Premis sembelihan ayam tular tiada sijil halal JAKIM
Premis berkenaan didaftarkan atas nama entiti lain dan bukan milik Bhuiyen Sdn. Bhd.


PREMIS yang menjalankan aktiviti penyembelihan ayam seperti dalam video tular baru-baru ini didapati tidak mempunyai Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mahupun pihak berkuasa agama Islam negeri.
PREMIS yang menjalankan aktiviti penyembelihan ayam seperti dalam video tular baru-baru ini didapati tidak mempunyai Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mahupun pihak berkuasa agama Islam negeri.
JAKIM dalam kenyataan media hari ini memaklumkan, penemuan awal turut mendapati premis berkenaan didaftarkan atas nama entiti lain dan bukan milik Bhuiyen Sdn. Bhd., meskipun bekalan ayam hidup bagi aktiviti penyembelihan itu diperoleh daripada syarikat berkenaan.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee, tindakan risikan awal dan pemeriksaan di lokasi telah dilaksanakan susulan penularan video berkenaan yang menimbulkan persoalan mengenai pematuhan hukum syarak dalam proses penyembelihan ayam.
Operasi itu membabitkan kerjasama JAKIM dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) serta Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).
“Semakan turut mendapati premis dan produk ayam yang disembelih oleh syarikat berkenaan tidak mempunyai Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) daripada JAKIM mahupun pihak berkuasa agama Islam negeri,” katanya menerusi satu kenyataan.
Dalam perkembangan berkaitan, pemeriksaan mendapati premis berkenaan telah diarahkan tutup oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sejak 10 Oktober 2026 susulan pelanggaran aspek kesihatan di bawah Undang-Undang Kecil Pelesenan Petempatan Makanan (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) 2026.
JAKIM turut mengemukakan permohonan kepada DBKL bagi mendapatkan pengesahan mengenai status lesen premis serta entiti yang menjalankan aktiviti pemprosesan ayam berkenaan.
Langkah itu bertujuan melengkapkan penelitian dan membolehkan tindakan susulan diambil oleh pihak berkuasa berkaitan.
JAKIM menegaskan pihaknya memandang serius sebarang aktiviti penyembelihan yang tidak mematuhi hukum syarak kerana pematuhan terhadap ketetapan agama dalam proses berkenaan merupakan perkara asas yang tidak boleh dipandang ringan.
“Sebarang pelanggaran yang dikenal pasti akan ditangani melalui tindakan penguatkuasaan berdasarkan peruntukan undang-undang dan bidang kuasa pihak berkuasa berkaitan,” menurut kenyataan itu.
JAKIM turut menegaskan komitmennya untuk terus bekerjasama dengan agensi penguat kuasa bagi memperkukuh pemantauan serta memastikan tindakan sewajarnya diambil terhadap sebarang pelanggaran yang dikenal pasti.

Penulis ini mempunyai pengalaman lebih 15 tahun dalam industri media, khususnya dalam bidang kewartawanan, penulisan dan penghasilan kandungan. Selain pengalaman media, beliau turut berpengalaman dalam merancang dan menganjurkan pelbagai acara serta membina personal branding untuk individu dan organisasi. Gabungan pengalaman ini membolehkan beliau menghasilkan kandungan yang kreatif, berkesan dan mempunyai nilai kepada audiens.
Berita berkaitan

Curi kabel di siang hari di Jalan Tun Razak, polis giat buru kumpulan suspek
Oleh The Step21 November 2026 pada 04:14 PTG

Khoo Poay Tiong akui silap, mohon maaf isu premis tutup Jumaat di Kuala Terengganu


