Kongsi detik menyentuh hati bersama Tun M… “Semoga Allah beri pahala banyak buat Tun” - Alif Satar
Alif turut berkongsi hasil kreativiti anak-anaknya yang disediakan khas sebagai tanda penghormatan kepada Tun Mahathir.


Alif turut berkongsi hasil kreativiti anak-anaknya yang disediakan khas sebagai tanda penghormatan kepada Tun Mahathir.
PERTEMUAN singkat penyanyi dan pelakon, Alif Satar bersama bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, menjadi detik bermakna apabila perbualan mereka turut mengimbau kenangan lama yang menyentuh hati.
Menerusi perkongsian di Threads, Alif berkongsi pengalaman bertemu tokoh negara itu yang sedang menjalani rawatan di hospital secara rutin, selain meluahkan rasa syukur kerana berpeluang bertanya khabar dan melihat sendiri senyuman Tun Mahathir.
“Kami semua risau bila dapat tahu Tun masuk hospital. Tun sihat ke? Gembira saya dapat melihat senyuman Tun hari ini,” katanya.
Tun Mahathir kemudian menjelaskan bahawa mendapatkan rawatan di hospital sudah menjadi perkara biasa buat dirinya apabila jatuh sakit.
“Biasalah tu, bila dah tua macam ini, sakit sikit, pergi hospital masuk ubat. Selepas itu, keluar balik,” balasnya.
Bagi Alif, pertemuan itu mungkin singkat, namun cukup bermakna kerana banyak perkara yang ingin dikongsikan bersama tokoh berkenaan.
“Detik-detik berharga. Tak puas tapi cukup. Alhamdulillah, nak tulis kapsyen pun aku tak tahu nak kata macam mana. Singkat sahaja pertemuan dengan Tun tadi tetapi terlalu banyak perkara yang nak dikongsi,” tulisnya.
Lebih menyentuh hati, pertemuan itu turut diserikan dengan perkongsian gambar lama ibu dan bapa Alif ketika mereka berkhidmat sebagai jurubahasa bahasa isyarat untuk golongan orang kurang upaya (OKU) semasa Tun Mahathir berucap.
Gambar berkenaan turut memaparkan Allahyarham Tun Dr Hasmah Mohamad Ali, isteri kepada Tun Mahathir.
Menurut Alif, Tun Mahathir mengambil masa untuk menatap gambar arwah isterinya itu sebelum menulis satu nota khas buat ibunya.
“Mama ayah bawa gambar lama semasa mereka berkhidmat sebagai ‘interpreter’ bahasa isyarat untuk golongan OKU ketika Tun berucap.
"Bila Tun lihat gambar arwah Tun Hasmah, dia lihat dengan sangat lama sebelum dia menulis sebuah nota untuk Mama.
“Budak-budak buatkan dia tersenyum,” kongsinya.
Selain itu, Alif turut berkongsi hasil kreativiti anak-anaknya yang disediakan khas sebagai tanda penghormatan kepada Tun Mahathir.
Anak perempuannya, Alisha, menghasilkan sebuah puisi buat negarawan itu, manakala Ariana menyediakan kad lipat yang memaparkan lukisan Tun Mahathir sedang menunggang kuda.
Anaknya, Ali, pula melukis gambar dirinya bersama Tun Mahathir.
“Satu penghormatan untuk meluangkan masa bersamanya. Semoga Allah bagi pahala yang banyak untuk Tun,” katanya.

Penulis ini mempunyai pengalaman lebih 15 tahun dalam industri media, khususnya dalam bidang kewartawanan, penulisan dan penghasilan kandungan. Selain pengalaman media, beliau turut berpengalaman dalam merancang dan menganjurkan pelbagai acara serta membina personal branding untuk individu dan organisasi. Gabungan pengalaman ini membolehkan beliau menghasilkan kandungan yang kreatif, berkesan dan mempunyai nilai kepada audiens.
Berita berkaitan


Lee Junho curi perhatian di Cuckootopia, Cuckoo perkenal inovasi kediaman sihat

Adam Corrie terkilan penonton tunggu OTT, tidak sokong Orang Perang di pawagam


