Kes Irene Sofiya: ‘Bagaimana nak pastikan anak kita tidak ‘memangsakan’ orang lain?’ – Uyaina Arshad
Ini bukan tanggungjawab sekolah saja. Ini tanggungjawab kita sebagai ibu bapa dan masyarakat secara keseluruhannya


Ini bukan tanggungjawab sekolah saja. Ini tanggungjawab kita sebagai ibu bapa dan masyarakat secara keseluruhan ya. - Uyaina Arshad
Tragedi yang menimpa pelajar berusia 16 tahun, Irene Sofiya, bukan sahaja mengundang persoalan mengenai keselamatan anak-anak di sekolah.
Kes bunuh ini sebenarnya turut membuka ruang untuk ibu bapa menilai semula cara mereka membentuk sahsiah dan tingkah laku anak.
Pengacara dan pelakon, Uyaina Arshad, berkata masyarakat tidak seharusnya hanya bertanya bagaimana untuk memastikan anak mereka tidak menjadi mangsa, sebaliknya perlu turut memikirkan bagaimana untuk memastikan anak-anak tidak menjadi individu yang ‘memangsakan’ orang lain.
Menurut Uyaina, isu buli, keganasan dan penderaan yang berlaku dalam kalangan kanak-kanak dan remaja semakin membimbangkan, terutama apabila kejadian berlaku di tempat yang sepatutnya menjadi ruang selamat untuk mereka belajar dan membesar.
“Kenapa semakin kerap kita dengar tentang buli, keganasan, penderaan dan kejadian-kejadian yang langsung tak pernah kita bayangkan boleh berlaku dalam ruang yang sepatutnya menjadi tempat paling selamat untuk anak-anak kita belajar dan membesar?
“Sebagai ibu kepada tiga anak lelaki, saya takut. Bukan sahaja takut kalau sesuatu berlaku kepada anak-anak saya.
“Tapi saya juga takut memikirkan adakah saya sedang membesarkan anak-anak lelaki yang tahu bagaimana untuk menjaga dan tidak memudaratkan manusia lain?” katanya menerusi hantaran di media sosial.
Uyaina berkata, persoalan berhubung keselamatan anak-anak perlu dilihat daripada sudut yang lebih menyeluruh dan tidak wajar hanya meletakkan tanggungjawab kepada pihak sekolah serta guru.
“Mungkin kita bukan hanya patut bertanya, ‘Macam mana nak pastikan anak kita tak jadi mangsa?’
“Tapi mula bertanya, ‘Macam mana nak pastikan anak kita tidak menjadi orang yang ‘memangsakan’ orang lain?’” katanya.
Dalam pada itu, Uyaina mengakui sekolah dan guru sering menjadi pihak pertama yang dipersalahkan apabila berlaku kejadian membabitkan keselamatan pelajar di kawasan sekolah.
Bagaimanapun, beliau menegaskan usaha mencegah kejadian sedemikian memerlukan kerjasama semua pihak, khususnya ibu bapa dan masyarakat.
“Biasanya sekolah dan guru selalu dipersalahkan bila ada sesuatu berlaku dalam perkarangan sekolah.
“Tapi serius, ini bukan tanggungjawab sekolah saja. Ini tanggungjawab kita sebagai ibu bapa dan masyarakat secara keseluruhannya.
“Because it takes a village to raise a kid,” katanya.
Sementara itu, Uyaina turut menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga, sahabat serta mereka yang mengenali Irene Sofiya dan berharap keadilan dapat ditegakkan.
“Irene Sofiya... Salam takziah buat seluruh ahli keluarga, sahabat dan mereka yang mengenali arwah.
“Semoga arwah ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman dan syurga menjadi tempat abadinya. Dan semoga keadilan dapat ditegakkan.
“I just tak boleh berhenti fikir... Apa yang sedang berlaku dengan anak-anak kita di sekolah?” katanya.

Penulis ini mempunyai pengalaman lebih 15 tahun dalam industri media, khususnya dalam bidang kewartawanan, penulisan dan penghasilan kandungan. Selain pengalaman media, beliau turut berpengalaman dalam merancang dan menganjurkan pelbagai acara serta membina personal branding untuk individu dan organisasi. Gabungan pengalaman ini membolehkan beliau menghasilkan kandungan yang kreatif, berkesan dan mempunyai nilai kepada audiens.
Berita berkaitan

467 ditahan libatkan kesalahan penyeludupan, ketirisan barangan kawalan
Oleh The Step27 Oktober 2026 pada 10:57 PG
TH ambil langkah kesan aliran wang, pindahan bank Al-Rawda
Oleh The Step27 Oktober 2026 pada 09:33 PG
Tipu urusan pembelian dusun durian RM1.65 juta, CEO ditahan SPRM


