Pensyarah wanita rugi RM269,993 diperdaya sindiket phone scam
Mangsa turut diugut dengan waran tangkap, pembekuan akaun serta hukuman penjara sebelum diarahkan menyerahkan kad ATM dan membuat pembayaran kononnya bagi tujuan ikat jamin.


'Mangsa menerima panggilan daripada seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai pegawai Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC) Putrajaya' - Ketua Polis Pahang, DCP Datuk Azry Akmar Datuk Haji Ayob berkata, Foto: Facebook Polis Pahang
SEORANG pensyarah wanita berusia 49 tahun mengalami kerugian RM269,993 selepas dipercayai menjadi mangsa penipuan telefon atau phone scam yang menggunakan taktik menyamar sebagai pegawai kerajaan dan polis.
Ketua Polis Pahang, DCP Datuk Azry Akmar Datuk Haji Ayob berkata, mangsa menerima panggilan daripada seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai pegawai Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC) Putrajaya pada 20 April lalu, kira-kira jam 5 petang ketika berada di tempat kerja.
Menurutnya, suspek mendakwa maklumat peribadi mangsa disalahgunakan dan mengaitkannya dengan penipuan pelaburan World Coin Trading.
Mangsa kemudian disambungkan kepada individu lain yang menyamar sebagai pegawai polis sebelum diberitahu kononnya terbabit dalam kes pengubahan wang haram.
Mangsa turut diugut dengan waran tangkap, pembekuan akaun serta hukuman penjara sebelum diarahkan menyerahkan kad ATM dan membuat pembayaran kononnya bagi tujuan ikat jamin.
Akibat tidak mempunyai wang mencukupi, mangsa membuat beberapa pinjaman berjumlah RM217,729.31 sebelum menyerahkan kad ATM miliknya di lokasi yang ditetapkan suspek.
Dalam perkembangan sama, mangsa turut membuat lapan transaksi ke enam akaun berbeza berjumlah RM43,000 antara 29 Ogos hingga 13 September lalu.
Semakan penyata akaun kemudiannya mendapati terdapat tujuh transaksi pindahan wang ke lima akaun berbeza berjumlah RM226,993 bagi tempoh 28 Jun hingga 8 Ogos lalu.
Mangsa menyedari dirinya ditipu sebelum membuat laporan polis, manakala kad ATM berkenaan masih berada dalam milikan suspek sehingga kini.
Jumlah kerugian keseluruhan RM269,993 itu membabitkan wang simpanan, hasil gadaian emas serta wang pinjaman.
Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Sehubungan itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah mempercayai individu yang menyamar sebagai pegawai kerajaan, polis atau institusi kewangan, terutama apabila mendakwa seseorang terlibat dalam kes jenayah.
Orang ramai juga diingatkan supaya tidak menyerahkan kad ATM, nombor pengenalan peribadi (PIN) atau maklumat perbankan kepada pihak tidak dikenali, selain tidak membuat sebarang pembayaran berdasarkan arahan melalui panggilan telefon.
Sebarang panggilan mencurigakan perlu disahkan menerusi saluran rasmi, manakala individu yang baru melakukan transaksi mencurigakan dinasihatkan menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997 dengan segera serta membuat laporan polis.

Penulis ini mempunyai pengalaman lebih 15 tahun dalam industri media, khususnya dalam bidang kewartawanan, penulisan dan penghasilan kandungan. Selain pengalaman media, beliau turut berpengalaman dalam merancang dan menganjurkan pelbagai acara serta membina personal branding untuk individu dan organisasi. Gabungan pengalaman ini membolehkan beliau menghasilkan kandungan yang kreatif, berkesan dan mempunyai nilai kepada audiens.
Berita berkaitan

Curi kabel di siang hari di Jalan Tun Razak, polis giat buru kumpulan suspek
Oleh The Step21 November 2026 pada 04:14 PTG

Khoo Poay Tiong akui silap, mohon maaf isu premis tutup Jumaat di Kuala Terengganu


