Dua tren laju bertembung di Sepanyol: Belum ada pengesahan rakyat Malaysia terjejas
Jurucakap kerajaan tempatan memberitahu, lebih 500 penumpang berada di dalam tren berkelajuan tinggi berkenaan.

Nahas melibatkan dua tren laju yang bertembung berhampiran Urda, Toledo, Sepanyol. Media sosial.
KEMENTERIAN Luar Negeri (Wisma Putra) melalui Kedutaan Besar Malaysia di Madrid belum menerima pengesahan mana-mana rakyat Malaysia yang terjejas akibat nahas dua kereta api penumpang berkelajuan tinggi yang bertembung berhampiran Urda, Toledo, Sepanyol.
Kejadian berlaku kira-kira pukul 8.54 pagi tadi (waktu tempatan).
Menurut laporan agensi berita antarabangsa, sekurang-kurangnya 30 terbunuh dalam nahas berkenaan.
Jurucakap kerajaan tempatan memberitahu, lebih 500 penumpang berada di dalam tren berkelajuan tinggi berkenaan.
Wisma Putra memberitahu, pihaknya sedang memantau rapat situasi berkenaan dan dimaklumkan operasi menyelamat kecemasan masih diteruskan.
"Pada peringkat awal ini, kedutaan masih belum menerima pengesahan mengenai mana-mana rakyat Malaysia yang terjejas akibat insiden tersebut.
"Kedutaan sedang berhubung dengan pihak berkuasa Sepanyol dan pengendali perkhidmatan kereta api yang berkaitan bagi memastikan sama ada terdapat rakyat Malaysia dalam kalangan penumpang yang terlibat serta menyelaras bantuan konsular sekiranya diperlukan," jelasnya.
Jelas Wisma Putra, perkhidmatan kereta api berkelajuan tinggi antara Madrid dan Andalusia dilaporkan telah digantung susulan insiden tersebut.
Katanya, rakyat Malaysia yang sedang melakukan perjalanan di Sepanyol, khususnya mereka yang merancang untuk menggunakan perkhidmatan kereta api yang terjejas, dinasihatkan supaya menyemak perkembangan terkini perkhidmatan secara langsung dengan pengendali masing-masing dan membuat pengaturan perjalanan alternatif sekiranya perlu.
"Rakyat Malaysia yang mungkin terjejas akibat insiden tersebut, atau sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai rakyat Malaysia yang mungkin terlibat, amat digesa untuk menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Madrid bagi membantu proses pengesahan dan penyaluran bantuan konsular.
"Rakyat Malaysia yang menetap atau sedang berada di Sepanyol turut digalakkan untuk mendaftar dan sentiasa mengemas kini maklumat perhubungan melalui portal e-Konsular di https://ekonsular.kln.gov.my," katanya.
Berita berkaitan

Bukan bapa kandung, Fawwaz sanggup korbankan masa depan demi Farhana

Suami isteri ditahan, cuba bawa wang tunai hampir RM3 juta ke Singapura
Oleh The Step28 Oktober 2026 pada 05:44 PTG
Kenderaan guna tulisan 'Bomba' bukan milik JBPM Kedah
Oleh The Step28 Oktober 2026 pada 10:20 PG

