EcoTwin Step Training & Consultancy - Menyembuh Jiwa, Mengubah Kehidupan. Dr. Hisham Dzakiria. Hubungi 03-33591329 / 010-8418989, ecotwinstep@gmail.com
Nasional

Operasi tutup samseng jalanan: 116 saman dikeluarkan, 50 motosikal disita

Sebanyak 141 buah motosikal dan seramai 146 individu berusia lingkungan 16 tahun hingga 25 tahun telah diperiksa.

Metra Syahril Mohamed13 September 2026 pada 09:24 PGDikemas kini 13 September 2026 pada 09:49 PG
Mohd Zaini Abu Hassan berdepan dengan mereka yang diperiksa dalam Operasi Tutup Samseng Jalanan. - Gambar IPK Selangor.

SEBANYAK 116 keping saman dikeluarkan manakala 50 motosikal disita dalam Operasi Tutup Samseng Jalanan yang dijalankan di Plaza Tol Bukit Raza, NKVE, awal pagi tadi.

Menurut Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, operasi disertai Timbalan Ketua Polis Selangor, Deputi Komisioner Mohd Zaini Abu Hassan bersama Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor, Superintenden Edward Kondokor.

Jelasnya, operasi dilaksanakan bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Agensi Anti dadah Kebangsaan (AADK).

"Sepanjang operasi dijalankan, pihak AADK telah melaksanakan 22 pemeriksaan saringan rambang air kencing terdiri daripada 17 lelaki dan lima wanita dan tiada tangkapan melibatkan positif dadah," jelasnya dalam kenyataan.

Antara mereka yang diperiksa dalam operasi. - Gambar IPK Selangor

Jelas IPK Selangor, sebanyak 141 buah motosikal dan seramai 146 individu berusia lingkungan 16 tahun hingga 25 tahun telah diperiksa.

"Hasil operasi turut mengeluarkan sebanyak 92 keping saman daripada pihak IPK Selangor dan 24 JSPT Bukit Aman ke atas pelbagai kesalahan trafik, manakala sebanyak 50 buah motosikal telah disita bagi tindakan lanjut," katanya.

Tambahnya, operasi ini dilaksanakan secara berterusan bagi membanteras aktiviti samseng jalanan, selain memastikan keselamatan, ketenteraman serta pematuhan undang-undang jalan raya sentiasa berada pada tahap terbaik.

Tentang Penulis

Foto profil Metra Syahril Mohamed
Metra Syahril Mohamed

Penulis

Penulis merupakan Ketua Pengarang The Step. Berpengalaman dalam penulisan berita lebih 20 tahun khususnya berkaitan misi kemanusiaan, rencana dan hal ehwal semasa. Penulis juga merupakan calon angkasawan ketika proses pemilihan angkasawan negara. Pernah menyertai misi kemanusiaan di Somalia dan Syria, mendekati cerita-cerita mangsa perang dan konflik kemanusiaan. Penulis juga pernah menyertai misi kemanusiaan di Lubnan bersama pasukan MALBATT.

Berita berkaitan