The Step - Every Story Moves You

KWSP, PERKESO dan solat Jumaat wajib dijaga, Adam Corrie tidak kompromi hak pekerja

“Saya pernah menjadi pekerja sebelum ini dan pernah merasai pengalaman bekerja dari malam hingga ke pagi sebagai pelayan. " - Adam Corrie

Deel Anjer
Oleh Deel AnjerWartawan26 Oktober 2026 pada 02:05 PTG2 min bacaanDikemas kini 26 Oktober 2026 pada 02:17 PTG
Adam menegaskan pembayaran zakat perniagaan juga menjadi antara tanggungjawab yang perlu dilaksanakan

Adam menegaskan pembayaran zakat perniagaan juga menjadi antara tanggungjawab yang perlu dilaksanakan

PENGALAMAN bekerja sebagai pelayan restoran dari malam hingga ke pagi membuatkan pelakon dan usahawan, Adam Corrie Lee, lebih memahami kepentingan menjaga kebajikan pekerja.

Justeru, pemilik rangkaian restoran Kopi Hut itu menegaskan, perkara asas seperti caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) tidak boleh dikompromi dalam pengurusan perniagaannya.

Menurut Adam, setiap potongan caruman perlu disertakan resit sebagai bukti bagi memastikan pekerja mengetahui status kewangan serta hak mereka.

“Bagi saya, caruman KWSP dan SOCSO itu wajib. Setiap kali potongan dibuat, kita akan berikan resit sebagai bukti supaya mereka tahu status kewangan mereka.

“Saya pernah menjadi pekerja sebelum ini dan pernah merasai pengalaman bekerja dari malam hingga ke pagi sebagai pelayan.

“Jadi, apabila bergelar majikan, saya tidak mahu berdendam sebaliknya mahu menjaga kebajikan mereka sebaiknya,” katanya.

Majlis Pelancaran Halal Kopi Hut di Cyberjaya , baru-baru ini.
Majlis Pelancaran Halal Kopi Hut di Cyberjaya yang dirasmikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan baru-baru ini.

Adam berkata, sebelum membuka restoran, beliau turut menetapkan dua perkara utama yang perlu dipersetujui rakan kongsinya bagi memastikan prinsip perniagaan berteraskan Islam terus dipelihara.

Katanya, perkara pertama ialah memberikan ruang kepada pekerja Muslim untuk menunaikan solat, termasuk solat Jumaat, meskipun ia memerlukan operasi premis dihentikan buat sementara waktu.

“Malah, sebelum membuka kedai lagi, saya dah tegaskan dua perkara utama kepada rakan kongsi saya.

“Pertama, pekerja Muslim wajib diberi ruang untuk solat dan wajib pergi solat Jumaat.

“Jika tiada staf wanita untuk menjaga kedai, kita tutup premis selama dua jam kerana di situlah keberkatan perniagaan saya,” katanya.

Selain kebajikan pekerja, Adam menegaskan pembayaran zakat perniagaan juga menjadi antara tanggungjawab yang perlu dilaksanakan tanpa menjadikannya bergantung semata-mata kepada jumlah keuntungan.

“Kedua, perniagaan ini wajib membayar zakat tanpa mengira berapa banyak keuntungan yang diperoleh,” tegasnya.

Dalam perkembangan berkaitan, Adam bersyukur apabila cawangan pertama Kopi Hut di Cheras berjaya memperoleh sijil pengesahan halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) selepas setahun membuat persediaan.

Beliau berkata, kejayaan itu turut mencerminkan komitmen pihak pengurusan untuk memastikan operasi perniagaan dijalankan mengikut prinsip dan prosedur yang ditetapkan.

Kopi Hut kini mempunyai 30 cawangan secara keseluruhan, manakala permohonan sijil halal bagi tiga lagi cawangan di Lembah Klang sedang diusahakan.

Kongsi berita ini dengan keluarga dan rakanKongsi ke WhatsApp
Tentang Penulis
Deel AnjerWartawan, The Step | 191 siaran

Penulis ini mempunyai pengalaman lebih 15 tahun dalam industri media, khususnya dalam bidang kewartawanan, penulisan dan penghasilan kandungan. Selain pengalaman media, beliau turut berpengalaman dalam merancang dan menganjurkan pelbagai acara serta membina personal branding untuk individu dan organisasi. Gabungan pengalaman ini membolehkan beliau menghasilkan kandungan yang kreatif, berkesan dan mempunyai nilai kepada audiens.

Lihat semua tulisan

Berita berkaitan

EcoTwin Step Training & Consultancy - Menyembuh Jiwa, Mengubah Kehidupan. Dr. Hisham Dzakiria. Hubungi 03-33591329 / 010-8418989, ecotwinstep@gmail.com