Kerugian terkumpul UJSB RM12.3 bilion pada akhir tahun lalu
Bagi tahun 2027, kerajaan telah menyediakan peruntukan sebanyak RM1 bilion kepada UJSB bagi tujuan penebusan awal sukuk, sekali gus memperkukuh aliran tunai TH.

URUSHARTA Jamaah Sdn. Bhd. (UJSB), syarikat milik penuh Menteri Kewangan Diperbadankan, mengalami kerugian terkumpul sebanyak RM12.3 bilion pada akhir tahun lalu.
Menurut Kementerian Kewangan (MoF), secara kronologinya pada 2018, UJSB mengambil alih aset Lembaga Tabung Haji (TH) bernilai RM9.7 bilion dengan harga RM19.9 bilion.
Perbezaan RM10.2 bilion katanya, merupakan premium yang diberikan kepada TH bagi membantu pemulihan kewangannya, tetapi menjadi beban kerugian kepada UJSB melalui rosot nilai aset.
Selain itu jelas MoF, kos keuntungan sukuk yang terakru kepada TH turut menyumbang kepada kerugian terkumpul UJSB.
"Dengan kata lain, kos sukuk yang ditanggung UJSB merupakan pendapatan keuntungan terakru kepada TH. Kedua-dua komponen ini merupakan penyumbang utama kepada kerugian terkumpul UJSB sebanyak RM13.20 bilion pada akhir 2025.
"UJSB ditubuhkan untuk membantu memulihkan kedudukan kewangan TH melalui pengambilalihan dan pemulihan aset yang tidak berdaya saing," jelasnya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.
MoF menjawab soalan Datuk Ahmad Marzuk Shaary (PN-Pengkalan Chepa) mengenai nilai aset bersih, jumlah liabiliti dan kerugian terkumpul UJSB berdasarkan penyata kewangan terkini serta nilai semasa aset yang dipindahkan daripada TH dan sama ada UJSB berkeupayaan memenuhi obligasi sukuk tanpa sokongan kewangan tambahan kerajaan.
Kementerian itu menambah, kerugian terkumpul tersebut perlu dibezakan daripada prestasi operasi UJSB.
UJSB katanya, secara konsisten mencatatkan keuntungan operasi sejak 2019, termasuk RM297 juta bagi tahun kewangan 2025.
"Nilai aset di bawah pengurusannya juga meningkat daripada RM9.7 bilion pada 2018 kepada RM11.61 bilion pada akhir 2025.
"Usaha pemulihan turut membolehkan syarikat perladangan yang kembali menjana keuntungan diserahkan semula kepada TH pada harga lebih rendah daripada harga pengambilalihan," katanya.
MoF memberitahu, bagi tahun 2027, kerajaan telah menyediakan peruntukan sebanyak RM1 bilion kepada UJSB bagi tujuan penebusan awal sukuk, sekali gus memperkukuh aliran tunai TH.
"Kementerian Kewangan komited untuk menyediakan peruntukan bagi penebusan awal sukuk tertakluk kepada kedudukan kewangan kerajaan.
"Sebelum ini, peruntukan tidak dapat disediakan seperti yang dirancang kerana kerajaan perlu mengutamakan perbelanjaan bagi menangani pandemik COVID-19.
"Komitmen ini diteruskan bagi menyokong UJSB memenuhi obligasinya kepada TH, di samping memulihkan aset secara berhemat," katanya.
Berita berkaitan

Kopi Hut ambil masa setahun peroleh sijil halal JAKIM

Komitmen kewangan: Fahami kos, risiko dan bandingkan pilihan
Oleh The Step26 Oktober 2026 pada 10:03 PG
Gangguan fungsi navigasi: TuJu mohon maaf kepada pengguna
Oleh The Step23 Oktober 2026 pada 09:13 PTG

