KPM tidak kompromi jika terbukti berlaku kecuaian dalam kematian murid di Kuala Kangsar
Kamera litar tertutup (CCTV) berhampiran kawasan kejadian disahkan berfungsi dengan baik dan rakamannya sudah diserahkan kepada pihak polis bagi membantu siasatan.


Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, beliau memandang serius kejadian itu dan sudah mengarahkan KPM memberikan kerjasama penuh kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM)
KEMENTERIAN Pendidikan Malaysia (KPM) tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk kecuaian atau pelanggaran tatacara keselamatan sekiranya terbukti berlaku dalam insiden kematian seorang murid Tingkatan Tiga di sebuah sekolah berasrama penuh di Kuala Kangsar, Perak, pada Rabu.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, beliau memandang serius kejadian itu dan sudah mengarahkan KPM memberikan kerjasama penuh kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memastikan siasatan dijalankan secara menyeluruh serta telus.
“Saya memandang serius kejadian ini dan telah mengarahkan Kementerian Pendidikan (KPM) memberikan kerjasama penuh kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memastikan siasatan dijalankan secara menyeluruh dan telus,” katanya menerusi kenyataan.
Menurutnya, kamera litar tertutup (CCTV) berhampiran kawasan kejadian disahkan berfungsi dengan baik dan rakamannya sudah diserahkan kepada pihak polis bagi membantu siasatan.
“Pemeriksaan bedah siasat oleh pihak forensik pula dijadualkan pada jam 9.00 pagi esok,” katanya.
Dalam perkembangan sama, beberapa pentadbir dan guru sekolah berkenaan diberikan pelepasan tugas sementara bagi membantu siasatan.
Fadhlina turut mengarahkan Jemaah Nazir hadir ke sekolah berkenaan esok bagi meneliti aspek pengurusan serta pematuhan tatacara keselamatan.
“Saya menegaskan bahawa KPM tidak akan berkompromi terhadap sebarang kecuaian atau pelanggaran tatacara keselamatan sekiranya terbukti melalui hasil siasatan,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak dan Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Berasrama Penuh (BPSBP) sudah tiba di lokasi bagi menyelaras tindakan segera.
Bagi menjaga kesejahteraan warga sekolah, murid yang tidak terlibat dengan peperiksaan dibenarkan pulang pada Jumaat, 20 November 2026.
Menurut Fadhlina, bantuan psikososial juga sudah diberikan kepada mereka yang terkesan dengan kejadian itu.
Dalam pada itu, beliau menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa dan berharap mereka diberikan kekuatan menghadapi kehilangan berkenaan.
“Saya amat memahami betapa beratnya kehilangan seorang anak. Tiada kata-kata yang mampu menggambarkan kesedihan yang sedang ditanggung keluarga mangsa,” katanya.
Beliau turut menyeru semua pihak supaya tidak membuat spekulasi dan menghormati privasi keluarga mangsa sementara pihak berkuasa melengkapkan siasatan.

Penulis ini mempunyai pengalaman lebih 15 tahun dalam industri media, khususnya dalam bidang kewartawanan, penulisan dan penghasilan kandungan. Selain pengalaman media, beliau turut berpengalaman dalam merancang dan menganjurkan pelbagai acara serta membina personal branding untuk individu dan organisasi. Gabungan pengalaman ini membolehkan beliau menghasilkan kandungan yang kreatif, berkesan dan mempunyai nilai kepada audiens.
Berita berkaitan

Curi kabel di siang hari di Jalan Tun Razak, polis giat buru kumpulan suspek
Oleh The Step21 November 2026 pada 04:14 PTG

Khoo Poay Tiong akui silap, mohon maaf isu premis tutup Jumaat di Kuala Terengganu


