Sejuta anak muda murung… “Tak perlu jadi sempurna untuk berjaya” - Dr Hisham Dzakiria
Dr Hisham Dzakiria berkata, anak muda perlu memahami bahawa kejayaan bukan semata-mata diukur berdasarkan pencapaian akademik, pekerjaan atau pengiktirafan masyarakat.


'Anak muda perlu memahami bahawa kejayaan bukan semata-mata diukur berdasarkan pencapaian akademik, pekerjaan atau pengiktirafan masyarakat' - Dr Hisham Dzakiria
TEKANAN mengejar kejayaan akademik dan kerjaya, masalah perhubungan serta pengaruh media sosial antara faktor yang boleh menjejaskan kesihatan mental dalam kalangan anak muda.
Pakar terapi emosi, Dr Hisham Dzakiria berkata, anak muda perlu memahami bahawa kejayaan bukan semata-mata diukur berdasarkan pencapaian akademik, pekerjaan atau pengiktirafan masyarakat.
Menurutnya, tekanan untuk memenuhi jangkaan orang lain boleh menyebabkan seseorang mengabaikan keperluan emosi dan kesejahteraan diri.
“Anak muda tidak perlu menjadi sempurna untuk dianggap berjaya. Setiap orang mempunyai perjalanan hidup yang berbeza dan tidak mengapa jika kita bergerak perlahan, asalkan terus berusaha.
“Jangan terlalu sibuk mengejar pengiktirafan orang lain sehingga lupa menjaga diri sendiri,” katanya.
Beliau turut menasihatkan golongan muda supaya tidak memendam masalah seorang diri, sebaliknya berkongsi dengan individu yang dipercayai atau mendapatkan bantuan profesional jika tekanan berlarutan.
Antara langkah yang boleh diamalkan ialah mendapatkan tidur mencukupi, melakukan aktiviti fizikal, mengurangkan perbandingan di media sosial serta meluangkan masa untuk berehat dan bermuhasabah.
“Bukan itu sahaja, dekatkanlah diri dengan Tuhan menerusi amalan kerohanian seperti doa, zikir dan selawat.
“Yakinlah, amalan sebegini sangat bagus dalam usaha untuk menenangkan diri,” katanya.
Dr Hisham menegaskan bahawa mendapatkan bantuan bukan tanda kelemahan, sebaliknya langkah penting untuk menjaga kesejahteraan emosi dan meneruskan kehidupan dengan lebih baik.
Sementara itu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, prevalen kemurungan dalam kalangan rakyat berusia 16 tahun ke atas ialah 4.6 peratus atau kira-kira satu juta orang berdasarkan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2023.
Beliau berkata, golongan berusia 16 hingga 19 tahun mencatatkan prevalens kemurungan sebanyak 7.9 peratus, manakala kumpulan berusia 20 hingga 29 tahun merekodkan 7.6 peratus.
Menurutnya, antara faktor yang menyumbang kepada masalah itu termasuk tekanan akademik dan kerjaya, masalah perhubungan, pengaruh media sosial serta masalah kewangan.
Dr Dzulkefly turut menegaskan kepentingan peranan keluarga, rakan-rakan dan masyarakat dalam mengenal pasti tanda masalah kesihatan mental supaya bantuan dan rawatan sewajarnya dapat diberikan lebih awal.

Penulis ini mempunyai pengalaman lebih 15 tahun dalam industri media, khususnya dalam bidang kewartawanan, penulisan dan penghasilan kandungan. Selain pengalaman media, beliau turut berpengalaman dalam merancang dan menganjurkan pelbagai acara serta membina personal branding untuk individu dan organisasi. Gabungan pengalaman ini membolehkan beliau menghasilkan kandungan yang kreatif, berkesan dan mempunyai nilai kepada audiens.
Berita berkaitan

Curi kabel di siang hari di Jalan Tun Razak, polis giat buru kumpulan suspek
Oleh The Step21 November 2026 pada 04:14 PTG

Khoo Poay Tiong akui silap, mohon maaf isu premis tutup Jumaat di Kuala Terengganu


