Permohonan dana kandungan kreatif berjumlah RM15 juta dibuka bermula 16 Nov ini
Menurut FINAS, permohonan bagi semua kategori berkenaan perlu dikemukakan secara dalam talian menerusi portal Sistem Pengurusan dan Pemantauan Industri Kreatif (SPPIK) di https://sppik.finas.my.


Babah dan Malaikat Malam antara karya yang menerima sokongan pembiayaan DKK daripada FINAS
PENGGIAT industri kreatif tempatan berpeluang merealisasikan idea dan menghasilkan karya berkualiti menerusi pembukaan enam kategori Dana Kandungan Kreatif (DKK) oleh Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) bermula 16 November ini.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil, berkata peruntukan RM15 juta menerusi dana berkenaan bakal membuka lebih banyak peluang kepada penggiat industri tempatan untuk mengembangkan bakat, meneroka kerjasama antarabangsa serta menghasilkan kandungan yang memenuhi keperluan pasaran digital.
FINAS dalam satu kenyataan memaklumkan, dana berkenaan dilaksanakan di bawah Kementerian Komunikasi bagi menyokong pembangunan kandungan kreatif, khususnya dalam sektor perfileman negara.
Enam kategori dana yang dibuka untuk permohonan ialah Dana Co-Pro Antarabangsa Filem Cereka/Cereka Animasi, Dana First Time Amateur Film Maker (FAME) dan Dana Co-Pro Program TV (Supertelefilem).
Turut ditawarkan ialah Dana Co-Pro Mikro Drama (Stesen Penyiar/OTT Platform), Dana Supertelefilem Artis Veteran (STAR) serta Dana Penerbitan Pesanan Khidmat Awam (PSA) Kenegaraan.
Menurut FINAS, permohonan bagi semua kategori berkenaan perlu dikemukakan secara dalam talian menerusi portal Sistem Pengurusan dan Pemantauan Industri Kreatif (SPPIK) di https://sppik.finas.my.
Maklumat terperinci mengenai setiap kategori dana, pautan permohonan dan video tutorial tatacara permohonan akan dikongsikan menerusi laman sesawang serta saluran media sosial rasmi FINAS apabila permohonan dibuka.
Bagaimanapun, setiap permohonan adalah tertakluk kepada Garis Panduan dan Peraturan Dana Kandungan Kreatif yang sedang berkuat kuasa.
Penggiat industri yang memerlukan maklumat lanjut boleh menghubungi Bahagian Pengurusan Produksi FINAS menerusi e-mel infodkd@finas.my.
Pembukaan dana berkenaan diharap dapat menggalakkan lebih ramai penggiat industri kreatif tampil dengan idea segar dan karya berkualiti, sekali gus memperkaya kandungan tempatan serta menyumbang kepada perkembangan industri kreatif Malaysia.

Penulis ini mempunyai pengalaman lebih 15 tahun dalam industri media, khususnya dalam bidang kewartawanan, penulisan dan penghasilan kandungan. Selain pengalaman media, beliau turut berpengalaman dalam merancang dan menganjurkan pelbagai acara serta membina personal branding untuk individu dan organisasi. Gabungan pengalaman ini membolehkan beliau menghasilkan kandungan yang kreatif, berkesan dan mempunyai nilai kepada audiens.
Berita berkaitan


Lee Junho curi perhatian di Cuckootopia, Cuckoo perkenal inovasi kediaman sihat

Adam Corrie terkilan penonton tunggu OTT, tidak sokong Orang Perang di pawagam


