Komitmen kewangan: Fahami kos, risiko dan bandingkan pilihan
Meminta bantuan katanya, bukan tanda kegagalan, sebaliknya, tindakan itu menunjukkan bahawa kita mengambil tanggungjawab terhadap masa depan.

Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Adnan Zaylani Mohamed Zahid.
'LUANGKAN masa untuk membandingkan pilihan, memahami jumlah kos dan memikirkan risiko sekiranya keadaan berubah'.
Demikian nasihat Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Adnan Zaylani Mohamed Zahid kepada mereka yang merancang untuk mengambil sebarang komitmen mengenai kewangan.
Menurut beliau, tidak semua perkara berkaitan wang mempunyai jawapan yang sama untuk setiap orang.
Keputusan yang baik jelasnya, bergantung kepada kemampuan dan keperluan individu itu sendiri.
"Jangan hanya menilai kemampuan untuk membayar komitmen kewangan pada bulan ini, fikirkan juga kemampuan pada bulan-bulan mendatang.
"Berbincanglah tentang kewangan dengan keluarga, dengan penuh hormat dan tanpa saling menyalahkan. Jika ada perkara yang tidak difahami, bertanyalah," katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan Majlis Penutup Karnival Celik Kewangan Selangor 2026 dan Bulan Literasi Kewangan 2026 di Shah Alam.
Jelasnya, jika individu itu menghadapi kesukaran, dapatkan nasihat lebih awal melalui saluran yang dipercayai, termasuk khidmat nasihat percuma Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK).
Meminta bantuan katanya, bukan tanda kegagalan, sebaliknya, tindakan itu menunjukkan bahawa kita mengambil tanggungjawab terhadap masa depan.
Jelasnya, bagi kebanyakan keluarga, gaji yang diterima setiap bulan bukan sekadar angka dalam akaun.
Di sebalik angka itu katanya, terdapat keperluan, harapan dan tanggungjawab.
"Setiap ringgit perlu diurus dengan pertimbangan yang baik. Dalam erti kata lain, wang ialah satu amanah.
"Prinsip memelihara harta, atau hifz al-mal, mengingatkan kita supaya tidak mensia-siakan sumber yang telah diamanahkan kepada kita," katanya.
Namun begitu tambahnya, mengurus amanah ini bukanlah sesuatu yang sentiasa mudah.
"Ada yang terpaksa membuat pilihan sukar kerana pendapatan yang terhad. Ada yang kurang memahami pilihan kewangan yang tersedia dan ada juga yang berasa segan untuk bertanya atau mendapatkan bantuan," katanya.
Oleh sebab itu beliau mahu Skuad Celik Kewangan menyantuni masyarakat dengan memahami keadaan mereka, supaya nasihat yang diberikan benar-benar relevan dan dapat diamalkan.
Berdasarkan laporan awal katanya, skuad tersebut telah mengunjungi 72 lokasi di seluruh negara dan menyantuni lebih 17,000 rakyat Malaysia.
"Mereka turun ke sekolah, institusi pengajian tinggi, tempat kerja, pasar dan komuniti setempat. Pendekatan secara bersemuka memberikan peluang kepada orang ramai untuk mengemukakan soalan yang mungkin tidak pernah mereka tanyakan sebelum ini," jelasnya.
Berita berkaitan

Kopi Hut ambil masa setahun peroleh sijil halal JAKIM

Gangguan fungsi navigasi: TuJu mohon maaf kepada pengguna
Oleh The Step23 Oktober 2026 pada 09:13 PTG
Kerugian terkumpul UJSB RM12.3 bilion pada akhir tahun lalu
Oleh The Step23 Oktober 2026 pada 08:22 PG

