'Bukan tak sayang, tetapi perlu melepaskan'... Simpunk pertaruh Terbang
“Bagi kami, setiap orang ada cerita dan perjalanan masing-masing." - Simpunk


“Bagi kami, setiap orang ada cerita dan perjalanan masing-masing." - Simpunk
KUMPULAN muzik baharu dari Melaka, Simpunk, mula melangkah dalam industri muzik tempatan menerusi single sulung berjudul Terbang, yang mengetengahkan genre pop rock dengan mesej tentang impian, kebebasan dan keberanian mengejar masa depan.
Lagu ciptaan Myra Bruno itu diterbitkan Luncai Emas yang turut bertindak sebagai pengedar digital bagi karya berkenaan.
Membawa maksud yang dekat dengan kehidupan seharian, Terbang mengisahkan tentang keberanian seseorang untuk keluar daripada perkara yang membataskan dirinya demi mengejar impian dan perjalanan hidup yang lebih baik.
Ada kalanya, seseorang perlu melepaskan sesuatu yang disayangi. Bukan kerana sudah tidak peduli, tetapi kerana menyedari masih banyak peluang dan destinasi yang menanti di hadapan.
Bagi vokalis Simpunk, Afiq Bruno, mereka berharap lagu itu dapat memberikan semangat kepada pendengar yang sedang melalui perjalanan hidup masing-masing.
“Bagi kami, setiap orang ada cerita dan perjalanan masing-masing. Jika lagu Terbang ini boleh memberikan sedikit semangat atau menemani seseorang dalam perjalanannya, itu sudah cukup bermakna bagi kami,” katanya.
Simpunk turut melihat muzik sebagai medium untuk menyampaikan pelbagai kisah kehidupan, termasuk persahabatan, perjuangan, impian dan keberanian untuk terus melangkah meskipun berdepan cabaran.
Justeru, Terbang bukan sekadar sebuah lagu, sebaliknya membawa mesej tentang harapan, perjalanan emosi dan kepentingan melepaskan sesuatu demi membuka ruang kepada peluang baharu.
Ditubuhkan pada 2025, Simpunk dianggotai lima anak jati Melaka iaitu Afiq Bruno sebagai vokalis, Aniq dan Noh Slash (gitaris), Wan Gegau (bes) serta Nabil (dram).
Nama Wan Gegau pastinya tidak asing bagi peminat hiburan tempatan. Selain aktif bersama Simpunk sebagai pemain bes, dia turut dikenali sebagai pelawak dan pelakon menerusi tagline popularnya, 'Nampaktakk' .
Simpunk yang aktif mengadakan persembahan secara langsung di Melaka dan sekitar Malaysia kini mahu memperluaskan lagi perjalanan muzik mereka menerusi pengenalan karya sendiri.
Kerjasama dengan Luncai Emas Sdn Bhd juga dilihat sebagai peluang bermakna buat kumpulan itu untuk memperkenalkan muzik mereka kepada lebih ramai pendengar.
Sebagai pengedar digital, Luncai Emas terus membuka ruang kepada pelbagai artis dan kumpulan muzik untuk mengetengahkan karya masing-masing, sekali gus menyumbang kepada kepelbagaian genre dalam industri muzik tempatan.
Simpunk berharap single sulung mereka itu mendapat sambutan positif daripada peminat muzik dan orang ramai, selain menjadi langkah pertama untuk mereka terus berkembang dalam industri berkenaan.
Lagu Terbang kini boleh didengari di platform penstriman muzik utama seperti Spotify, Apple Music, YouTube Music dan KKBOX. Video muzik rasmi lagu itu juga boleh ditonton menerusi saluran YouTube Luncai Emas.

Penulis ini mempunyai pengalaman lebih 15 tahun dalam industri media, khususnya dalam bidang kewartawanan, penulisan dan penghasilan kandungan. Selain pengalaman media, beliau turut berpengalaman dalam merancang dan menganjurkan pelbagai acara serta membina personal branding untuk individu dan organisasi. Gabungan pengalaman ini membolehkan beliau menghasilkan kandungan yang kreatif, berkesan dan mempunyai nilai kepada audiens.
Berita berkaitan


Lee Junho curi perhatian di Cuckootopia, Cuckoo perkenal inovasi kediaman sihat

Adam Corrie terkilan penonton tunggu OTT, tidak sokong Orang Perang di pawagam


