The Step - Every Story Moves You

Kopi Hut ambil masa setahun peroleh sijil halal JAKIM

“Mereka bukan sahaja memeriksa kebersihan dapur, malah memastikan semua staf benar-benar faham mengenai konsep halal" - Adam Corrie

Deel Anjer
Oleh Deel AnjerWartawan26 Oktober 2026 pada 01:53 PTG2 min bacaanDikemas kini 26 Oktober 2026 pada 02:04 PTG
Majlis Pelancaran Halal Kopi Hut  dirasmikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan

Majlis Pelancaran Halal Kopi Hut dirasmikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan

RESTORAN Kopi Hut milik pelakon dan usahawan, Adam Corrie Lee, mengambil masa setahun membuat persediaan sebelum berjaya memperoleh sijil pengesahan halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bagi cawangan pertamanya di Cheras.

Adam, 57, berkata, proses mendapatkan sijil berkenaan memerlukan penelitian menyeluruh, khususnya membabitkan kebersihan dapur, pematuhan bahan masakan serta tahap pemahaman pekerja terhadap prosedur halal.

Menurutnya, pihak pengurusan perlu memastikan setiap aspek memenuhi keperluan ditetapkan sebelum permohonan dapat diluluskan.

“Secara jujurnya, kami mengambil masa selama setahun untuk membuat persediaan sebelum pihak JAKIM datang membuat pemeriksaan terperinci.

“Mereka bukan sahaja memeriksa kebersihan dapur, malah memastikan semua staf benar-benar faham mengenai konsep halal,” katanya ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Halal Kopi Hut di Cyberjaya, baru-baru ini.

Menurut Adam, proses mendapatkan sijil berkenaan memerlukan penelitian menyeluruh, khususnya membabitkan kebersihan dapur, pematuhan bahan masakan serta tahap pemahaman pekerja terhadap prosedur halal.
Menurut Adam, proses mendapatkan sijil berkenaan memerlukan penelitian menyeluruh, khususnya membabitkan kebersihan dapur, pematuhan bahan masakan serta tahap pemahaman pekerja terhadap prosedur halal.

Mengulas lanjut, Adam berkata, pihaknya pernah berdepan kesilapan teknikal akibat salah faham pekerja mengenai prosedur penambahan bahan masakan.

Sebagai contoh, katanya, penambahan bahan seperti belacan yang tidak disenaraikan dalam permohonan awal menyebabkan permohonan perlu dibatalkan dan dikemukakan semula.

“Namun selepas pencerahan diberikan kepada semua pekerja, Alhamdulillah akhirnya permohonan kami diluluskan,” katanya.

Majlis Pelancaran Halal Kopi Hut di Cyberjaya, baru-baru ini.
Majlis Pelancaran Halal Kopi Hut di Cyberjaya, baru-baru ini.

Susulan kejayaan itu, Kopi Hut kini dalam proses memohon sijil halal secara serentak bagi tiga lagi cawangannya di Lembah Klang, iaitu Seri Perdana Gombak, Taman Sri Gombak (TBG) dan Sri Rampai.

Adam berkata, usaha mendapatkan pengesahan halal itu bukan sekadar memenuhi keperluan operasi, sebaliknya bertujuan memberikan keyakinan kepada pelanggan daripada pelbagai latar belakang.

“Alhamdulillah, pelanggan Muslim memang sedia tahu saya seorang Islam dan sentiasa memberi sokongan.

“Namun, sebagai usahawan, saya memikul tanggungjawab besar untuk memastikan premis ini benar-benar diyakini. Tambahan pula, saya mempunyai rakan kongsi bukan Muslim.

“Sijil halal ini penting supaya tiada sebarang isu timbul atau pertikaian daripada masyarakat,” katanya.

Beliau turut bersyukur apabila rakan kongsinya memberikan kerjasama dan bersetuju untuk mengikut saluran serta prinsip perniagaan Islam.

Ketika ini, Kopi Hut mempunyai 30 cawangan secara keseluruhan, dengan hidangan Chinese Mee Kari menjadi antara menu paling mendapat sambutan.

Menurut Adam, sajian berkenaan sudah terjual lebih 500,000 mangkuk selepas melalui proses penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi menyesuaikan rasanya dengan selera masyarakat tempatan.

Kongsi berita ini dengan keluarga dan rakanKongsi ke WhatsApp
Tentang Penulis
Deel AnjerWartawan, The Step | 191 siaran

Penulis ini mempunyai pengalaman lebih 15 tahun dalam industri media, khususnya dalam bidang kewartawanan, penulisan dan penghasilan kandungan. Selain pengalaman media, beliau turut berpengalaman dalam merancang dan menganjurkan pelbagai acara serta membina personal branding untuk individu dan organisasi. Gabungan pengalaman ini membolehkan beliau menghasilkan kandungan yang kreatif, berkesan dan mempunyai nilai kepada audiens.

Lihat semua tulisan

Berita berkaitan

EcoTwin Step Training & Consultancy - Menyembuh Jiwa, Mengubah Kehidupan. Dr. Hisham Dzakiria. Hubungi 03-33591329 / 010-8418989, ecotwinstep@gmail.com