia menerusi Helena yang didahului intro lebih panjang.
Suasana semakin hangat apabila kumpulan itu mempersembahkan I’m Not Okay (I Promise), disusuli Demolition Lovers yang menjadi antara pilihan istimewa malam berkenaan.
Malah, pemilihan Demolition Lovers daripada album sulung mereka, I Brought You My Bullets, You Brought Me Your Love yang diterbitkan pada 2002 pastinya menjadi kejutan bermakna buat peminat setia.
Dengan deretan lagu yang membentuk perjalanan muzik mereka, persembahan malam pertama itu bukan sahaja menjadi medan melepaskan rindu selepas penantian panjang, malah membuktikan karya MCR masih mempunyai tempat istimewa dalam hati peminat Malaysia.
Bagaimanapun, kemeriahan belum berakhir apabila MCR bakal kembali ke pentas sama malam ini (Jumaat) untuk konsert hari kedua, sekali gus memberi peluang kepada peminat sekali lagi menyaksikan fenomena muzik yang pernah menjadi sebahagian daripada perjalanan hidup mereka.

Penulis ini mempunyai pengalaman lebih 15 tahun dalam industri media, khususnya dalam bidang kewartawanan, penulisan dan penghasilan kandungan. Selain pengalaman media, beliau turut berpengalaman dalam merancang dan menganjurkan pelbagai acara serta membina personal branding untuk individu dan organisasi. Gabungan pengalaman ini membolehkan beliau menghasilkan kandungan yang kreatif, berkesan dan mempunyai nilai kepada audiens.
Berita berkaitan

Hello Universe realisasikan impian peminat, 130,000 saksi kehebatan My Chemical Romance

PU Riz seru umat Islam bersatu pelihara kesucian agama

‘Ada sebab lagu Pencuri sembilan tahun tersimpan’ - Haiza


