China intai peluang pelaburan, perluas operasi di Malaysia
Pertemuan pada hari kedua lawatan kerja Perdana Menteri itu membabitkan Shenzhen Mindray Bio-Medical Electronics, Guangzhou Tinci Materials Technology, Shenzhen Capchem Technology dan XTC New Energy Materials (Xiamen).


Empat syarikat China berminat meneroka peluang pelaburan baharu serta memperluaskan operasi masing-masing di Malaysia
EMPAT syarikat utama China dalam sektor teknologi tinggi menunjukkan minat meneroka peluang pelaburan baharu serta memperluaskan operasi masing-masing di Malaysia hasil pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Shenzhen.
Pertemuan pada hari kedua lawatan kerja beliau itu membabitkan Shenzhen Mindray Bio-Medical Electronics, Guangzhou Tinci Materials Technology, Shenzhen Capchem Technology dan XTC New Energy Materials (Xiamen).
Anwar berkata, perbincangan berkenaan memberi tumpuan kepada potensi pembangunan fasiliti pembuatan, peningkatan kapasiti pengeluaran serta peluasan operasi syarikat terbabit di Malaysia.
Menurutnya, Mindray sedang meneroka peluang membangunkan fasiliti pembuatan atau hab perkhidmatan peranti perubatan di negara ini.
"Mindray sedang meneroka peluang untuk membangunkan fasiliti pembuatan atau hab perkhidmatan peranti perubatan di Malaysia, termasuk kerjasama dengan pengilang dan pembekal komponen tempatan," katanya menerusi kenyataan di Facebook.
Dalam sektor bahan termaju dan industri bateri, Guangzhou Tinci Materials Technology pula bercadang menghasilkan elektrolit serta bahan kimia khusus bagi bateri litium-ion.
Sementara itu, XTC New Energy Materials sedang merancang pelaburan dalam pembuatan bahan katod bateri litium-ion di Selangor.
Satu lagi perkembangan membabitkan Shenzhen Capchem Technology yang sudah mempunyai operasi di Kulim Hi-Tech Park, Kedah.
Anwar berkata, syarikat berkenaan sedang meneliti cadangan memperbesar kapasiti pengeluaran menerusi pembinaan kilang kedua bagi memenuhi permintaan pasaran Asia Tenggara.
"Capchem Technology, yang telah beroperasi di Kulim Hi-Tech Park, Kedah, sedang meneliti cadangan pembesaran kapasiti pengeluaran melalui pembinaan kilang kedua bagi memenuhi keperluan pasaran Asia Tenggara," katanya.
Bagaimanapun, Perdana Menteri menegaskan bahawa usaha menarik pelaburan asing perlu turut mengambil kira kepentingan industri dan syarikat tempatan.
Katanya, beliau turut memberi perhatian kepada peluang membabitkan syarikat Malaysia dalam rantaian bekalan, selain pemindahan teknologi serta pembangunan tenaga kerja berkemahiran tinggi.
"Saya turut memberi tumpuan kepada peluang penglibatan syarikat tempatan dalam rantaian bekalan, pemindahan teknologi serta pembangunan bakat dan kepakaran teknikal," katanya.
Anwar berkata, Malaysia mempunyai komitmen untuk menarik pelaburan berkualiti tinggi yang bukan sahaja merancakkan pertumbuhan ekonomi, malah memberikan manfaat bermakna kepada negara dan rakyat.
"Malaysia komited tegas menarik pelaburan berkualiti tinggi yang tidak hanya memacu pertumbuhan ekonomi, malah membawa manfaat yang bermakna kepada negara dan rakyat," katanya.
Beliau menegaskan, keutamaan kerajaan adalah memastikan pelaburan berkenaan mampu memperkukuh industri tempatan dan meningkatkan daya saing syarikat Malaysia.
"Keutamaan kita adalah memastikan pelaburan ini mampu serta berupaya memperkasa industri tempatan, meningkatkan daya saing syarikat Malaysia, mempercepat pemindahan teknologi serta mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan berkualiti dan berkemahiran tinggi," katanya.
Usaha itu selari dengan aspirasi Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP).
Terdahulu, Anwar berada di Shenzhen, wilayah Guangdong, bagi menghadiri Minggu Pemimpin Ekonomi APEC (AELW) ke-33 yang berakhir hari ini.
APEC merupakan forum antara kerajaan yang menghimpunkan 21 ekonomi anggota dengan matlamat menggalakkan perdagangan bebas dan kerjasama ekonomi di rantau Asia-Pasifik.
Rantau berkenaan merangkumi hampir 40 peratus populasi dunia, hampir separuh perdagangan global serta lebih 60 peratus daripada ekonomi dunia.
Malaysia merupakan antara 12 anggota pengasas APEC bersama Australia, Brunei, Kanada, Indonesia, Jepun, Korea Selatan, New Zealand, Amerika Syarikat, Filipina, Singapura dan Thailand.

Penulis ini mempunyai pengalaman lebih 15 tahun dalam industri media, khususnya dalam bidang kewartawanan, penulisan dan penghasilan kandungan. Selain pengalaman media, beliau turut berpengalaman dalam merancang dan menganjurkan pelbagai acara serta membina personal branding untuk individu dan organisasi. Gabungan pengalaman ini membolehkan beliau menghasilkan kandungan yang kreatif, berkesan dan mempunyai nilai kepada audiens.
Berita berkaitan

Curi kabel di siang hari di Jalan Tun Razak, polis giat buru kumpulan suspek
Oleh The Step21 November 2026 pada 04:14 PTG

Khoo Poay Tiong akui silap, mohon maaf isu premis tutup Jumaat di Kuala Terengganu


