Malaysia mengalu-alukan pelaburan berkualiti Perancis
Pertemuan ini melakar satu lagi mercu tanda penting menerusi peningkatan hubungan kepada Perkongsian Strategik, menjelang ulang tahun ke-70 hubungan diplomatik Malaysia dan Perancis pada tahun hadapan.


Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Perancis, Emmanuel Macron dalam pertemuan di Kuala Lumpur.
MALAYSIA mengalu-alukan lebih banyak pelaburan berkualiti daripada Perancis, khususnya dalam sektor berpotensi tinggi yang mampu memacu pertumbuhan ekonomi, meningkatkan daya saing negara dan membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat.
Demikian ditegaskan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pertemuannya bersama Presiden Perancis, Emmanuel Macron yang mengadakan lawatan rasmi dua hari ke Malaysia, hari ini.
Menurut Anwar, menerusi mesyuarat dua hala, Malaysia dan Perancis menegaskan iltizam untuk memperkukuh hubungan serta mengangkat kerjasama ke tahap yang lebih tinggi.
"Pertemuan ini melakar satu lagi mercu tanda penting menerusi peningkatan hubungan kepada Perkongsian Strategik, menjelang ulang tahun ke-70 hubungan diplomatik Malaysia dan Perancis pada tahun hadapan.
"Perbincangan memberi tumpuan kepada usaha memperluas kerjasama dalam bidang perdagangan dan pelaburan, industri pertahanan, teknologi tinggi, kecerdasan buatan (AI), semikonduktor, mineral kritikal, peralihan tenaga serta pendidikan dan pembangunan bakat.

"Di samping itu, mempererat hubungan kebudayaan menerusi pertukaran kesusasteraan dan pemikiran falsafah, termasuk warisan intelektual tokoh tersohor Perancis, Victor Hugo," jelasnya.
Anwar memberitahu, usai mesyuarat dua hala, beliau dan Presiden Macron menyaksikan pertukaran dokumen kerjasama antara Malaysia dan Perancis melibatkan memorandum persefahaman (MoU) kerjasama peralihan tenaga, MoU kerjasama mineral kritikal, Pelan Hala Tuju Bilateral Keupayaan Pertahanan dan Kerjasama Industri Pertahanan.
Selain itu jelasnya, Perjanjian Keselamatan bagi Dokumen Sulit Kerjasama Pertahanan, Surat Niat (LoI) Pembangunan Pusat Serantau Bagi Menangani Ancaman Hibrid dan LoI Perolehan Helikopter Tempur dan Penyelamat TUDM Fasa 1 selain MoU Kerjasama Strategik Pembangunan dan Pelaksanaan Projek SALAM.
"Dalam sidang media bersama, saya menyentuh usaha memperkukuh kerjasama pertahanan, perdagangan dan pelaburan. Kerjasama Petronas dan TotalEnergies sudah merangkumi projek berskala besar di Asia, Afrika dan Amerika Utara.

"Dalam soal mineral kritikal, saya mengalu-alukan komitmen Perancis untuk bekerjasama dalam pemprosesan. Kerjasama ini mesti disertai pemindahan teknologi dan latihan supaya kita dapat membina kepakaran di Malaysia.
"Saya turut mengajak Perancis menyokong pembangunan Grid Tenaga ASEAN, termasuk cadangan kabel dasar laut dari Sarawak ke Semenanjung dan seterusnya ke Singapura," katanya.
Beliau memberitahu, pihaknya menghargai ketegasan Perancis dalam menyuarakan keprihatinan terhadap penderitaan rakyat Palestin, khususnya di Gaza.
"Terima kasih Presiden Macron atas kunjungan ini. Saya amat menghargai kesediaan saudara mendengar pandangan Malaysia dan bertukar fikiran secara terbuka mengenai perkembangan dunia. Merci beaucoup," katanya.

Penulis merupakan Ketua Pengarang The Step. Berpengalaman dalam penulisan berita lebih 20 tahun khususnya berkaitan misi kemanusiaan, rencana dan hal ehwal semasa. Penulis juga merupakan calon angkasawan ketika proses pemilihan angkasawan negara. Pernah menyertai misi kemanusiaan di Somalia dan Syria, mendekati cerita-cerita mangsa perang dan konflik kemanusiaan. Penulis juga pernah menyertai misi kemanusiaan di Lubnan bersama pasukan MALBATT.
Berita berkaitan

Pierce Brosnan dinobatkan James Bond paling kacak, Robert Pattinson di tempat kelima
Oleh The Step21 November 2026 pada 02:57 PTG
Dua tren laju bertembung di Sepanyol: Belum ada pengesahan rakyat Malaysia terjejas
Oleh The Step28 Oktober 2026 pada 08:55 PTG
Curi kabel di siang hari di Jalan Tun Razak, polis giat buru kumpulan suspek
Oleh The Step21 November 2026 pada 04:14 PTG

