‘Jujurnya saya sebak, tak ada apa yang membahagiakan selain…’ – Pengurus Siti Nurhaliza
Komitmen Rozi dan pasukannya turut mendapat pujian peminat yang menyifatkan penganjuran konsert berkenaan sebagai usaha bermakna dalam mengangkat muzik tradisional dan warisan Nusantara ke pentas lebih besar.


'Tak ada apa yang membahagiakan selain daripada dapat membahagiakan' - Rozi,
PENGURUS Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza, iaitu Rozi Abd Razak, meluahkan rasa sebak dan syukur selepas berjaya menjayakan Konsert Tradisional Gema Bumantara yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu lalu.
Menerusi perkongsian di Threads, Rozi mengakui terharu apabila segala usaha dan komitmen yang dicurahkan akhirnya membuahkan hasil, sekali gus memberikan kebahagiaan kepada ramai pihak.
“17.10.26. Jujurnya saya sebak. Tak ada apa yang membahagiakan selain daripada dapat membahagiakan,” tulisnya.
Perkongsian itu mengundang perhatian peminat yang turut menzahirkan ucapan tahniah kepada Rozi serta seluruh pasukan yang bertungkus-lumus menjayakan konsert berkenaan.
Malah, komitmen Rozi dan pasukannya turut mendapat pujian peminat yang menyifatkan penganjuran konsert berkenaan sebagai usaha bermakna dalam mengangkat muzik tradisional dan warisan Nusantara ke pentas lebih besar.
Selain memuji usaha penganjur mengangkat muzik tradisional, peminat turut memberikan maklum balas positif terhadap kualiti vokal dan sistem bunyi yang dipersembahkan sepanjang konsert berlangsung.
Menghimpunkan kira-kira 73,000 penonton, Konsert Tradisional Gema Bumantara menampilkan konsep muzik tradisional sepenuhnya sebagai usaha memastikan khazanah seni warisan terus relevan dan dekat di hati generasi masa kini.
Konsert berkenaan turut menampilkan barisan artis undangan, termasuk penyanyi yang mendapat jolokan Ratu Irama Malaysia, Noraniza Idris, selain Haziq Rosebi serta dua penyanyi dari Indonesia, Lesti Kejora dan King Nassar.

Penulis ini mempunyai pengalaman lebih 15 tahun dalam industri media, khususnya dalam bidang kewartawanan, penulisan dan penghasilan kandungan. Selain pengalaman media, beliau turut berpengalaman dalam merancang dan menganjurkan pelbagai acara serta membina personal branding untuk individu dan organisasi. Gabungan pengalaman ini membolehkan beliau menghasilkan kandungan yang kreatif, berkesan dan mempunyai nilai kepada audiens.
Berita berkaitan


Lee Junho curi perhatian di Cuckootopia, Cuckoo perkenal inovasi kediaman sihat

Adam Corrie terkilan penonton tunggu OTT, tidak sokong Orang Perang di pawagam


