EcoTwin Step Training & Consultancy - Menyembuh Jiwa, Mengubah Kehidupan. Dr. Hisham Dzakiria. Hubungi 03-33591329 / 010-8418989, ecotwinstep@gmail.com
Rencana

'Kau pasti masuk neraka': Usah jadi 'hakim akhirat', boleh mengundang kemurkaan Allah

Perbuatan menghukum seseorang sebagai 'pasti masuk neraka' dan tidak mempunyai peluang untuk mendapat keampunan juga boleh menutup pintu taubat serta menyebabkan manusia berputus asa daripada rahmat Allah SWT.

Metra Syahril Mohamed13 September 2026 pada 07:32 PGDikemas kini 13 September 2026 pada 08:45 PG
Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

KECENDERUNGAN sesetengah individu yang mudah menghukum kedudukan akhirat orang lain, sama ada dengan memberikan jaminan syurga atau menetapkan balasan neraka, jelas menyalahi disiplin ilmu akidah.

Malah ia merosakkan adab-adab Islam yang dituntut dalam agama.

Semuanya berlaku akibat perbezaan pandangan, perselisihan faham mahupun perbuatan maksiat secara zahir.

Menurut pandangan dikemukakan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (PMWP), dalam kerangka akidah Islam, penentuan kedudukan akhir seseorang manusia sama ada memperoleh kebahagiaan di syurga atau kesengsaraan di neraka merupakan sebahagian daripada perkara ghaib yang berada di bawah kehendak dan hak mutlak Allah SWT semata-mata.

"Tiada makhluk sama ada malaikat mahupun nabi yang diutuskan oleh Allah SWT memiliki ilmu pengetahuan secara persendirian untuk mengesahkan pengakhiran hayat seseorang individu secara khusus melainkan apa-apa yang telah dikhabarkan secara khusus melalui wahyu," jelasnya menerusi artikel di Bayan Linnas.

Jelas PMWP, untuk memfokuskan ganjaran syurga atau azab neraka kepada individu secara khusus, ia tidak wajar dilakukan melainkan jika terdapat dalil qat’i daripada al-Quran atau hadis yang sahih.

Katanya, terdapat hadis sahih yang secara tegas melarang perbuatan menentukan tempat atau kedudukan seseorang di akhirat secara sewenang-wenang.

Tambah PMWP, sesiapa yang membuat keputusan sedemikian terhadap seseorang, sebenarnya dia telah membatasi sesuatu yang luas, iaitu rahmat Allah SWT dan seolah-olah campur tangan dalam kehendak-Nya dengan menetapkan satu kemungkinan sahaja daripada kehendak-Nya.

"Kecenderungan segelintir masyarakat untuk menjadi 'hakim akhirat' dengan menentukan pengakhiran syurga atau neraka sesama manusia membawa bahaya serta implikasi negatif yang amat berat.

"Perbuatan mendahului ketentuan Allah SWT boleh membawa kepada kemurkaan-Nya. Sikap menghukum seseorang sebagai ahli neraka dengan penuh keyakinan merupakan suatu bentuk keberanian terhadap ketetapan Allah SWT dan berisiko menyebabkan pahala amalan kebajikan orang yang menghukum menjadi sia-sia," katanya.

PMWP menambah, perbuatan menghukum orang lain sebagai ahli neraka juga boleh melahirkan sifat takbur dan riak dalam diri seseorang.

Sikap tersebut katanya, sering berpunca daripada perasaan yang menganggap diri sendiri lebih baik, lebih suci atau lebih benar daripada orang lain.

"Keadaan ini boleh menyebabkan penyakit hati seperti sombong dan meremehkan orang lain semakin berakar dalam diri.

"Seterusnya, perbuatan menghukum seseorang sebagai 'pasti masuk neraka' dan tidak mempunyai peluang untuk mendapat keampunan juga boleh menutup pintu taubat serta menyebabkan manusia berputus asa daripada rahmat Allah SWT.

"Apabila seseorang yang melakukan maksiat merasakan dirinya sudah tidak mempunyai harapan untuk diampuni, keadaan tersebut boleh mendorongnya untuk terus melakukan kejahatan tanpa berusaha memperbaiki diri dan kembali bertaubat," jelasnya.

Di samping itu katanya, amalan melabel dan membidaahkan sesama Muslim sebagai calon ahli neraka akibat perbezaan ijtihad atau kesalahan tertentu boleh merosakkan ukhuwah dan perpaduan umat Islam.

Katanya, sikap sedemikian berpotensi mencetuskan perpecahan, permusuhan dan kebencian sesama Muslim sedangkan perbezaan pandangan dalam perkara tertentu sepatutnya diuruskan dengan ilmu, adab dan sikap saling menghormati.

Tentang Penulis

Foto profil Metra Syahril Mohamed
Metra Syahril Mohamed

Penulis

Penulis merupakan Ketua Pengarang The Step. Berpengalaman dalam penulisan berita lebih 20 tahun khususnya berkaitan misi kemanusiaan, rencana dan hal ehwal semasa. Penulis juga merupakan calon angkasawan ketika proses pemilihan angkasawan negara. Pernah menyertai misi kemanusiaan di Somalia dan Syria, mendekati cerita-cerita mangsa perang dan konflik kemanusiaan. Penulis juga pernah menyertai misi kemanusiaan di Lubnan bersama pasukan MALBATT.

Berita berkaitan