The Step - Every Story Moves You

10,000 Rohingya bakal ditempatkan di Türkiye, ikuti latihan TVET

Inisiatif berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha strategik kerajaan untuk menangani isu keberadaan pelarian Rohingya di Malaysia secara lebih tersusun, berkesan dan berperikemanusiaan.

Deel Anjer
Oleh Deel AnjerWartawan20 November 2026 pada 03:48 PTG3 min bacaanDikemas kini 21 November 2026 pada 03:35 PTG
inisiatif berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha strategik kerajaan untuk menangani isu keberadaan pelarian Rohingya di Malaysia secara lebih tersusun, berkesan dan berperikemanusiaan.

Gambar hiasan - FB Saiful Zelwany

KERAJAAN Malaysia memperoleh persetujuan Türkiye untuk menerima 10,000 pelarian Rohingya dari negara ini menerusi satu inisiatif penempatan di negara ketiga yang turut menyediakan latihan kemahiran bagi membantu golongan berkenaan membina kehidupan baharu.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, cadangan itu dikemukakan susulan lawatan kerja rasmi beliau ke Republik Türkiye baru-baru ini sebelum mendapat persetujuan Jemaah Menteri.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah serta Pengerusi Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pekerja Asing (JKKPA) berkata, inisiatif berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha strategik kerajaan untuk menangani isu keberadaan pelarian Rohingya di Malaysia secara lebih tersusun, berkesan dan berperikemanusiaan.

"Persetujuan Kerajaan Türkiye untuk menerima 10,000 pelarian Rohingya ini merupakan satu perkembangan yang amat positif dalam usaha Kerajaan Malaysia mencari penyelesaian jangka panjang terhadap isu pelarian Rohingya yang sekian lama menjadi antara cabaran pengurusan migrasi dan keselamatan negara," katanya menerusi kenyataan di Facebook.

Menurut Ahmad Zahid, pendekatan itu bukan sekadar memindahkan pelarian ke negara ketiga, sebaliknya menyediakan peluang kepada mereka untuk memperoleh kemahiran sebelum membina kehidupan baharu di negara penerima.

"Pendekatan ini bukan sekadar menghantar pelarian Rohingya ke negara ketiga, sebaliknya memberi mereka peluang membina kehidupan baharu melalui program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) selama tiga hingga enam bulan," katanya.

Beliau berkata, bidang latihan yang ditawarkan akan diselaraskan mengikut keperluan sebenar pelbagai sektor industri di Türkiye bagi memastikan kemahiran yang diperoleh bersesuaian dengan peluang pekerjaan di negara berkenaan.

"Melalui pendekatan ini, pelarian Rohingya yang terlibat akan dibekalkan dengan kemahiran praktikal dan kompetensi pekerjaan yang relevan, sekali gus meningkatkan kebolehpasaran mereka serta membuka peluang untuk menyertai pasaran pekerjaan dan menyumbang secara produktif kepada ekonomi negara penerima," katanya.

Bagaimanapun, peluang pekerjaan itu tertakluk kepada peraturan yang berkuat kuasa di Türkiye.

Ahmad Zahid berkata, penyelesaian isu pelarian tidak seharusnya hanya dilihat daripada perspektif penguatkuasaan dan penghantaran keluar semata-mata, sebaliknya perlu mengambil kira aspek kemanusiaan serta masa depan golongan berkenaan.

"Penyelesaian isu pelarian tidak seharusnya hanya dilihat daripada perspektif penguatkuasaan dan penghantaran keluar semata-mata, tetapi juga mesti mengambil kira dimensi kemanusiaan.

“Mereka bukan sekadar dipindahkan dari sebuah negara ke negara lain, sebaliknya diberikan ilmu, kemahiran dan peluang untuk membina masa depan yang lebih terjamin," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, inisiatif berkenaan turut selari dengan semangat penyelesaian jangka panjang yang diperjuangkan Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR), khususnya menerusi penempatan semula di negara ketiga dengan mengambil kira aspek keselamatan, perlindungan dan maruah pelarian.

Menurutnya, kerajaan akan menyelaraskan pelaksanaan inisiatif itu bersama pihak berkuasa Türkiye, UNHCR serta agensi berkaitan bagi memastikan setiap proses berjalan secara teratur.

"Kerajaan akan menyelaraskan pelaksanaan inisiatif ini bersama pihak berkuasa Türkiye, UNHCR serta agensi berkaitan bagi memastikan proses pemilihan, latihan, dokumentasi dan penempatan dilaksanakan secara teratur, dengan mengambil kira keperluan industri, persetujuan individu yang terlibat serta peraturan antarabangsa yang berkaitan," katanya.

Beliau menyifatkan kerjasama strategik dengan Türkiye sebagai langkah penting dalam mencari pendekatan pengurusan pelarian yang lebih sistematik dan mampan.

"Pendekatan kerjasama strategik dengan negara ketiga seperti Türkiye mampu menjadi model baharu pengurusan pelarian yang lebih sistematik, mampan dan bermaruah," katanya.

Ahmad Zahid berkata, perkembangan itu turut mencerminkan kepentingan hubungan diplomatik erat antara Malaysia dan Türkiye dalam menterjemahkan kerjasama dua hala kepada penyelesaian praktikal terhadap isu kemanusiaan yang turut memberi kesan kepada kepentingan negara.

Kongsi berita ini dengan keluarga dan rakanKongsi ke WhatsApp
Tentang Penulis
Deel AnjerWartawan, The Step | 199 siaran

Penulis ini mempunyai pengalaman lebih 15 tahun dalam industri media, khususnya dalam bidang kewartawanan, penulisan dan penghasilan kandungan. Selain pengalaman media, beliau turut berpengalaman dalam merancang dan menganjurkan pelbagai acara serta membina personal branding untuk individu dan organisasi. Gabungan pengalaman ini membolehkan beliau menghasilkan kandungan yang kreatif, berkesan dan mempunyai nilai kepada audiens.

Lihat semua tulisan

Berita berkaitan

EcoTwin Step Training & Consultancy - Menyembuh Jiwa, Mengubah Kehidupan. Dr. Hisham Dzakiria. Hubungi 03-33591329 / 010-8418989, ecotwinstep@gmail.com