Siti Nurhaliza, Noraniza Idris kembali berduet selepas 26 tahun, imbau kenangan Sukan Komanwel 1998
Siti turut mengimbau kenangan mereka membuat persembahan menerusi lagu Dondang Dendang pada acara Sukan Komanwel 1998 yang turut berlangsung di stadium berkenaan.


Siti turut mengimbau kenangan mereka membuat persembahan menerusi lagu Dondang Dendang pada acara Sukan Komanwel 1998 Foto: Instagram Anwar Ibrahim
SELEPAS 26 tahun tidak berkongsi pentas untuk menyanyikan lagu bersama, Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Ratu Irama Malaysia, Noraniza Idris akhirnya kembali bergandingan menerusi lagu popular, Hati Kama.
Momen istimewa itu mencetuskan rasa sebak dalam kalangan peminat yang membanjiri Konsert Tradisional Gema Bumantara di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur, malam tadi.
Lebih bermakna, Siti sendiri mengakui kedudukan Noraniza atau mesra disapa Kak Ani cukup penting dalam menjayakan konsert berkenaan, khususnya dalam mengangkat martabat muzik tradisional tanah air.
“Kalau Kak Ani tak setuju, takkan jadi semua ini. Kedudukan Kak Ani memberi makna besar kepada pencinta muzik tradisional tanah air.
“Di pentas besar ini, memang Kak Ani kena ada untuk membuat persembahan lagu berhantu kita, Hati Kama.
“Kak Ani, lama kan kita tak nyanyi sama-sama? 26 tahun dah tau. Ini kerana sebelum ini tidak ada kesempatan,” katanya ketika berkongsi pentas bersama Noraniza.
Siti turut mengimbau kenangan mereka membuat persembahan menerusi lagu Dondang Dendang pada acara Sukan Komanwel 1998 yang turut berlangsung di stadium berkenaan.
“Ingat tak Kak Ani, kita pernah sama-sama membuat persembahan dengan lagu Dondang Dendang di atas pentas yang ada rebana ubi yang besar dalam acara Sukan Komanwel 1998, di stadium ini lah,” katanya.
Pertemuan semula dua penyanyi yang sinonim dengan irama tradisional itu bukan sekadar mengubat kerinduan peminat, malah menghidupkan kembali kenangan persembahan mereka yang pernah mewarnai pentas seni tanah air.
Konsert berkenaan menghimpunkan kira-kira 73,000 penonton, sekali gus menjadi antara pentas terbesar buat Siti meraikan keindahan muzik tradisional Melayu.
Selain Noraniza, konsert itu turut menampilkan penyanyi Haziq serta dua penyanyi dari Indonesia, Lesti Kejora dan King Nassar sebagai artis undangan.
Sepanjang kira-kira tiga jam persembahan, Siti mempersembahkan lebih 30 lagu, selain mempamerkan kekuatan vokalnya menerusi susunan muzik yang meraikan keunikan irama tradisional.
Konsert itu turut diserikan dengan persembahan kumpulan penari zapin, seni wayang kulit serta peragaan busana tradisional yang menyerlahkan kekayaan warisan budaya.
Tidak sekadar menghiburkan puluhan ribu penonton, Gema Bumantara turut menjadi ruang buat Siti menyampaikan penghormatan kepada komposer, penulis lirik dan penggiat irama tradisional yang menyumbang kepada perkembangan muzik warisan negara.
Kemunculan semula Siti dan Noraniza menerusi Hati Kama pastinya menjadi antara momen paling bermakna dalam konsert berkenaan, membuktikan lagu yang mempunyai nilai sentimental mampu merentasi masa dan terus dekat di hati peminat.

Penulis ini mempunyai pengalaman lebih 15 tahun dalam industri media, khususnya dalam bidang kewartawanan, penulisan dan penghasilan kandungan. Selain pengalaman media, beliau turut berpengalaman dalam merancang dan menganjurkan pelbagai acara serta membina personal branding untuk individu dan organisasi. Gabungan pengalaman ini membolehkan beliau menghasilkan kandungan yang kreatif, berkesan dan mempunyai nilai kepada audiens.
Berita berkaitan


Lee Junho curi perhatian di Cuckootopia, Cuckoo perkenal inovasi kediaman sihat

Adam Corrie terkilan penonton tunggu OTT, tidak sokong Orang Perang di pawagam


