The Step - Every Story Moves You

Genting Property, Huawei meterai kerjasama antarabangsa

Di bawah Perjanjian Perancangan Induk, Genting Property akan mendapatkan khidmat Huawei untuk menyokong perancangan induk JTSC, termasuk Kampus Pintar utama seluas 430 ekar dalam Kampus AI Pengetahuan.

TS
Oleh The StepPengarang Berita17 Oktober 2026 pada 09:21 PG2 min bacaanDikemas kini 19 Oktober 2026 pada 12:27 PTG
Kerjasama antara Genting Property Sdn Bhd dan Huawei Technologies (Malaysia) Sdn. Bhd. dimeterai menerusi perjanjian perancangan induk sempena acara Huawei di Pusat Seni Antarabangsa Shenzhen Longgang, bagi merealisasikan visi pembangunan Johor Tech Smart City daripada peringkat konsep kepada pelaksanaan sebenar.

Kerjasama antara Genting Property Sdn Bhd dan Huawei Technologies (Malaysia) Sdn. Bhd. dimeterai menerusi perjanjian perancangan induk sempena acara Huawei di Pusat Seni Antarabangsa Shenzhen Longgang, bagi merealisasikan visi pembangunan Johor Tech Smart City daripada peringkat konsep kepada pelaksanaan sebenar.

GENTING Property Sdn. Bhd. (Genting Property), bahagian hartanah Genting Plantations Berhad (Genting Plantations), melakar satu perkembangan penting dalam pembangunan Bandar Pintar Teknologi Johor (JTSC) menerusi kerjasama strategik dengan Huawei, sebuah peneraju teknologi global.

Kerjasama antara Genting Property dan Huawei Technologies (Malaysia) Sdn. Bhd. ini dimeterai menerusi Perjanjian Perancangan Induk sempena acara Huawei bertemakan 'Infrastruktur Berpacukan Awan – Ekosistem Digital Baharu' di Pusat Seni Antarabangsa Shenzhen Longgang, bagi merealisasikan visi pembangunan JTSC daripada peringkat konsep kepada pelaksanaan sebenar.

Di bawah Perjanjian Perancangan Induk, Genting Property akan mendapatkan khidmat Huawei untuk menyokong perancangan induk JTSC, termasuk Kampus Pintar utama seluas 430 ekar dalam Kampus AI Pengetahuan.

Keupayaan kecerdasan buatan (AI), kepakaran teknologi global serta pengalaman Huawei dalam pembangunan kampus pintar akan dimanfaatkan dalam peringkat pembangunan.

Usaha sama ini merupakan kerjasama antarabangsa pertama Huawei dalam bidang Kampus Pintar serta pelaksanaan pertama keupayaan perancangan induk berasaskan AI Huawei di luar China.

Menerusi kerjasama ini, Huawei akan mengintegrasikan kepakaran globalnya dalam pembangunan kampus pintar serta keupayaan AI dan teknologi canggih ke dalam reka bentuk asas JTSC.

Kerjasama bersejarah ini membolehkan JTSC memanfaatkan keupayaan teknologi Huawei yang luas, sekali gus memastikan perancangan induknya sejajar dengan amalan terbaik antarabangsa, berlandaskan kejayaan Huawei membangunkan kampus pintar berskala besar dan berteknologi canggih di Shanghai dan Dongguan.

Majlis pemeteraian perjanjian ini disaksikan oleh Pengerusi Eksekutif Genting Berhad, Tan Sri Lim Kok Thay, serta Ahli Eksekutif Lembaga Penyeliaan merangkap Ketua Pegawai Logistik Huawei, Ren Shulu (Steven Ren), sekali gus mencerminkan kepentingan strategik kerjasama ini kepada kedua-dua kumpulan.

Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Pengarah Eksekutif Genting Plantations, Datuk Lim Keong Hui, berkata: "Kerjasama ini menjawab satu persoalan penting yang kami ajukan ketika merancang JTSC, bagaimanakah kita dapat membina masa depan hari ini untuk membawa perubahan yang besar dan memberi kesan nyata?"

Pihaknya percaya teknologi mesti menjadi pemacu kemajuan, iaitu kemajuan yang dipacu oleh bakat tempatan yang diperkasa serta pelaburan berkualiti tinggi yang menjadi rebutan setiap ekonomi progresif.

"Rakyat Malaysia berhak berada di barisan hadapan pertumbuhan ini, di tanah air sendiri. Berteraskan Kampus Pintar seluas 430 ekar, JTSC akan menjadi destinasi unggul yang membuka peluang tempatan menerusi inovasi global, sekali gus membentuk masa depan progresif melalui perancangan strategik yang jelas dan berwawasan," jelasnya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perniagaan Perusahaan, Huawei Malaysia, Du Xianjun berkata, pihaknya berbesar hati mengalu-alukan Genting Property sebagai rakan kongsi antarabangsa pertama dalam bidang Kampus Pintar.

"Sebelum ini, kerangka pembangunan ini hanya digunakan di kampus pintar milik Huawei sendiri di China. Namun, model ini kini dibuka kepada syarikat global untuk berkembang maju dalam ekosistem inovasi bersepadu yang berteraskan gaya hidup.

"Kampus Pintar seluas 430 ekar di JTSC akan menjadi penanda aras baharu bagi pembangunan dan pengurusan ekosistem pintar masa hadapan di seluruh dunia," katanya.

Kongsi berita ini dengan keluarga dan rakanKongsi ke WhatsApp

Berita berkaitan

Majlis Pelancaran Halal Kopi Hut  dirasmikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan
Bisnes

Kopi Hut ambil masa setahun peroleh sijil halal JAKIM

Oleh Deel Anjer26 Oktober 2026 pada 01:53 PTG
TuJu, aplikasi navigasi dibangunkan menerusi kerjasama antara Lembaga Lebuhraya Malaysia LLM dan Prosignal Consortium Sdn. Bhd.
Bisnes

Gangguan fungsi navigasi: TuJu mohon maaf kepada pengguna

Oleh The Step23 Oktober 2026 pada 09:13 PTG
EcoTwin Step Training & Consultancy - Menyembuh Jiwa, Mengubah Kehidupan. Dr. Hisham Dzakiria. Hubungi 03-33591329 / 010-8418989, ecotwinstep@gmail.com