Ahmad Fadhli persoal keputusan dakwa Suhaily, bimbang kesan terhadap SOP AKPS
“Persoalannya, adakah semua kesan telah dikaji terlebih dahulu sebelum membuat keputusan untuk meneruskan pendakwaan ini? Adakah semua proses dalaman telah dilakukan dengan teliti?” - Fadhli Shaari


Fadhli Shaari mempersoalkan sama ada semua implikasi dan proses dalaman telah diteliti sebelum keputusan mendakwa Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain
KETUA Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari mempersoalkan sama ada semua implikasi dan proses dalaman telah diteliti sebelum keputusan mendakwa Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain dibuat berhubung dakwaan mengasari dua anggota polis di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Menerusi kenyataan di Facebook, Ahmad Fadhli mendoakan agar urusan Mohd Shuhaily dipermudahkan ketika berdepan prosiding mahkamah hari ini.
Beliau turut mengingatkan bahawa kuasa membuat keputusan pendakwaan di negara ini terletak pada Peguam Negara selepas berpuas hati dengan kertas siasatan yang dikemukakan pihak polis.
“Persoalannya, adakah semua kesan telah dikaji terlebih dahulu sebelum membuat keputusan untuk meneruskan pendakwaan ini? Adakah semua proses dalaman telah dilakukan dengan teliti?” katanya.
Menurut Ahmad Fadhli, prosiding berkenaan bukan sahaja melibatkan individu terbabit, malah berpotensi memberikan kesan terhadap prosedur operasi standard (SOP) Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) serta moral penjawat awam yang terlibat.
Beliau berharap agar keadilan dapat ditegakkan dengan sebaiknya dalam mengendalikan kes berkenaan.
Terdahulu, tular sebuah video di media sosial yang memaparkan seorang lelaki mirip Mohd Shuhaily memarahi dua lelaki di lapangan terbang berkenaan.
Dalam rakaman itu, seorang daripada lelaki terbabit dilihat seolah-olah ditarik telinganya dengan kasar.
Pada 1 Oktober lalu, Mohd Shuhaily dilaporkan berkata bahawa beliau bersedia menerima apa sahaja keputusan kerajaan berhubung kejadian itu dan bersedia bertanggungjawab atas tindakannya.
Kes berkenaan menjadi perhatian susulan dakwaan insiden membabitkan pegawai kanan berkenaan dengan dua anggota polis di KLIA.

Penulis ini mempunyai pengalaman lebih 15 tahun dalam industri media, khususnya dalam bidang kewartawanan, penulisan dan penghasilan kandungan. Selain pengalaman media, beliau turut berpengalaman dalam merancang dan menganjurkan pelbagai acara serta membina personal branding untuk individu dan organisasi. Gabungan pengalaman ini membolehkan beliau menghasilkan kandungan yang kreatif, berkesan dan mempunyai nilai kepada audiens.
Berita berkaitan

Curi kabel di siang hari di Jalan Tun Razak, polis giat buru kumpulan suspek
Oleh The Step21 November 2026 pada 04:14 PTG

Khoo Poay Tiong akui silap, mohon maaf isu premis tutup Jumaat di Kuala Terengganu


