EcoTwin Step Training & Consultancy - Menyembuh Jiwa, Mengubah Kehidupan. Dr. Hisham Dzakiria. Hubungi 03-33591329 / 010-8418989, ecotwinstep@gmail.com
Bisnes

Kakitangan Malaysia Airlines terbaik di Asia, 'top 3' kru kabin terbaik dunia

Kru kabinnya pula berada di kedudukan ketiga bagi kategori Kru Kabin Syarikat Penerbangan Terbaik Dunia, melonjak lima anak tangga berbanding tempat kelapan pada 2025.

Metra Syahril Mohamed19 September 2026 pada 08:57 PTGDikemas kini 19 September 2026 pada 09:25 PTG
Malaysia Airlines menampakkan pencapaian memberangsangkan apabila dinobatkan sebagai Kakitangan Syarikat Penerbangan Terbaik di Asia menerusi Anugerah Syarikat Penerbangan Dunia Skytrax 2026.

Malaysia Airlines menampakkan pencapaian memberangsangkan apabila dinobatkan sebagai Kakitangan Syarikat Penerbangan Terbaik di Asia menerusi Anugerah Syarikat Penerbangan Dunia Skytrax 2026.Malaysia Airlines.

MALAYSIA Airlines dinobatkan sebagai Kakitangan Syarikat Penerbangan Terbaik di Asia menerusi Anugerah Syarikat Penerbangan Dunia Skytrax 2026.

Anugerah tersebut mengiktiraf kualiti keseluruhan perkhidmatan yang diberikan oleh kakitangan barisan hadapan syarikat penerbangan, merangkumi pengalaman di lapangan terbang dan sepanjang penerbangan.

Kru kabinnya pula berada di kedudukan ketiga bagi kategori Kru Kabin Syarikat Penerbangan Terbaik Dunia, melonjak lima anak tangga berbanding tempat kelapan pada 2025.

Kru kabin Malaysia Airlines.

Syarikat penerbangan itu juga naik enam anak tangga di kedudukan ke-21 dalam kategori Syarikat Penerbangan Terbaik Dunia, sekali gus menandakan kemajuan dalam transformasi yang disokong pelaburan berterusan merentasi sumber manusia, produk, armada, rangkaian dan tawaran kepada pelanggannya.

Malaysia Airlines turut mengukuhkan kedudukannya dalam beberapa kategori lain pada anugerah tahun ini.

Ia juga mengekalkan kedudukan dalam kalangan 10 Syarikat Penerbangan Terbaik di Asia.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malaysia Aviation Group, Kapten Nasaruddin A. Bakar berkata, pengiktirafan itu mencerminkan usaha kolektif semua kakitangan yang bekerjasama menonjolkan Malaysian Hospitality sepanjang perjalanan pelanggan.

"Kejayaan-kejayaan ini merupakan pencapaian penting bagi syarikat penerbangan kebangsaan ini selain ganjaran atas usaha gigih pasukan kami," jelasnya dalam kenyataan.

Dalam tempoh dua tahun ini, syarikat penerbangan itu terus meningkatkan pengalaman pelanggan dengan memberi tumpuan kepada keselesaan kabin, sajian dalam penerbangan serta penyampaian perkhidmatan oleh kru kabin.

Pembaharuan armada kekal sebagai salah satu komponen penting dalam usaha tersebut, dengan 29 pesawat baharu telah diterima setakat ini.

Syarikat penerbangan itu juga merancang untuk melengkapkan armada sebanyak 117 pesawat moden menjelang 2035 bagi menambah kapasiti dan menyokong pertumbuhan rangkaiannya.

Tentang Penulis

Foto profil Metra Syahril Mohamed
Metra Syahril Mohamed

Penulis

Penulis merupakan Ketua Pengarang The Step. Berpengalaman dalam penulisan berita lebih 20 tahun khususnya berkaitan misi kemanusiaan, rencana dan hal ehwal semasa. Penulis juga merupakan calon angkasawan ketika proses pemilihan angkasawan negara. Pernah menyertai misi kemanusiaan di Somalia dan Syria, mendekati cerita-cerita mangsa perang dan konflik kemanusiaan. Penulis juga pernah menyertai misi kemanusiaan di Lubnan bersama pasukan MALBATT.

Berita berkaitan