Cubaan seludup 57 PATI ke Tanjung Karang gagal, bot kayu ditahan
Seramai 54 PATI warga Indonesia berada di atas bot itu, terdiri daripada 31 lelaki dan 23 wanita berumur antara 18 hingga 60 tahun.


Seramai 54 PATI warga Indonesia berada di atas bot itu, terdiri daripada 31 lelaki dan 23 wanita berumur antara 18 hingga 60 tahun Foto: Facebook Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia
CUBAAN menyeludup masuk 57 pendatang asing tanpa izin (PATI) dari Indonesia melalui laluan laut tidak diwartakan, gagal apabila sebuah bot kayu ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Selangor di perairan Tanjung Karang, Kuala Selangor, awal pagi tadi.
Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata, penahanan itu dilakukan hasil maklumat risikan berhubung aktiviti penyeludupan manusia di sekitar perairan berkenaan.
Menurutnya, bot ronda Maritim Malaysia yang sedang menjalankan rondaan kemudian diatur gerak sebelum mengesan dan menahan sebuah vesel kayu berwarna merah dan hitam tanpa nombor pendaftaran dalam keadaan mencurigakan.
Vesel berkenaan ditahan kira-kira 0.7 batu nautika barat daya Tanjung Karang.
“Hasil pemeriksaan mendapati, bot tersebut dikendalikan oleh seorang tekong berumur 23 tahun bersama dua awak-awak warga Indonesia berusia 18 dan 28 tahun.
“Seramai 54 PATI warga Indonesia berada di atas bot itu, terdiri daripada 31 lelaki dan 23 wanita berumur antara 18 hingga 60 tahun,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa sebahagian daripada PATI yang ditahan mempunyai pasport.
Kes disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 kerana memasuki atau keluar dari negara melalui laluan yang tidak diwartakan, selain Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM 2007) berhubung cubaan menyeludup migran masuk ke Malaysia.
Kesemua individu yang ditahan bersama bot berkenaan diiring ke Jeti Pasukan Polis Marin (PPM), Pulau Indah untuk tindakan lanjut.
Abdul Muhaimin menegaskan bahawa Maritim Malaysia tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terbabit dalam jenayah rentas sempadan dan akan terus mempergiat operasi penguatkuasaan di perairan negara.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti jenayah di laut diminta menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor menerusi talian 013-660 6652 atau talian kecemasan 999 untuk tindakan segera.

Penulis ini mempunyai pengalaman lebih 15 tahun dalam industri media, khususnya dalam bidang kewartawanan, penulisan dan penghasilan kandungan. Selain pengalaman media, beliau turut berpengalaman dalam merancang dan menganjurkan pelbagai acara serta membina personal branding untuk individu dan organisasi. Gabungan pengalaman ini membolehkan beliau menghasilkan kandungan yang kreatif, berkesan dan mempunyai nilai kepada audiens.
Berita berkaitan

Curi kabel di siang hari di Jalan Tun Razak, polis giat buru kumpulan suspek
Oleh The Step21 November 2026 pada 04:14 PTG

Khoo Poay Tiong akui silap, mohon maaf isu premis tutup Jumaat di Kuala Terengganu


