Monsun Timur Laut: Orang ramai diingatkan jauhi kawasan berisiko banjir, tanah runtuh
Orang ramai dinasihatkan supaya menjauhi kawasan cerun dan lereng bukit yang berisiko berlaku tanah runtuh.


Fenomena Monsun Timur Laut berpotensi membawa hujan lebat berterusan. Foto: Janaan AI
ORANG ramai diingatkan supaya meningkatkan tahap kewaspadaan dan mengutamakan keselamatan diri serta keluarga susulan fenomena Monsun Timur Laut yang berpotensi membawa hujan lebat berterusan.
Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menerusi satu kenyataan di Facebook memaklumkan, keadaan cuaca berkenaan berisiko mengakibatkan beberapa bencana alam termasuk banjir, tanah runtuh dan kejadian kepala air, khususnya di kawasan berisiko.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya menjauhi kawasan cerun dan lereng bukit yang berisiko berlaku tanah runtuh, selain mengelakkan aktiviti atau berada di kawasan perairan seperti laut, sungai, tasik dan kolam.
Mereka juga diminta supaya tidak menghampiri tebing sungai serta kawasan rendah yang berpotensi dinaiki air ketika hujan lebat.
Dalam masa sama, orang ramai perlu sentiasa mematuhi arahan pihak berkuasa dan segera berpindah ke kawasan selamat sekiranya diarahkan.
KPKT turut mengingatkan orang ramai supaya memantau perkembangan cuaca serta mendapatkan maklumat dan amaran rasmi daripada Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia).
“Jangan mengambil risiko dan bertindak segera apabila menerima amaran daripada pihak berkuasa,” menurut peringatan KPKT.
Orang ramai juga diseru supaya tidak memandang ringan sebarang amaran cuaca memandangkan tindakan awal mampu membantu mengurangkan risiko kejadian tidak diingini.
Keselamatan diri dan keluarga perlu sentiasa menjadi keutamaan sepanjang tempoh Monsun Timur Laut.

Penulis ini mempunyai pengalaman lebih 15 tahun dalam industri media, khususnya dalam bidang kewartawanan, penulisan dan penghasilan kandungan. Selain pengalaman media, beliau turut berpengalaman dalam merancang dan menganjurkan pelbagai acara serta membina personal branding untuk individu dan organisasi. Gabungan pengalaman ini membolehkan beliau menghasilkan kandungan yang kreatif, berkesan dan mempunyai nilai kepada audiens.
Berita berkaitan

Curi kabel di siang hari di Jalan Tun Razak, polis giat buru kumpulan suspek
Oleh The Step21 November 2026 pada 04:14 PTG

Khoo Poay Tiong akui silap, mohon maaf isu premis tutup Jumaat di Kuala Terengganu


