Perjanjian Lynas, AS urusan komersial, bekalan REE untuk R&D
Lynas memaklumkan bahawa bekalan oksida nadir bumi tersebut adalah untuk tujuan penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalam sektor perindustrian pembuatan magnet kekal.

PERJANJIAN pembekalan bahan nadir bumi di antara Lynas Rare Earths Ltd. (Australia) dengan Kerajaan Amerika Syarikat (AS) adalah atas urusan komersial yang diuruskan secara langsung oleh subsidiari iaitu Lynas LLC USA.
Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) memaklumkan, berdasarkan maklumat syarikat, kerjasama tersebut bertujuan untuk memudah cara pemuktamadan perjanjian bekalan bahan bagi industri pembuatan moden yang menyokong usaha Kerajaan AS dalam mencapai objektif daya tahan bekalan nasional mereka.
"Lynas juga memaklumkan bahawa bekalan oksida nadir bumi tersebut adalah untuk tujuan penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalam sektor perindustrian pembuatan magnet kekal.
"Secara teknikalnya, adalah sukar untuk menentukan hala tuju produk siap atau penggunaan akhir unsur nadir bumi (REE) terutama sekali atas faktor kegunaan produk ini yang pelbagai dan merentasi segenap industri," jelasnya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.
MITI menjawab soalan Datuk Ahmad Amzad Mohamed @ Hashim (PN- Kuala Terengganu) mengenai perjanjian pembekalan nadir bumi selama empat tahun antara Lynas dan Pentagon dan implikasinya terhadap kepentingan strategik negara.
Kementerian itu menambah, rantaian bekalan adalah bersifat ‘fragmented’, produk sering bertukar tangan di antara pembuat dan pembekal serta perbezaan di antara pembeli dan pengguna akhir produk.
Jelas MITI, pihaknya komited membangunkan ekosistem REE yang holistik dan bersepadu bagi memaksimumkan nilai ekonomi sumber mineral tempatan.
Strategi tersebut katanya, menumpukan kepada usaha penarikan pelaburan tempatan dan antarabangsa untuk memperkasakan segmen pertengahan dan hiliran, terutamanya dalam pembuatan berteknologi tinggi seperti magnet kekal, bahan termaju, komponen elektronik dan bateri.
"Bagi menjayakan aspirasi ini, Malaysia perlu memanfaatkan kerjasama strategik dan pemindahan teknologi daripada negara rakan yang berpengalaman dalam pemprosesan REE.
"Langkah ini bukan sahaja akan dapat mengukuhkan keupayaan tempatan merentasi seluruh rantaian nilai iaitu daripada aktiviti perlombongan hingga pembuatan produk akhir, malah akan menempatkan Malaysia sebagai pemain penting dalam rantaian bekalan global mineral kritikal," katanya.
Jelasnya, dalam usaha tersebut, kerajaan telah meluluskan operasi syarikat Lynas di Malaysia iaitu Lynas Malaysia Sdn. Bhd. (Lynas Malaysia), sebuah syarikat pemprosesan REE yang dimiliki sepenuhnya oleh Lynas Rare Earth Ltd., Australia.
Berdasarkan maklumat syarikat katanya, Lynas telah menyumbang kira-kira RM4.81 bilion kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Malaysia bagi tempoh 2013 hingga 2021.
Berita berkaitan

Kopi Hut ambil masa setahun peroleh sijil halal JAKIM

Komitmen kewangan: Fahami kos, risiko dan bandingkan pilihan
Oleh The Step26 Oktober 2026 pada 10:03 PG
Gangguan fungsi navigasi: TuJu mohon maaf kepada pengguna
Oleh The Step23 Oktober 2026 pada 09:13 PTG

