The Step - Every Story Moves You

Kejayaan 13.4 juta tontonan pacu kerjasama TV AlHijrah-Rare TV

TV AlHijrah dan Rare TV meneruskan kerjasama strategik dengan memperkenalkan siri terbaharu Kembara Wahyu yang bakal membawa penonton menjelajah bumi Oman.

Deel Anjer
Oleh Deel AnjerWartawan18 November 2026 pada 07:24 PTG2 min bacaanDikemas kini 18 November 2026 pada 07:27 PTG
Ketua Pegawai Operasi TV AlHijrah, Nadzariah Mohamed dan Pengasas RareTV, Mohamad Saiful Nang.

Ketua Pegawai Operasi TV AlHijrah, Nadzariah Mohamed dan Pengasas RareTV, Mohamad Saiful Nang.

KEJAYAAN  meraih 13.4 juta tontonan menerusi penerbitan dokumentari pengembaraan mendorong TV AlHijrah dan Rare TV meneruskan kerjasama strategik dengan memperkenalkan siri terbaharu Kembara Wahyu yang bakal membawa penonton menjelajah bumi Oman.

Pencapaian itu direkodkan berdasarkan laporan data Consumer Insight TV AlHijrah bagi tempoh September 2025 hingga 28 Oktober 2026, sekali gus membuktikan kandungan berteraskan sejarah, budaya, pengembaraan dan pendidikan mendapat sambutan positif penonton.

Sepanjang tempoh berkenaan, Rare TV telah membekalkan sebanyak 113 episod kepada TV AlHijrah menerusi beberapa siri antaranya Kembara Wahyu Sirah Nabi, Kembara Wahyu Jordan, Travelog Iceland, Travelog Kyrgyzstan, Travelog Western Australia, Travelog Eropah dan Port Healing Kebangsaan.

Ketua Pegawai Operasi TV AlHijrah, Nadzariah Mohamed berkata, pencapaian itu memberikan keyakinan kepada pihaknya untuk terus memperluas kerjasama dengan rakan strategik yang mempunyai aspirasi sama dalam menghasilkan kandungan berkualiti dan bermanfaat.

“Pencapaian 13.4 juta tontonan ini membuktikan bahawa kandungan berteraskan sejarah dan pengembaraan mempunyai tempat tersendiri dalam kalangan penonton.

“Sambutan yang diterima memberikan dorongan kepada kami untuk terus meneroka pendekatan baharu dalam menyampaikan ilmu dan dakwah melalui medium penyiaran,” katanya ketika ditemu bual secara langsung dalam rancangan Assalamualaikum TV AlHijrah.

Beliau berkata demikian ketika pelancaran 13 episod baharu Kembara Wahyu Oman yang turut disertai sesi menandatangani perjanjian dan penyampaian penghargaan sebagai simbol pengukuhan kerjasama kedua-dua pihak.

Menurut Nadzariah, dokumentari berbentuk travelog sejarah Islam mempunyai potensi besar untuk dikembangkan dalam industri penyiaran tempatan kerana mampu menyampaikan maklumat secara santai, visual dan mudah dihayati.

Katanya, kerjasama bersama Rare TV yang diketuai Haji Saiful Nang turut membantu memperkayakan kandungan TV AlHijrah menerusi pendekatan penceritaan yang menggabungkan elemen pengembaraan, pendidikan dan sejarah Islam.

Menerusi siri terbaharu itu, penonton bakal dibawa meneroka sejarah, warisan budaya, keindahan alam serta penghayatan spiritual di Oman menerusi 13 episod dokumentari.

Selepas membawa penonton menyusuri kisah Nabi Musa AS di Mesir pada Ramadan lalu, ekspedisi kali ini membuka lembaran baharu dalam usaha memperkenalkan khazanah dunia Islam yang kurang diterokai khalayak tempatan.

Dalam pada itu, Nadzariah berkata, kerjasama antara penyiaran televisyen dan platform digital penting bagi memastikan kandungan dakwah dapat disampaikan kepada khalayak lebih luas, termasuk generasi muda.

Siri dokumentari Kembara Wahyu Oman dijadualkan menemui penonton TV AlHijrah sempena Ramadan 2027.

Kongsi berita ini dengan keluarga dan rakanKongsi ke WhatsApp
Tentang Penulis
Deel AnjerWartawan, The Step | 199 siaran

Penulis ini mempunyai pengalaman lebih 15 tahun dalam industri media, khususnya dalam bidang kewartawanan, penulisan dan penghasilan kandungan. Selain pengalaman media, beliau turut berpengalaman dalam merancang dan menganjurkan pelbagai acara serta membina personal branding untuk individu dan organisasi. Gabungan pengalaman ini membolehkan beliau menghasilkan kandungan yang kreatif, berkesan dan mempunyai nilai kepada audiens.

Lihat semua tulisan

Berita berkaitan

EcoTwin Step Training & Consultancy - Menyembuh Jiwa, Mengubah Kehidupan. Dr. Hisham Dzakiria. Hubungi 03-33591329 / 010-8418989, ecotwinstep@gmail.com