The Step - Every Story Moves You

Kerajaan belum tetapkan tarikh khusus pelaksanaan tambahan kerusi Parlimen Sabah, Sarawak

Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) pada 11 September lalu secara prinsipnya bersetuju untuk meningkatkan nisbah perwakilan kedua-dua negeri tersebut di Dewan Rakyat, selaras dengan semangat asal pembentukan Malaysia.

Metra Syahril Mohamed
Oleh Metra Syahril MohamedKetua Pengarang The Step18 November 2026 pada 04:09 PTG2 min bacaanDikemas kini 19 November 2026 pada 09:45 PG
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha @ Mohd Yunus Sakmud.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha @ Mohd Yunus Sakmud. Jabatan Penerangan Malaysia

KERAJAAN belum menetapkan tarikh khusus bagi pembentangan pindaan Perlembagaan atau pelaksanaan penambahan kerusi Parlimen bagi Sabah dan Sarawak kerana ia masih memerlukan penelitian dari aspek perundangan, teknikal dan persempadanan pilihan raya serta rundingan dengan pihak berkepentingan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha @ Mohd Yunus Sakmud berkata, biarpun begitu mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) pada 11 September lalu secara prinsipnya bersetuju untuk meningkatkan nisbah perwakilan kedua-dua negeri tersebut di Dewan Rakyat, selaras dengan semangat asal pembentukan Malaysia.

Menurut beliau, susulan keputusan tersebut, tindakan pelaksanaan akan dibuat secara berperingkat termasuk memulakan libat urus dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada 22 September dengan cadangan penubuhan jawatankuasa khas di bawah Jawatankuasa Teknikal MTPMA63 turut dikemukakan.

"Di peringkat perundangan, cadangan penambahan kerusi memerlukan pindaan terhadap Perkara 46 Perlembagaan Persekutuan yang perlu mendapat sokongan sekurang-kurangnya dua pertiga Ahli Dewan Rakyat.

"Setelah pindaan Perlembagaan dimuktamadkan, SPR akan melaksanakan proses kajian semula persempadanan bahagian pilihan raya mengikut Perkara 113 dan Jadual Ketiga Belas Perlembagaan Persekutuan," katanya di Dewan Rakyat.

Beliau menjawab soalan Mohamad Shafizan Kepli (GPS-Batang Lupar) mengenai garis masa bagi melaksanakan cadangan yang dipersetujui semasa mesyuarat MTPMA63 baru-baru ini khasnya berkenaan penambahan kerusi Dewan Rakyat Sabah dan Sarawak mengikut ratio satu pertiga dan mewujudkan formula untuk pemberian khas kepada negeri Sarawak di bawah Perkara 112D.

Berhubung formula pemberian khas kepada Sarawak di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan, katanya, kerajaan mengambil maklum cadangan Kerajaan Negeri Sarawak untuk mewujudkan formula pengiraan yang lebih jelas, konsisten dan mampan bagi menentukan kadar pemberian khas pada masa hadapan.

Sebagai langkah interim jelas beliau, Kerajaan Persekutuan mengumumkan peningkatan pemberian khas kepada Sarawak daripada RM600 juta kepada RM1.5 bilion berkuat kuasa tahun 2026.

"Walau bagaimanapun, kadar ini merupakan penyelesaian interim dan bukan penyelesaian muktamad kepada rundingan formula jangka panjang.

"Pada masa ini, cadangan formula tersebut masih dalam rundingan antara Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Negeri Sarawak. Hasil rundingan akan diteliti oleh Kementerian Kewangan dan dibawa ke Jawatankuasa Teknikal MTPMA63 untuk pertimbangan serta tindakan selanjutnya," katanya.

Sehubungan itu tambahnya, kerajaan akan terus memperkukuh penyelarasan melalui MTPMA63 dengan menetapkan tindakan susulan, agensi peneraju dan keperluan perundangan bagi setiap perkara.

"Garis masa pelaksanaan bagi kedua-dua perkara ini akan dimuktamadkan setelah mekanisme dan persetujuan antara Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Negeri Sarawak dicapai, tertakluk kepada peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan proses perundangan yang berkuat kuasa," katanya.

Kongsi berita ini dengan keluarga dan rakanKongsi ke WhatsApp
Tentang Penulis
Metra Syahril MohamedKetua Pengarang The Step, The Step | 102 siaran

Penulis merupakan Ketua Pengarang The Step. Berpengalaman dalam penulisan berita lebih 20 tahun khususnya berkaitan misi kemanusiaan, rencana dan hal ehwal semasa. Penulis juga merupakan calon angkasawan ketika proses pemilihan angkasawan negara. Pernah menyertai misi kemanusiaan di Somalia dan Syria, mendekati cerita-cerita mangsa perang dan konflik kemanusiaan. Penulis juga pernah menyertai misi kemanusiaan di Lubnan bersama pasukan MALBATT.

Lihat semua tulisan

Berita berkaitan

Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Haleem.
Politik

Prestasi bagus tapi cuma dapat Timbalan Exco?: 'Nak komen apa? Saya ok je'

Oleh Metra Syahril Mohamed20 November 2026 pada 03:17 PTG
PAS
Politik

PAS tidak letak calon bertanding PRN Sarawak

Oleh The Step19 November 2026 pada 12:06 PTG
Menteri Besar Kelantan dan barisan Exco kerajaan negeri bermesyuarat di dalam tren ECRL.
Politik

Mesyuarat Exco Kelantan cipta kelainan, diadakan dalam tren ECRL ke Gombak

Oleh Metra Syahril Mohamed17 November 2026 pada 06:26 PTG
Gambar dikongsi Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki permeteraian perjanjian persefahaman antara BN dengan rakan strategik Pas yang mewakili parti-parti daripada PN bagi menghadapi PRN Melaka .
Politik

MKT UMNO setuju mengabsahkan kerjasama politik dengan Pas, PN

Oleh Metra Syahril Mohamed28 Oktober 2026 pada 10:42 PTG
EcoTwin Step Training & Consultancy - Menyembuh Jiwa, Mengubah Kehidupan. Dr. Hisham Dzakiria. Hubungi 03-33591329 / 010-8418989, ecotwinstep@gmail.com