The Step - Every Story Moves You

Bukan bapa kandung, Fawwaz sanggup korbankan masa depan demi Farhana

Lebih meruntun emosi, Fawwaz sanggup memikul tanggungjawab terhadap anak yang dikandung Farhana meskipun dia bukan bapa kandungnya, sekali gus mempertaruhkan masa depan sendiri demi insan dicintai.

Deel Anjer
Oleh Deel AnjerWartawan28 Oktober 2026 pada 09:21 PTG2 min bacaanDikemas kini 28 Oktober 2026 pada 09:24 PTG
Lebih meruntun emosi, Fawwaz sanggup memikul tanggungjawab terhadap anak yang dikandung Farhana meskipun dia bukan bapa kandungnya, sekali gus mempertaruhkan masa depan sendiri demi insan dicintai.

Dua Nyawa memaparkan kisah realiti kehidupan remaja

SANGGUPKAH seorang lelaki memikul tanggungjawab membesarkan anak yang bukan darah dagingnya sendiri demi wanita yang dicintai?

Persoalan itu menjadi antara konflik utama drama Original iQIYI, Dua Nyawa, yang menampilkan Zarif Ghazzi, Jazmy Juma dan Puteri Balqis sebagai teraju utama.

Bakal menemui penonton pada 13 November ini, drama 12 episod berkenaan mengangkat kisah cinta, pengorbanan dan tanggungjawab apabila satu keputusan mampu mengubah kehidupan seseorang buat selama-lamanya.

Mengisahkan Farhana lakonan Puteri Balqis yang hamil hasil hubungannya dengan Zafran (Jazmy Juma), kehidupannya mula berubah apabila terpaksa berdepan tekanan keluarga, pandangan masyarakat dan masa depan yang tidak menentu.

Ketika Zafran bergelut untuk menerima tanggungjawab terhadap tindakannya, Fawwaz (Zarif Ghazzi), pemuda yang sekian lama menyimpan perasaan terhadap Farhana, memilih untuk terus berada di sisi wanita itu.

Lebih meruntun emosi, Fawwaz sanggup memikul tanggungjawab terhadap anak yang dikandung Farhana meskipun dia bukan bapa kandungnya, sekali gus mempertaruhkan masa depan sendiri demi insan dicintai.

Bagaimanapun, pengorbanan itu tidak menjanjikan kebahagiaan apabila Zafran kembali untuk mengambil alih tanggungjawab yang pernah ditinggalkan.

Kehadiran semula Zafran mencetuskan konflik baharu dalam kehidupan Farhana, sekali gus memaksanya membuat keputusan sukar antara cinta, kemaafan dan tanggungjawab.

Drama arahan Riza Baharudin itu merupakan hasil penulisan Liza Nur yang turut mengetengahkan isu kehamilan pada usia muda, tekanan sosial serta kesediaan golongan remaja menghadapi implikasi daripada keputusan yang dibuat.

Pengarah Urusan Kanan iQIYI Asia Tenggara, Dinesh Ratnam, berkata drama berkenaan mencerminkan komitmen platform itu dalam menghasilkan karya tempatan yang dekat dengan realiti masyarakat dan membawa mesej bermakna kepada penonton.

Menurutnya, Dua Nyawa turut menekankan kepentingan mencegah kehamilan pada usia remaja serta memahami bahawa menjadi ibu bapa merupakan tanggungjawab sepanjang hayat yang memerlukan kesediaan emosi dan kewangan.

Sementara itu, Liza berkata naskhah berkenaan diinspirasikan daripada kebimbangannya terhadap isu kehamilan dalam kalangan remaja serta kesannya terhadap masa depan mereka.

Beliau berharap jalan cerita yang dipaparkan dapat memberi kesedaran kepada golongan muda bahawa setiap keputusan mempunyai implikasi tersendiri, malah kesilapan yang dilakukan pada usia muda boleh mengubah perjalanan hidup seseorang.

Liza turut mengakui cabaran menghasilkan drama itu terletak pada usaha memahami pemikiran dan pergolakan emosi tiga watak utama yang mempunyai konflik serta perjalanan hidup berbeza.

Menerusi Dua Nyawa, Zarif membawakan watak Fawwaz, seorang pemuda penyayang yang sanggup berkorban demi wanita dicintai, manakala Jazmy tampil sebagai Zafran dengan karakter lebih kompleks berbanding imej hero romantik yang sering dikaitkan dengannya.

Balqis atau Aqish  pula menggalas watak Farhana, gadis muda yang terpaksa berdepan perubahan besar dalam kehidupannya selepas keputusan yang dibuat membawa kesan berpanjangan.

Diterbitkan Global Station Sdn. Bhd., drama bergenre sosial itu mengandungi 12 episod berdurasi 45 minit setiap satu dan akan ditayangkan secara eksklusif di iQIYI bermula 13 November 2026.

Kongsi berita ini dengan keluarga dan rakanKongsi ke WhatsApp
Tentang Penulis
Deel AnjerWartawan, The Step | 195 siaran

Penulis ini mempunyai pengalaman lebih 15 tahun dalam industri media, khususnya dalam bidang kewartawanan, penulisan dan penghasilan kandungan. Selain pengalaman media, beliau turut berpengalaman dalam merancang dan menganjurkan pelbagai acara serta membina personal branding untuk individu dan organisasi. Gabungan pengalaman ini membolehkan beliau menghasilkan kandungan yang kreatif, berkesan dan mempunyai nilai kepada audiens.

Lihat semua tulisan

Berita berkaitan

EcoTwin Step Training & Consultancy - Menyembuh Jiwa, Mengubah Kehidupan. Dr. Hisham Dzakiria. Hubungi 03-33591329 / 010-8418989, ecotwinstep@gmail.com