Mesyuarat Exco Kelantan cipta kelainan, diadakan dalam tren ECRL ke Gombak
Mesyuarat dipengerusikan Menteri Besar, Datuk Mohd Nassuruddin Daud dan dihadiri semua Exco kerajaan negeri.


Menteri Besar Kelantan dan barisan Exco kerajaan negeri bermesyuarat di dalam tren ECRL.
SIDANG Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) Kelantan mencipta kelainan apabila berlangsung di dalam gerabak tren Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).
Ia diadakan dalam perjalanan dari Kota Bharu, Kelantan menuju ke Gombak, Selangor.
Mesyuarat dipengerusikan Menteri Besar, Datuk Mohd Nassuruddin Daud dan dihadiri semua Exco kerajaan negeri.
Menurut Mohd Nassuruddin, persidangan yang berlangsung dalam suasana berbeza itu memberi peluang barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) meneruskan urusan pentadbiran negeri, termasuk membincangkan perkara-perkara penting berkaitan pembangunan serta kepentingan rakyat.
"Pendekatan tersebut membuktikan komitmen kepimpinan kerajaan negeri untuk memastikan urusan pentadbiran dan agenda pembangunan terus diberi perhatian, meskipun dalam suasana dan lokasi yang berbeza daripada kebiasaan," jelasnya dalam hantaran di Facebook.
Pada masa sama katanya, perjalanan tersebut turut membuka ruang kepada barisan Exco untuk melihat sendiri perkembangan serta kemajuan projek ECRL yang dijangka menjadi antara pemangkin utama kepada pembangunan ekonomi dan pengukuhan jaringan pengangkutan antara negeri.
Pelaksanaan projek berkenaan jelasnya, diyakini mampu membuka lebih banyak peluang ekonomi, merancakkan aktiviti perdagangan dan pelaburan serta meningkatkan hubungan perhubungan antara Kelantan dengan negeri-negeri lain.
"Kerajaan Negeri Kelantan berharap kemudahan ECRL dapat memberikan manfaat yang besar kepada rakyat, khususnya dalam merancakkan pembangunan negeri, meningkatkan mobiliti masyarakat dan membuka lembaran baharu kepada pertumbuhan ekonomi Kelantan," katanya.

Penulis merupakan Ketua Pengarang The Step. Berpengalaman dalam penulisan berita lebih 20 tahun khususnya berkaitan misi kemanusiaan, rencana dan hal ehwal semasa. Penulis juga merupakan calon angkasawan ketika proses pemilihan angkasawan negara. Pernah menyertai misi kemanusiaan di Somalia dan Syria, mendekati cerita-cerita mangsa perang dan konflik kemanusiaan. Penulis juga pernah menyertai misi kemanusiaan di Lubnan bersama pasukan MALBATT.
Berita berkaitan

Prestasi bagus tapi cuma dapat Timbalan Exco?: 'Nak komen apa? Saya ok je'


Kerajaan belum tetapkan tarikh khusus pelaksanaan tambahan kerusi Parlimen Sabah, Sarawak


