The Step - Every Story Moves You

Suami isteri ditahan, cuba bawa wang tunai hampir RM3 juta ke Singapura

Hasil pemeriksaan tersebut membawa kepada penemuan sejumlah wang tunai bernilai RM1,971,697 dalam mata wang ringgit dan wang tunai S$300,000.

TS
Oleh The StepPengarang Berita28 Oktober 2026 pada 05:44 PTG1 min bacaanDikemas kini 28 Oktober 2026 pada 05:46 PTG
Wang tunai yang ditemukan pada kereta sepasang suami isteri ketika pemeriksaan di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin Bangunan Sultan Iskandar, Johor Bahru.

Wang tunai yang ditemukan pada kereta sepasang suami isteri ketika pemeriksaan di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin Bangunan Sultan Iskandar, Johor Bahru. AKPS

PASANGAN suami isteri warga temoatan ditahan selepas disyaki membawa wang tunai hampir RM3 juta yang tidak diisytiharkan ketika melalui pemeriksaan di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin Bangunan Sultan Iskandar, Johor Bahru, pagi semalam.

Menurut Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) Bangunan Sultan Iskandar (BSI), penahanan dilakukan pada pukul 11:40 pagi oleh pegawai AKPS yang bertugas di zon pemeriksaan kereta menghala ke Woodlands.

"Pemandu dan penumpang yang dipercayai merupakan pasangan suami isteri tiba dengan menaiki sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Alphard berwarna putih yang menggunakan nombor pendaftaran tempatan.

"Kenderaan tersebut kemudiannya diperiksa di lorong pemeriksaan kenderaan oleh tiga orang pegawai AKPS.

"Pemeriksaan lanjut dilakukan setelah pemandu kenderaan terbabit menunjukkan kelakuan mencurigakan ketika disoal dan diarah supaya membuka ruang penyimpanan barang serta tempat duduk penumpang untuk diperiksa," jelasnya.

AKPS memberitahu, hasil pemeriksaan tersebut membawa kepada penemuan sejumlah wang tunai bernilai RM1,971,697 dalam mata wang ringgit dan wang tunai S$300,000.

Jelasnya, kesemua wang tunai terbabit ditemukan di dalam tiga buah kotak, satu beg kertas dan satu beg galas berwarna hitam.

"Pasangan tersebut serta semua wang tunai termasuk kenderaan terbabit telah ditahan dan disita untuk diserahkan kepada pihak Jabatan Kastam Diraja Malaysia bagi tindakan selanjutnya.

"AKPS ingin menegaskan, sebarang perbuatan atau cubaan membawa masuk atau keluar serta keengganan untuk mengisytiharkan wang tunai yang dibawa merupakan suatu kesalahan yang boleh disiasat dan didakwa di bawah Akta Kastam 1967," tambahnya.

Kongsi berita ini dengan keluarga dan rakanKongsi ke WhatsApp

Berita berkaitan

EcoTwin Step Training & Consultancy - Menyembuh Jiwa, Mengubah Kehidupan. Dr. Hisham Dzakiria. Hubungi 03-33591329 / 010-8418989, ecotwinstep@gmail.com